Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

PAK LAH PEMIMPIN LEMAH & NAJIB PEMIMPIN PROKSI

KENYATAAN MEDIA
HJ MAHFUZ HJ OMAR
AHLI DEWAN RAKYAT, POKOK SENA, KEDAH.
019-4422685

8 JANUARI 2004

PAK LAH PEMIMPIN LEMAH & NAJIB PEMIMPIN PROKSI

Saya menyambut baik pengumuman perlantikan Dato’ Seri najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang diumumkan Perdana Menteri (PM) kelmarin, sekaligus telah menjawab teka-teki yang menjadi tanda tanya seluruh rakyat serta menghantui UMNO sekian lama, tetapi persoalan yang timbul ialah sama ada perlantikan Najib atas pilihan PM sendiri ataupun kerana pilihan Tun Dr Mahathir yang tidak mampu ditolak oleh PM?

Masa yang terlalu lama diambil oleh Dato’ Seri Abdullah untuk membuat perlantikan ini cukup membayangkan kesukarannya memilih calon yang serasi dan sesuai dengan citarasa dan stail beliau, sedangkan beliau telah berjanji sewaktu pilihanraya kecil Parlimen Pendang untuk segera mengumumkan calon TPM sebaik sahaja selesai pilihanraya itu. Saya berkeyakinan penuh bahawa perlantikan Dato’ Seri Najib dibuat kerana desakan pihak tertentu yang tidak mampu ditepis lagi, walaupun PM mempunyai pilihan lain.

Kelewatan mengumuman ini sebenarnya bermaksud Pak Lah tidak berminat untuk melantik Najib ke jawatan itu, seterusnya mengambil masa sehingga lebih dua bulan untuk mencari helah bagaimana untuk mengelak kemaraan Najib. Ternyata, Pak Lah telah tewas dalam pertarungan dalaman UMNO dan Barisan Nasional kali ini, mengesahkan beliau tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk menolak Najib dan mengemukakan calon pilihan beliau sendiri ke jawatan tersebut, kerana Najib sebelum ini pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisi jawatan TPM. Sekiranya Najib benar-benar pilihan Pak Lah sendiri, jawatan ini akan diisi sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai PM.

Saya membayangkan Pak Lah akan menghadapi keadaan yang sukar untuk melaksanakan stail kepimpinan beliau kerana imej yang cuba dibina oleh Pak lah tidak wujud pada Najib, dan kombinasi Pak Lah-Najib adalah gandingan yang sangat rapuh. Penerimaan Pak Lah kepada Najib tidak menggambarkan keikhlasan beliau sebaliknya menggambarkan situasi beliau yang diselubungi pengaruh bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkembangan terbaru ini bakal merugikan seluruh rakyat negara ini memandangkan kepimpinan PM dan TPM yang tidak sehaluan. Rakyat amat menyedari perbezaan stail kepimpinan Pak Lah yang memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar-dasar negara yang cuba menonjolkan imej Islam, dengan stail Najib yang membawa imej elitism, memiliki rekod moral yang buruk, dan mendaki kedudukan dalam politik kerana pengaruh bapanya. Gandingan ini akan menimbulkan konflik yang berpanjangan dan percanggahan kepentingan yang berterusan.

Keadaan ini akan bertambah parah apabila episod kedua dalam pertarungan politik dalaman UMNO bermula dengan perlantikan Najib sebagai TPM. Saya percaya Pak Lah yang tewas dalam episod pertama ini akan mengambil kesempatan mengenepikan Najib dalam pilihanraya akan datang. Kegagalan mengenepikan Najib dalam pilihanraya akan datang akan menyebabkan Pak Lah akan kehilangan rakan-rakan setia dan penyokong yang mahukan beliau bebas menentukan halatuju dan stail kepimpinannya, tanpa pengaruh dari luar kabinet. Memastikan Najib kalah dalam pilihanraya akan datang adalah pilihan yang masih ada pada Pak lah, dan usaha ke arah itu akan merancakkan pergelutan dalaman UMNO yang akhirnya memalapkan fokus utama Pak Lah untuk negara.

Kesan segera yang dapat diukur dalam perlantikan Najib sebagai TPM ialah Pak Lah muncul sebagai Perdana Menteri yang dibaluti kelemahan dan tidak berupaya mempertahan prinsip dan pendiriannya. Sementara itu, Najib akan beraksi sebagai proksi dan orang suruhan pihak-pihak tertentu dan tindakannya selepas ini dibayangi oleh pengaruh dari luar.

Walaupun keadaan ini akan segera dinafikan oleh mereka, dan cuba meneruskan gandingan rapuh yang penuh pergolakan itu, lambat laun seluruh rakyat akan dapat memahami situasi sebenar dan menerima kesannya yang merugikan. Akhirnya saya menyeru seluruh rakyat negara ini menggunakan kesempatan pilihanraya umum akan datang untuk menamatkan episod pergelutan dan kepincangan ini demi kesejahteraan untuk semua kini dan masa depan.

HJ MAHFUZ HJ OMAR
AHLI PARLIMEN POKOK SENA





___________________________
Terbitan : 12 Januari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)