Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Hudud dan Masalah Sosial Zaman Kini

Dari dulu lagi PAS dah kata laksanakan hukum hudud, tapi dipermainkan sup tangan, sup itu sup ini... M'sia yang dianggap sebagai negara Islam oleh pemimpin kita, mengalami masalah sosial yang paling buruk. Masalah ini perlu dibendung segera, jgn hanya sibuk berkempem dan menghentam saja.

Dlm kes begini, kenapa tak minta pandangan pemimpin PAS ?

---------------------------------------------------------------------------------------------

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Rakyat seluruh negara melahirkan perasaan teramat marah dengan kes rogol dan bunuh seorang budak perempuan berusia 10 tahun di Johor semalam dan mendesak kerajaan mengenakan hukuman paling keras _ sebat pelakunya di khalayak ramai, sebelum dihukum mati.

Tokoh-tokoh agama, pemimpin masyarakat dan orang ramai yang ditinjau pendapat mereka berkata, walaupun hukuman mati lazimnya dijatuhkan ke atas pelaku terbabit, namun hukuman yang dilakukan secara tertutup di penjara tidak akan mencetuskan kesedaran kepada orang lain.

``Sebelum dihukum mati, jalankan dulu hukuman rotan di khalayak ramai supaya ia menjadi pengajaran kepada semua agar kes-kes menyayat hati seperti ini tidak berulang lagi.

``Hanya hukuman setimpal seperti itu harus dikenakan kerana merogol kanak-kanak di bawah umur merupakan perbuatan paling tidak berperikemanusiaan dan hanya layak dilakukan oleh binatang,'' kata Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Fadzil Hanafi kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim turut bersetuju hukuman sebat di khalayak ramai diperkenalkan jika langkah itu berkesan dalam menyedarkan rakyat negara ini.

``Sebenarnya hukuman berat sudah menanti pesalah kes sebegini tapi sebab orang ramai tak melihatnya sendiri maka ia tidak begitu menyedarkan orang lain kerana ia dilakukan dalam penjara,'' katanya.

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun, Nurul Huda Ghani dibunuh selepas dipercayai dirogol bergilir-gilir oleh tiga lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan di pondok pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tanjung Kupang, Johor.

Mayat mangsa itu, murid tahun empat Sekolah Rendah Kebangsaan Tiram Duku dijumpai dalam keadaan bogel setelah dihumban dalam tandas dalam pondok itu manakala basikalnya di luar pondok.

Kejadian itu merupakan yang kedua dalam tempoh 10 hari menimpa murid sekolah. Pada 8 Januari lalu, Harirawati Saridi, juga berusia 10 tahun ditemui mati dibunuh dengan kainnya tersingkap dan dipercayai diperkosa di kawasan semak semasa dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu.

Seorang suri rumah, Rozanawati Rusli, 28, berkata, tindakan merotan di khalayak ramai itu amat bertepatan kerana jika tidak penjenayah akan melakukan kembali jenayah tersebut.

Bekas Imam Besar Masjid Putrajaya, Tan Sri Abdul Kader Talib pula menegaskan pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai perlu dilaksanakan segera sejajar dengan pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Hashim Yahya berkata, bentuk hukuman untuk pesalah jenayah keganasan perlu diteliti semula dan mereka yang melakukan jenayah itu perlu dihukum di khalayak ramai bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

Thandavarajan Poongan @ Bala, 45, dari Kota Bharu turut mencadangkan agar pesalah terbabit disebat di khalayak ramai dan diberi liputan oleh media massa supaya dapat disaksikan oleh seluruh masyarakat.

Raja Hamzah Raja Musa, 40, berkata, dia sedih dengan kejadian malang berlaku ke atas kanak-kanak yang tidak berdosa itu dan mahu penjenayah kejam seperti ini disebat dan dihukum bunuh.

``Undang-undang yang ada sekarang masih lemah untuk menghukum penjenayah kejam itu,'' ujarnya.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara, Mariam Abdul berkata, hukuman sebat sebelum hukuman mati itu wajar supaya pesalah merasai dahulu `azab dan seksa serta perasaan malu' akibat perbuatan mereka sebelum dikenakan hukuman mati.

Pemandu teksi, Salman Sharifudin, 40, berkata, tindakan sebat di khalayak ramai atau hukuman gantung sampai mati boleh menakutkan penjenayah untuk melakukan jenayah tersebut kepada kanak-kanak.

Seorang arkitek, M.C. Lim, 50, berkata, kerajaan hendaklah mengambil tindakan yang lebih tegas termasuk mengenakan hukuman bunuh di khalayak ramai supaya perbuatan itu tidak berulang kembali.

Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, meskipun kejahatan akan terus wujud sepanjang kehidupan manusia, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat dibendung dengan hukuman yang amat menakutkan.

Presiden Gabungan Generasi Muda Terengganu, Husin Mohd. Noor pula berkata:

``Kita tidak bayangkan raungan, tangisan, ketakutan dan kesakitan yang terpaksa dilalui oleh anak-anak kecil yang diperkosa kemudian dibunuh dan oleh itu pelakunya wajar merasai kesakitan mangsa sebelum mereka dihukum mati.''

Peniaga, Tang Chiu Seng, 37, melahirkan rasa sedih berkata, pesalah seperti itu seharusnya dihukum mati sebagai satu`hadiah' kepada keluarga mangsa yang sudah tentunya sedih dengan kejadian itu.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita, Majlis Belia Malaysia (MBM) Pulau Pinang, Joyce Ong Choon Kim berkata, sudah tiba masanya kerajaan menilai semula hukuman yang ada pada masa ini kerana masyarakat seakan-akan tidak mempedulikan hukuman yang dilaksanakan ke atas kes-kes kejam seumpama itu kerana mereka tidak melihatnya sendiri.

Pengerusi Perkhidmatan Hotline MCA, Tai Sim Yew pula berkata, selain hukuman sebat, hukuman lain yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan ialah `mengasi' pesalah itu supaya menakutkan rakyat lain.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Datuk Syed Hassan Shahabuddin berkata, pihaknya turut mengalu-alu hukuman berat dikenakan kepada pesalah jenayah keji itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-guru Melayu Kedah (PGMK), Aman Khan Md. Hussain berkata, hukuman seberat-beratnya perlu diambil kerana adalah sesuatu yang malang bila seorang kanak-kanak yang tidak berdosa diperlakukan sebegitu kejam oleh orang dewasa yang sepatutnya menjaga mereka.

Pengerusi Pembangunan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Sabah, Datuk Surinam Sadikun menegaskan bahawa kerajaan perlu segera melakukan sesuatu termasuk memperkenalkan bentuk hukuman baru kerana penjenayah kes-kes sebegini.

Ketua Puteri UMNO Sabah, Rosnah Abdul Rashid Shirlyn berkata, pada masa ini, perogol sudah tidak lagi peduli untuk memilih siapa mangsanya termasuk golongan kanak-kanak, jadi manusia seperti mereka ini perlu diberikan hukum seberat-beratnya.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang di dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian terbaru itu menunjukkan tahap keselamatan awam di negara ini semakin menurun.





___________________________
Terbitan : 21 Januari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)