Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Strategi ‘gelak-tawa, melengah-lengahkan’ Abdullah Badawi

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

KEPADA teman-teman reformis yang cuba menyamakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, saya sering menyanggah, dengan “memujuk” mereka agar memberi peluang buatnya membuktikan bahawa dia bukanlah pewaris kezaliman Mahathir dan bersedia pula melebarkan ruang buat rakyat turut serta dalam proses “membangunkan” negara.

Apabila Mahathir berundur pada hujung Oktober lalu, dari satu segi, pada hemat saya, dia sebenarnya menyerahkan kembali negara untuk rakyat. Selama 22 tahun, Mahathir bertindak solo (bagaikan sang diktator yang muncul dan memerintah melalui undang-undang) menentukan apa saja buat negara, tanpa mempedulikan bukan saja pandangan rakyat, malah ahli-ahli Kabinetnya sendiri.

Menjadi pengganti kepada penguasa yang terkenal dengan “keserakahan dan kebuasannya”, Abdullah sebenarnya melalui jalan mudah. Dengan hanya meminimumkan “kediktatoran” Mahathir (yakni tidak perlu melupuskannya terus), Abdullah akan dilihat – sekurang-kurangnya pada kacamata rakyat yang mudah memaafkan -- lebih terbuka, lebih telus, lebih demokratik, lebih Islamik dan lebih responsif terhadap segala rungutan dan rasa tidak puas hati rakyat.

Pemimpin baik

Dalam bahasa mudah, Abdullah tidak perlu menjadi “pemimpin yang lebih baik”, cukup hanya dengan “kurang bertindak ganas”, atau “tidak sekeras dan secelupar” Mahathir. Mungkin atas asas itu, penasihatnya merasakan tindakan Abdullah menjadi imam solat berjamaah, yang dimulakan pada bulan Ramadhan lalu, merupakan langkah awal untuk menunjukkan bahawa bos mereka sama sekali bukan klon Mahathir.

Saya kira, idea muzakarah PAS-Umno, yang tiba-tiba muncul itu pun lahir dari perkiraan budak-budak PM bagi menjarakkan lebih lebar lagi antara Abdullah dengan Mahathir. Seolah-olah mahu dicanangkan bahawa “pertelingkahan” yang ada hanya disebabkan Mahathir, dan di bawah pentadbiran Abdullah, Melayu dapat “bersatu kembali”.

Bukan rahsia lagi apabila selama ini Mahathir dibenci dan diherdik kerana “cakap celuparnya” terhadap Islam, sehingga isu janggut Nabi pun boleh dipersendakannya. Lalu, Abdullah dikira dengan mudah dapat melunakkan kemarahan dan kejengkilan umat Melayu itu dengan “pendekatan lembutnya” dan latar belakangnya sebagai cucu ulamak terbilang.

Lihat saja komen Abdullah terhadap Dokumen Negara Islam yang dilancarkan PAS; beliau menyatakan apa yang dijanjikan Parti Islam itu sebahagian besarnya telahpun dilaksanakan BN. Sedangkan Mahathir ketika ditanya responsnya, sekembali dari Jepun, mendakwa “PAS penipu”. Biarpun kedua-duanya menolak hasrat PAS itu, tetapi kenyataan Abdullah nampak lebih sopan dan “berlapik”.

Musnahkan oposisi

Dari segi lain, Abdullah tidak perlu lagi meminda akta atau Perlembagaan untuk memusnahkan kekuatan oposisi atau memperkukuhkan benteng diri kerana peruntukan zalim yang sedia ada itu pun belum dilaksanakan sepenuhnya Mahathir.

Apa yang disediakan bekas PM itu sudah cukup untuk melahirkan diktator yang lebih kejam dan zalim, tanpa mengusik walau satu ayat dalam Perlembagaan atau akta drakonian, misalnya ISA, OSA, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Polis dan sebagainya.

Tempoh 100 hari Abdullah sebagai PM hampir tiba. Era bulan madunya sudah berakhir. Berdepan dengan teman-teman yang cukup kritikal terhadap Abdullah, saya terpaksa mengalah. Mereka berhak untuk membedah apa yang dilakukan Abdullah selama tempoh itu. Peluang sudah cukup diberikan buatnya.

Tempoh penahanan puluhan mangsa ISA di Kamunting bukan saja dilanjutkan, malah pelajar-pelajar bawah umur pun turut dikurung tanpa bicara. Semasa 60 hari di bawah penyiasatan polis, ada mangsa diperlakukan seperti binatang. Dan ini semua tentunya dalam pengetahuan Menteri Dalam Negeri.

Ditutup rapat

Abdullah sering mengingatkan pegawai kerajaan dan anggota kabinetnya agar “cakap serupa bikin” dan “berani menceritakan yang benar” kepadanya, walhal saluran buat “rakyat mendengar yang benar” apatah lagi untuk aktivis “memaklumkan yang benar” disekat dan ditutup rapat.

Pengharaman majlis ceramah umum yang dibuat selepas pilihanraya 1999 diteruskan. Malah polis bertindak keras (ada yang menyifatkannya ganas) menyuraikan perhimpunan aman pembangkang di premis sendiri, (misalnya di Pasir Salak, 24 Januari lalu) manakala Umno bebas menggunakan segala stadium, dewan, sekolah dan padang awam untuk berkempen. (Ingat, Abdullah adalah Menteri Dalam Negeri sejak Januari 1999).

Media bukan saja dikongkong, malah Abdullah menempatkan orang kepercayaannya di posisi strategik “secara kasar”. Saya pernah menegaskan dalam diskusi anjuran Suhakam, termasuk di depan tiga pegawai KDN bahawa Abdullah tidak perlu risau akan tersenarai dalam 10 tokoh musuh kebebasan akhbar sedunia, seperti pernah “dinikmati” Mahathir.

Sebabnya, rekod Malaysia tidak lagi terjejas kerana tidak ada lagi kes pengharaman media apabila Abdullah menolak apa saja permohonan permit baru kepada orang yang dilihat tidak mampu menjadi pak turut kepadanya. Jika tiada permit baru dikeluarkan kepada penerbit yang tidak sebulu dengannya, maka tentulah tiada lagi kes pengharaman yang bakal mencalarkan imej Abdullah.

Detik tak berdetik lagi

Masih segar dalam ingatan, pada November 1999, permit majalah Detik yang disambung untuk setahun lagi oleh para pegawai Unit Kawalan Penerbitan, KDN, dan saya sudahpun membuat pembayaran RM500, tiba-tiba saja, atas arahan Abdullah, ditarik balik. Tiga bulan kemudian, satu lagi majalah remaja yang saya kendalikan, Wasilah, turut “diharamkan” Abdullah.

Harakah, yang tidak lagi dianggap lidah parti, sebaliknya dapat berdiri sebagai “media arus perdana”, dengan jualan lebih 350,000 naskhah direntap momentumnya apabila kekerapannya dikurangkan dari lapan/ sembilan kali sebulan kepada hanya dua kali sebulan.

Kini, tanpa publisiti buruk, sebenarnya pengedaran beberapa majalah asing yang mengandungi laporan tentang Malaysia sering dilambatkan. Misalnya, majalah FEER “terlambat sampai” di peti surat saya, berminggu lamanya hanya kerana ada berita ringkas tentang idea penubuhan suruhanjaya diraja polis yang tertangguh itu.

Lembut gelak tawanya

Ya, benar, tanpa perlu mempamerkan imej “keras” dan memadamkan pendekatan “sederhananya”, Abdullah tetap bertindak “ganas”. Dalam lembut gelak tawanya, Abdullah tetap melakukan tindakan represif seperti apa yang dilaksanakan Mahathir. Seperti digambarkan Zunar dalam kartunnya, walaupun dengan kata-kata penuh berbunga, dengan intonasi lebih rendah, Abdullah, sepertimana Mahathir, memastikan Anwar terus terpenjara.

Berdepan usaha memerangi rasuah, yang dijadikan tema utama azam tahun barunya (didahului oleh kempen terancang secara besar-besaran oleh media, khususnya akhbar harian dan TV sebaik saja beliau dilantik PM), Abdullah seperti sudah kehilangan kata-kata untuk melanjutkan retorikanya itu.

Tiada tindakan konkrit menyusul, manakala kes-kes yang “sedia terang lagi bersuluh”, misalnya yang membabitkan Rafidah Aziz dan Abd Rahim Tamby Chik terabai begitu saja. Pegawai Badan Pencegah Rasuah dihina semahunya oleh menterinya sendiri. Usaha memperkasakan BPR hilang begitu saja. Sekali lagi, hanya “bilis” yang dijerat manakala “jerung” dilihat makin akrab dengan Abdullah.

Prosedur tender terbuka yang dijanjikan Abdullah tidak lebih gimik pilihanraya. (Di bawah era Mahathir-Daim lagi ia digembar-gemburkan, malah ada pekeliling khas mengenainya, namun tidak juga dilaksanakan).

Beberapa teman yang sentiasa mengikuti tawaran projek dari KDN memastikan bahawa selama ini, di bawah kementerian Abdullah sendiri, projek-projek besar dikendalikan secara rundingan, yang cukup terdedah kepada amalan korupsi.

Kantung kering

Manakala langkah belanja berhemah hanyalah tindakan yang terpaksa dilakukan apabila kantung negara hampir kekeringan.

Rakyat merasa tertipu apabila harga kenderaan penumpang yang dikatakan akan turun selepas Afta dilaksanakan Januari 2004, tiba-tiba diumumkan meningkat sehingga RM20,000. Seperti biasa, Abdullah dilihat “terkial-kial” untuk memberi justifikasi; saya kira beliau sendiri sukar memahaminya!

Orang ramai tidak mahu dikelirukan dengan istilah “struktur baru duti import dan eksais”, tetapi mereka bingung apabila kereta yang sama boleh dijual dengan harga lebih murah di negeri yang taraf hidupnya jauh lebih tinggi, misalnya Jepun. Maka semakin ketaralah kelemahan dan kedhaifan Abdullah untuk menguasai hal-ehwal ekonomi dan perdagangan.

Dan semakin mudahlah bekas “spekulator mata wang asing” di Perbendaharaan – dikatakan wakil bekas PM dalam kabinet baru -- yang pernah menghanguskan RM15 bilion wang rakyat, memperkotak-katikkan Abdullah.

Abdullah seperti sengaja melepaskan peluang terbaiknya untuk melunakkan amarah rakyat apabila bukan saja tidak membenarkan Anwar Ibrahim mendapatkan rawatan seperti dihajatinya, malah mempersendakan isu kesihatan bekas TPM itu.

Penghakiman

Apabila mahkamah menolak permohonan ikat jamin Anwar baru-baru ini, tidak ramai percaya keputusan itu tidak dipengaruhi oleh “kehendak politik penguasa”. Penghakiman yang diberikan pada waktu petang (selalunya di pagi hari), selepas mesyuarat mingguan Kabinet selesai, menambah lagi keyakinan rakyat bahawa Anwar sememangnya tahanan politik, yang pembebasannya bergantung penuh dengan “ehsan” pemerintah.

Bagi saya, wibawa pemimpin hanya teruji selepas ia melalui episod sukar dalam kerjayanya secara gentleman. Sedangkan Abdullah yang bimbangkan kedudukannya tergugat jika keadilan diberikan kepada Anwar jelas tidak sanggup masuk gelanggang politik sebagai “anak jantan”. Anwar, seteru ketat Mahathir, terus dilayan sebagai musuh no. 1 Abdullah.

Hanya dengan menabur janji atau “menghulurkan tali sepanjang-panjangnya”, Abdullah sebenarnya mahu memancing atau mempersendakan pengundi. Berita suruhanjaya diraja polis yang tenggelam itu timbul kembali hanya selepas banyak kes jenayah membabitkan anggota berkenaan.

Abdullah kini bermain-main dengan masa, dalam strategi melengah-lengahkan, sementara menanti tarikh Parlimen dibubar. Banyak “pengumuman positif” terbiar begitu saja, manakala timbalannya, Najib mengesa rakyat agar memberi mandat penuh kepada BN dalam pilihanraya nanti.

Tapi sejarah membuktikan, sebaik saja mandat besar diberikan, penguasa BN lebih selesa untuk bertindak “ganas” dan membolot khazanah kekayaan negara semahunya.





___________________________
Terbitan : 30 Januari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)