Jan 27, 2004
SENTUHAN KECUNDANG...
Sentuhan kali terakhir
abadi dalam hatiku
tak dapat ku menghalang
perpisahan ini...
Begitulah sebahagian dari bait-bait puitis lagu 'Sentuhan Kecundang' dendangan kumpulan Ekamatra yang pernah popular suatu dahulu. Tiba-tiba ingatan kepada lagu itu menjadi begitu sentimental bila mengenangkan kegagalan rayuan Anwar Ibrahim untuk mendapatkan ikat jamin pada 21 Januari baru-baru ini.
Terserlahlah sudah bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan (atau terpaksa meneruskan) pengkhianatan UMNO/Barisan Nasional terhadap mandat rakyat. Apabila pemerintah mula 'menyentuh' institusi-institusi penting sesebuah negara seperti institusi kehakiman, juga lain-lain institusi penguatkuasaan undang-undang seperti polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR), ia akan menjadi petanda awal, petanda ia akan kecundang.
Campur tangan yang tak sudah-sudah ini, seperti campur tangan dalam bidang kehakiman - merujuk kepada kes Anwar Ibrahim, menggambarkan ketakutan pemerintah UMNO/Barisan Nasional terhadap bayang-bayang mereka sendiri, takut jika mereka membebaskan mahkamah, yang akan menang adalah keadilan dan yang akan didapati bersalah adalah mereka sendiri, UMNO dan Barisan Nasional. Semakin kuat dan banyak mereka 'menyentuh' maka akan semakin bangkitlah rakyat. Inilah yang dilakukan Soeharto, melebar dan mengukuhkan kekuasaan melalui 'sentuhan' terhadap institusi-institusi penting negara Indonesia. Akhirnya, sekejam manapun dia, seramai manapun polis yang dia ada, sekuat manapun cengkamannya terhadap institusi ketenteraan, kekuatan kebangkitan rakyat juga yang menang, tidak termampu ditahannya. Penyudahnya, dia kecundang dengan 'sentuhan'nya sendiri. UMNO/Barisan Nasional sedang melalui sejarah yang hampir serupa.
Mungkin sehingga waktu ini, kita belum berjaya untuk menghalang perpisahan Anwar Ibrahim dengan keluarga beliau dan rakyat jelata. Tetapi 'sentuhan' UMNO/Barisan Nasional terhadap institusi kehakiman dan pejabat peguam negara yang secara terus-terusan cuba mengekalkan 'perpisahan' ini akan sampai ke penghujungnya kerana 'sentuhan' ini bakal membikin kecundangnya UMNO/Barisan Nasional di tangan rakyat.
Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang
___________________________
Terbitan : 30 Januari 2004
Ke atas
Home