Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Proton: 'Berani Berubah'

Isu kenaikan harga kereta sehingga hari ini masih terus panas. Terbaru pengumuman dari Proton bahawa kereta keluarannya akan mengalami kenaikan antara RM2,000 hingga RM5,000. Menurut jurucakapnya kereta yang dipasang sebelum 31 Disember 2003 tidak akan terlibat dengan kenaikan tersebut. Tambahnya lagi, terdapat 49,000 unit kereta stok lama tersebut masih ada di pasaran dan dijangkakan akan habis sebelum akhir bulan depan.

Harga baru ini akan melibatkan model Iswara, Wira, Waja dan Perdana itu merupakan peningkatan di antara dua hingga lima peratus berbanding harga semasa kereta Proton. Pada pengamatan kita dengan saranan PM supaya pengeluar mencari jalan untuk mengurangkan harga kenderaan dengan cara mengurangkan keuntungan hanyalah cakap-cakap kosong. Tidak ada siapa yang ambil pusing. Kalau spesis ular, PM kita ini umpama ular lidi, sudahlah kecil tidak ada bisa pulak.

Sepatutnya Proton dengan model ‘antik’nya iaitu Iswara dan Wira hendaklah dikurangkan harganya supaya menjadi contoh pada pengeluar-pengeluar yang lain. Jika semua pengeluar mengumumkan kenaikan harga dimanakah letaknya nilai ‘amanat’ PM.

Model Iswara adalah asalnya dari model SAGA yang sudah berusia 19 tahun, begitu juga Wira dah mencecah usia 12 tahun. Bagi dua model tersebut Proton sudah untung bersih 100%. Tidak ada lagi bayaran royalti pada Mitsubishi, juga kos peralatan (mesin dll) semuanya sudah sifar. Dulu kita kata EON sembelih pengguna, tapi nampaknya Proton Edarpun 2 kali 5. (Nota: Proton Edar adalah anak syarikat milik penuh Proton Berhad)

Sekarang ini kalau kita dengar dan lihat, dengan bangganya Proton dalam iklannya bahawa mereka telah menyumbangkan RM13 billion (apa yang nak dibanggakan – Bank Negara Malaysia boleh rugi berbillion RM dalam sekelip mata!) pada ekonomi negara dan menghasilkan 100,000 peluang pekerjaan di ‘serata dunia’.

Proton ‘BERANI BERUBAH’-begitulah lebih kurang bunyinya diakhir iklan. Apa yang berubahnya? Kilangnya di Shah Alam dah jadi kilang ‘accessories’ kereta. Tukar lampu dan tukar bumper, itu sahaja! Mana R&Dnya yang suatu ketika dipuji oleh Tun. Kasihanlah sedikit pada pengusaha-pengusaha kedai accessories yang berlambak kat luar tu.

Proton memberi peluang pekerjaan sebanyak 100,000 tapi mereka tidak sedar, mereka telah menyusahkan 25,000,000 rakyat. Kita yakin kalau tidak ada Proton, harga kereta tidaklah sehingga berlipat kali ganda kalau dibandingkan dengan negara maju yang lain atau sebelum ‘kelahiran’ Proton. Juga rakyat tidak akan menjadi miskin sampai tidak ada makanan.

Pengurusan Proton sekarang penuh dengan politik kalau nak dibanding sewaktu era Pengarah Urusannya yang dikuasai oleh orang Jepun. Keadaannya sekarang sungguh kelam kabut, model yang dirancang sejak 12 tahun lalu, baru tahun lepas keluar iaitu model Arena. Bayangkanlah bagaimanakah tahap keupayaan kejuruteraan yang diimpikan oleh Tun. Indah khabar dari rupa.

Cantas mencantas kakitangannya lebih kurang macam politik dalam Umno sahaja. Silap cakap atau berbeza pandangan (yang sepatutnya) dengan pihak pengurusan, akan ditukar 24 jam!

Model terbarunya yang telah diberitakan akan keluar awal tahun (sepatutnya Januari) hasil dari kilangnya di Tanjung Malim hingga dah nak masuk Februari masih belum keluar lagi. Dimanakah letaknya kredibiliti Tengku Mahaleel? Zamannya menyaksikan kelembapan pengaruh Proton dan memang sepatutnya beliau meminta AFTA untuk industri automotif dilanjutkan sehingga 20 tahun! Mengikut berita yang boleh dipercayai Tengku Mahaleel tidak akan lama di Proton dan akan diganti oleh taukey Naza Motor. Kita tunggu dan lihat apa pula yang akan terjadi pada Proton selepas ini.

Akhirnya, yang berlaku telahpun berlaku, dan yang akan datang tetap akan datang. Kita sebagai rakyat boleh berubah, iaitu dengan bersatu hati menekan industri kereta dengan tidak membeli untuk 6 bulan ini seperti saranan penulis-penulis yang lain. Rakyat juga harus “BERANI BERUBAH” pada pilihanraya yang akan ‘menjelma seperti pencuri’ , 2 atau 3 bulan lagi. InsyaAllah.

Panaurama.com





___________________________
Terbitan : 29 Januari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)