Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Al-Mahdi tidak bermazhab Sunni mahupun Shiah

UmmahOnline Team

UmmahOnline merupakan sebuah media bebas yang berhak untuk menyiarkan pandangan-pandangan berkaitan dengan Al-Mahdi sekalipun pandangan tersebut tidak selari dengan persepsi Islam. Kita mengetahui bahawa konsep penyelamat di akhir zaman bukan sahaja terdapat dalam ajaran Islam tetapi turut terangkum dalam ajaran Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan Zoroaster. Maka apa-apa pandangan yang mengupas dan membicarakan persoalan ini sentiasa diberi keutamaan oleh UmmahOnline untuk menyiarkannya sekalipun ia bertentangan dengan arus perdana serta bakal mencetuskan kritikan hebat. Dan sepertimana media bebas lain, sudah tentu pandangan tersebut bukannya merupakan pendirian rasmi UmmahOnline selain kenyataan yang disiarkan melalui ruangan Editorial.

UmmahOnline ingin menegaskan bahawa Al-Imam Al-Mahdi Al-Muntazar adalah sosok agung yang tidak berpegang kepada mazhab Sunni mahupun Shiah. Maka dakwaan kedua-dua mazhab yang mempunyai rekod pemusuhan yang lama itu, bahawa Al-Mahdi adalah selari mengikut versi mereka adalah tidak tepat. Al-Mahdi bukan seorang Sunni ataupun Shiah. Beliau adalah seorang muslim daripada keturunan Rasulullah SAW yang tidak mempunyai mazhab. Dan, kezuhuran Al-Mahdi pada hakikatnya adalah membawa misi penyatuan antara sesama muslim bukannya mewujudkan pemusuhan dan percakaran. Al-Mahdi juga akan mengembalikan semula kefahaman Islam yang hakiki sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Lantaran itu, UmmahOnline menolak sekeras-kerasnya tuduhan sesetengah pihak melalui e-mel atau kenyataan di dalam laman web berasingan bahawa kehadiran UmmahOnline dalam dunia siber sebagai agen Shiah adalah tindakan sangat melampau dan berniat jahat. Soal kami kepada mereka, adakah salah bagi kami mencintai Rasulullah SAW dan keluarganya termasuk Al-Mahdi dengan cara kehadiran web UmmahOnline? Adakah berdosa bercakap tentang Al-Mahdi dengan bersandarkan kepada kebenaran hadith Rasulullah SAW?

UmmahOnline mengakui bahawa kami telah memberi perhatian rapi terhadap perkembangan di Asia Barat termasuk di Iran. Perhatian khusus ini kami berikan kerana peristiwa di sana merupakan penentu kepada pergolakan yang berlaku di seluruh dunia. Dan, Al-Mahdi menurut beberapa hadith akan zuhur di Makkah Al-Mukarammah pada 10 Muharram dimana ketika itu terdapat dua buah negara yang terkehadapan dalam mendukung penuh perjuangannya iaitu Iran dan Yaman. Dan di sanalah juga merupakan laluan kepada perjalanan Al-Mahdi dan tenteranya seramai 313 (tentera Al-Mahdi yang terawal, dan angka ini sama dengan angka tentera Thalut dan tentera Badar), bukannya di Malaysia. Tugas kita di Malaysia adalah sekadar bersiap-sedia untuk membantu serta mendukung perjuangan Al-Mahdi bilamana berlaku kezuhurannya. Maka, fokus UmmahOnline terhadap Iran dan Asia Barat tidak boleh di samakan dengan fokus terhadap Shiah, kerana Iran dan Shiah adalah dua istilah yang berbeza, sebagaimana istilah Israel dan Zionis! Malahan tumpuan UmmahOnline terhadap Iran (negara dari bangsa Salman Al-Farisi) kerana kemuliaan bangsa tersebut bersama Yaman yang telah dipilih sebagai negara yang akan membantu Al-Mahdi nanti.

Selain daripada itu, UmmahOnline juga banyak menyiarkan informasi mengenai Al-Mahdi dalam kerangka pemikiran Ahlul Bayt (keluarga dan keturunan Rasulullah SAW), namun ia tidak bererti bahawa kami adalah Shiah apatah lagi agen Shiah. Seluruh krew UmmahOnline adalah anak muda yang berfahaman progresif terhadap agama serta mengambil pendekatan Islam tanpa mazhab. Mengapa? Kerana kehadiran Rasulullah SAW lebih 1400 tahun lampau adalah membawa agenda Islam bukannya membawa agenda mazhab; Syafie, Maliki, Hambali, Hanafi dan Ja’fari (Imamiyah). Sejarah telah membenarkan; angkara pertempuran antara mazhab hanya lebih banyak membawa kemusnahan, kemunduran dan kehancuran identiti Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Seruan yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah Islam bukannya istilah Sunni mahupun Shiah.

Kepada kedua-dua aliran ini (Sunni dan Shiah), sewajarnya sebagai seorang muslim kita patut menghargai peranan para sahabat Rasulullah SAW yang gigih dan juga ulama-ulama terdahulu, bukannya menimbulkan perbezaaan yang sama sekali tidak wajar diungkap. Sikap kebanyakan penganut Shiah yang mengembar-gemburkan sejarah Islam pasca Rasulullah adalah amat tidak berfaedah serta boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. Demikian juga sikap kebanyakan penganut Sunni yang sangggup memurtadkan penganut Shiah pula adalah sangat mendukacitakan. Percayalah, tanpa toleransi dan keserdahanaan antara kedua-dua aliran ini maka selagi itulah beban dosa dipikul.

Di samping itu, golongan Sunni tidak boleh mendakwa bahawa Al-Mahdi adalah bermazhab Sunni kerana tiada hadith yang menyatakan demikian. Begitu juga golongan Shiah, mereka juga tidak boleh mendakwa bahawa Al-Mahdi adalah milik mereka, malahan dalam beberapa hadith ahlul bayt menyatakan bahawa tindakan pertama semasa kezuhuran Al-Mahdi ialah beliau akan menghapuskan ulama-ulama Shiah yang di dapati menyeleweng serta mengajak mereka kembali kepada sunnah Rasulullah SAW. Benarlah apa yang dipertuturkan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Abdul Hadi Awang, Presiden PAS bahawa Al-Mahdi adalah urusan Allah SWT. Namun perlu di sedari bahawa sekalipun ia adalah urusan Allah, maka adakah tidak perlu untuk kita membincangkannya ataupun menunggu kezuhurannya dalam konteks penantian yang positif? Menurut Dr. Ali Shariati, kaedah penantian yang positif adalah berjuang kearah menegakkan keadilan sehinggalah kita Syahid atau zahirnya Al-Mahdi. Jadi, dimana salahnya menanti Al-Mahdi? Satu penantian yang bukan sekadar menanti semata-mata, tapi menanti dalam perjuangan. Pada kami, penantian terhadap Al-Mahdi secara positif adalah seunggul-unggul ibadah di akhir zaman.

Perlu disuarakan di sini, seluruh krew UmmahOnline berpendapat bahawa tindakan Ustaz Hadi meperlekehkan dan mempertikaikan elemen keghaiban Al-Mahdi dalam perbahasannya semasa Kuliah Jumaat pada 31 Oktober 2003 adalah sangat tidak matang dan tidak mengambarkan beliau memenuhi sifat-sifat ulama yang besar seperti Syeikh Mahmud Syaltut, Dr. Yusof Qardawi dan Ayatollah Muthahhari. Dalam keadaan, tiada hadith yang boleh menolak kewujudan elemen keghaiban Al-Mahdi, beliau terang-terangan telah mencetuskan polemik yang tidak berfaedah serta memarakkan lagi api permusuhan mazhab. Demi perpaduan ummah, beliau sebaiknya menghentikan konfrontasinya serta menunjukkan contoh yang baik dengan membicara mengenai Al-Mahdi yang memiliki persamaan di kalangan muslim terutamanya mengenai pergerakan Al-Mahdi selepas kezuhurannya. Dunia muslim kini amat ketandusan informasi mengenai pergerakan Al-Mahdi selepas kezuhurannya yang mencakupi kemunculan Sufyani, Dajjal, Syuib bin Sholeh, Syeikh Al-Khurasani, Hashimi dan beberapa figure lain dalam watak pertempuran Al-Mahdi bersama dengan musuhnya. Inilah penekanan yang yang sewajarnya diungkapkan oleh Ustaz Hadi.

Kami menyedari bahawa perbahasan Al-Mahdi seringkali boleh mencetuskan pertembungan idea, pemikiran serta kepercayaan. Namun, UmmahOnline ingin menganjurkan supaya kita mencari persamaan dengan membincangkan Al-Mahdi “masa hadapan” dan mengurangkan perbincangan tentang Al-Mahdi “yang lampau”. Dimana golongan Sunni menyakini bahawa Al-Mahdi adalah menusia biasa daripada keturunan Rasulullah dan identitinya tidak diketahui manakala golongan Shiah telah menetapkan bahawa Al-Mahdi adalah Muhammad Bin Hassan Al-Askari (keturunan rasulullah SAW yang ke-12). Yang terserlahnya, kedua-dua aliran ini masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Sebaliknya untuk Al-Mahdi “masa hadapan”, kita hampir bersetuju bahawa kezuhuran Al-Mahdi adalah membawa agenda perjuangan untuk menyempurnakan ajaran Islam dengan kemenangannya diseluruh dunia. Al-Mahdi “masa hadapan” inilah yang harus dititikberatkan bukannya Al-Mahdi “yang lampau”.

Kami juga menyedari bahawa majoriti masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia agak kerap bersikap prejudis terhadap kumpulan yang mengutarakan konsep Al-Mahdi. Namun begitu, bagi UmmahOnline, kami tidak lagi mempunyai masa untuk berdiam diri walaupun berdepan dengan serangan fitnah dan kritikan. Bagi kami, kewujudan UmmahOnline sebagaimana visinya adalah sebagai langkah persiapan sebelum kezuhuran Al-Mahdi. Kami tetap akan meneruskan perjuangan untuk mencapai visi ini dan segala mehnah dan tribulasi yang dihadapi telah menyakinkan lagi akan kebenaran tindakan/perjuangan yang dilalui ini. Mudah-mudahan dengan sedikit sumbangan kami ini dapat membantu memahamkan rakyat Malaysia serta komuniti Nusantara akan perihal Al-Mahdi – kelahirannya, kehidupannya dan perjuangannya. Tiada imbalan lain yang kami mahukan selain mendambakan diri dalam perjuangan kebenaran Ilahi. Yakinilah, sikap La…Sunni, La…Shiah, tetapi Wehdah Islamiyyah adalah semurni-murni thariq (jalan) untuk menguraikan kekusutan ummah.

p/s: Isha’Allah di kesempatan lain, UmmahOnline akan menghuraikan kaitan antara pergolakan dunia yang telah tercetus dengan tanda-tanda kezuhuran Al-Mahdi Al-Muntazar.





___________________________
Terbitan : 6 Januari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)