SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
Batu Bersurat Batu Bersurat ( batu nesan) yang
ditemui Kota Kempas atau Pengkalan Kempas kira-kira 150 tahun lalu membuktikan
Linggi telah lama dijejaki oleh ulama’ dalam menyibarkan Islam di nusantara
ini. Pusara Sheikh Ahmad Makhtum di Sungai Udang, Pengkalan Kempas terletak
kira-kira
23km dari bandar Port Dickson. Batu ini bertarikh tahun 850 Hijrah atau
bersamaan tahun 1467 Masihi iaitu zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Islam
Melaka di bawah pemerintahan Kesultanan Mansor Syah. Pusara
Sheikh Ahmad Makhtum ini dikatakan telah dijumpai oleh mertua Tuan Guru Lebai
Abbas Zakaria ( riwayat hidup Tuan Guru ini ada dipaparkan dalam koleksi ini)
ketika beliau menebang hutan untuk membuat ladang bercucuk tanam di sana. Para
peneroka tanah zaman itu telah mengambil inisiatif untuk membersihkan pusara ulama’ ini. Zaman
Kesultanan Melayu Melaka Sheikh
Ahmad Mahktum mungkin dilahirkan dalam awal tahun 1400an dan belayar ke sini
untuk berdakwah dan berdagang. "Batu Bersurat" mengandungi fakta
sejarah dan kegigihan ulama’ ini dalam menyibarkan dakwah Islamiah. Catatan
sejarah[1]
menyatakan dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, baginda melaksanakan
dasar peluasan empayar Melaka dan penyibaran agama Islam. Antara kawasan
taklukan Melaka waktu itu ialah Selangor, Bernam, Perak, Pahang, Kampar, Siak
Singapura, kepulauan Bentan dan sekitarnya. Para orientalis seperti Tom Pires
menulis tentang kegemilangan dan dasar pengislaman baginda. Antara lain
mengatakan : “Baginda mengambil semua puteri yang cantik-cantik daripada saudagar-saudagar Parsi serta Keling dan menjadikan gundik baginda, mengislamkan mereka sebelum berkahwin dan mengahwinkan mereka dengan anak-anak menteri dan disertakan mas kahwin, dan adat perkahwinan berlainan kaum ( kahwin campur) tidak menghairankan di Melaka.” Sultan
Mansur turut memuliakan alim ulama’ dan baginda sendiri belajar ilmu agama
hingga ke tahap ilmu tasawuf. Zaman baginda juga kerja menterjemahan
kitab-kitab agama dari Arab dilakukan seperti kitab Ad Durrul Manzum
karangan Maulana Abu Ishak dari Mekah. Penterjemah kitab inilah Makhdum Patakan
di Pasai. Sehubungan itu, nama Makhdum atau Makhtum ini mungkin serasi atau
dikenali sebagai orang alim dari tanah Arab. Ini kerana dalam “Salasilah Sulu”
ada juga mencatatkan pendakwah tanah Arab bernama Karim Al Makhdum (
kemudiannya dikenali Tuan Syarif Aulia) datang ke pulauan Sulu untuk
memperteguhkan Islam di sana. Terdapat
dakwaan juga yang mengatakan Sheikh Makhtum ini berasal dari Benua India. Kalau
berdasarkan namanya, kita mungkin cenderung untuk menganggap beliau
berketurunan Arab. Bagi sumber-sumber dari Sumatera pula mendakwa Sheikh Ahmad
ini berasal dari Minangkabau.[2]
Nawawi Haji Indek menyatakan bahawa beliau pernah bertemu seorang tua yang
telah lanjut usia ( 91 tahun) bernama Haji Hussin bin Zainuddin atau dipanggil
Haji Mat Kulum, orang tua ini mendakwa ulama’ tersebut dari Patani kerana
tulisan di batu nesannya banyak menyamai dengan tulisan di perkuburan Patani.[3] Berdasarkan
tahun di Batu Bersurat ini maka diyakini agama Islam telah tersibar di kawasan
Linggi atau negeri ini amnya ketika zaman kegemilangan kesultanan Melaka.
Kerancakan pengajaran agama Islam hanya dapat dikesan di awal abad ke 19 sahaja
ketika zaman Dato’ Kelana Bahai ( 1800- 1830an) dan Dato’ Muda Linggi Jeragan
Abdul Rahman. Zaman itu lahirlah tokoh – tokoh ulama’ terkenal seperti Haji
Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda, bapa kepada Sheikh Haji Jamaludin Idris.
Keturunan dan anak murid mereka telah
banyak merakamkan sejarah tentang kegigihan ulama’ dalam menyampaikan ilmu
Islam di negeri ini. Haji Hassan Basir ( 1915 – 1978) Latar
Belakang Tokoh
ini berasal dari Kampung Sungai Jelutong , Mukim Ulu Jempol dalam Daerah Kuala
Pilah. Dikenali sebagai Tuan Haji Hassan Basir atau nama penuhnya Hassan bin
Basir bin Julat. Ibunya bernama Judah binti Deli. Haji Hassan lahir dalam tahun
1915. Beliau adalah anak tertua dari lima adik beradik. Adik-adiknya bernama
Sulaiman, Sirak, Jaharah dan Haji Abdul Aziz[4].
Bapanya bertanggung jawab secara langsung
dalam mendidik anaknya ini kerana selepas memberi pendidikan asas,
beliau telah menghantar Haji Hassan dalam usia belasan tahun ketika itu
menuntut di Bukit Tinggi, Minangkabau Sumatera. Peliknya, beliau telah
menjuruskan Haji Hassan untuk menuntut ‘ilmu dunia’ terlebih dahulu sebelum
mengaji agama sehingga khatam di sana.. Menurut
adiknya Tuan Haji Abdul Aziz Basir, [5] abang telah menuntut ‘”lmu dunia” seperti
ilmu perdukunan, kebatinan dan persilatan. Difahamkan beliau berupaya membuat
lipan atau ular jadian dari ilmu yang dituntutnya. Selepas tamat berguru itu
barulah beliau memulakan pengajian dalam bidang agama di Pasentran Bukit
Tinggi. Butir-butir lanjut tempat pengajiannya sukar diperolehi kerana tiada
maklumat jelas. Setelah mengaji agama ini, Allahyarham Tuan Haji Hassan mampu
membezakan “ ilmu hitam dan ilmu putih” dan beliau akhirnya alim dalam bidang
agama. Balik
Kampung Sekembalinya
di kampung asalnya, beliau telah berkahwin dengan gadis sekampung bernama Somi
binti Ahmad. Hasil perkahwinannya, beliau mendapat ramai anak tetapi ramai pula
anak-anaknya meninggal dunia masa kecil. Anak-anak yang hidup menjadi pengubat
lara mereka antaranya bernama Rosnah, Samsidar, Roslina[6],
Norhayati[7]
, Roshidah dan Haji Nasarudin ( dikenali dengan nama ‘Udo’ ). Di kampung, beliau membuka kedai runcit dan
sebuah surau untuk mengajar anak-anak mengaji
Al Quran. Surau tersebut bersebelahan dengan rumahnya. Kanak-kanak
yang datang mengaji biasanya akan tidur di surau. Sebelum waktu maghrib, mereka
akan berduyun-duyun ‘balik surau’. Mereka terlebih dahulu bergotong royong
mengambil air perigi untuk memenuhkan tempayan dan membersihkan surau. Beliau
benar-benar komited dalam mendidik kanak-kanak tersebut. Apabila mendengar
kanak-kanak tersilap membaca Al Quran, Allahyarham akan menegurnya walaupun
waktu itu beliau berada rumahnya.
Menurut Haji Abdul Aziz, beliau dan kanak-kanak lain cukup kecut perut ( takut)
dengan Haji Hassan. Miskipun tidak pernah merotan budak-budak tetapi beliau
semacam ada ‘penggering’ yang mampu menakutkan mereka. Menjelang subuh, sesiapa
yang lewat atau liat bangun sholat berjemaah akan disimbah dengan air dari
tempayan. Mereka kemudianya pergi pula bersekolah rendah yang terletak
bersebelahan rumah Haji Hassan. Membina
Sekolah Kerana
prihatin dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak di kampungnya, Allahyarham
Haji Hassan telah mewakafkan sebahagian tanahnya yang bersebelahan rumahnya
untuk didirikan sebuah sekolah. Dengan bantuan penduduk kampung dan budak-budak
yang mengaji dengan beliau, mereka telah membina sekolah. Haji Abdul Aziz
menceritakan mereka bergotong royong tidak kira siang dan malam untuk meratakan
tanah sebagai tapak sekolah. Mereka menggunakan belulang kulit kerbau untuk
menarik tanah waktu itu. Dianggarkan sekolah ini mula beroperasi di awal tahun
1950an. Sekolah Melayu ini kemudiannya diberi nama Sekolah Rendah Kebangsaan
Sungai Jelutong. Allahyarham Haji Hassan Basir turut dilantik sebagai guru
agama di sekolah ini. Peringkat
awalnya, sekolah baru ini beratapkan rumbia dan meja serta bangkunya diperbuat
dari buluh sahaja. Bapa penyusun, Allahyarham Cikgu Baharuddin bin Muhamad[8]
( 1927 – 1985) adalah salah seorang Guru Besar sekolah ini. Beliau mula
bertukar ke sekolah ini dalam pertengahan tahun 1965. Penyusun turut bertukar
ke sekolah ini dalam tahun 1966 dalam darjah dua. Ketika itu bangunan sekolah
baru , sebuah rumah guru dan kantin telah dibina. Bangunan lama masih
berdindingkan papan tetapi masih boleh digunakan. Penyusun masih ingat padang
sekolahnya belum sempurna lagi kerana berlopak-lopak dan menjadi kubang kerbau.
Berbagai
aktiviti untuk memperindahkan sekolah dan meningkatkan tahap pendidikan
murid-murid telah dilaksanakan. Sudut makmal sains dan mini zoo turut
disediakan. Pernah murid-murid sekolah dikerahkan melapah seekor harimau akar
untuk dijadikan bahan kajian dan kulitnya dijadikan koleksi sudut sains sekolah kami. Haji
Hassan pernah bercerita kepada murid-murid sekolah kisah pengalamannya di Bukit Tinggi, Sumatera. Beliau selalu
diusik hantu yang kerap menjelma ketika beliau pergi atau pulang dari pusat
pengajiannya. Kerana marah dengan gangguan itu, suatu hari beliau telah
membakar muka hantu itu dengan suluh daun kelapa sehingga terbakar janggut
hantu. Mungkin kejadian itu ada kena mengena dengan ujian mengaji ilmu dunia
yang dipelajarinya. Peribadi Pada
hemat penyusun, Allahyarham Haji Hassan seorang yang mudah mesra dan peramah
bila bertemu seseorang yang sealiran dengannya. Ini kerana beliau kerap berbual
panjang dengan bapa penyusun dalam pejabat Guru Besar. Banyak rahsia perjuangan
masa lampau dari mereka berdua, terutamanya berkisar tentang gerakan
memperjuangkan martabat bangsa dan tanahair. Bapa penyusun sendiri adalah bekas
pelajar sekolah Jepun di Kua Gakuin Saimon Road, Singapura dalam tahun 1945.
Menurut ibu penyusun, beliau aktif dalam gerakan pro-kemerdekaan dan mungkin
terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda ( KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob
kerana banyak gambar-gambar lamanya dengan tokoh ini. Haji
Abdul Aziz Basir memberi tahu bahawa abangnya Haji Hassan pernah ditahan tiga
bulan oleh Penjajah British kerana disyakki terlibat dengan peristiwa
kebangkitan orang-orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang
dalam tempoh 14 hari iaitu 15 Ogos hingga 30 Ogos 1945 sebelum Tentera Berikat kembali menguasai
Tanah Melayu, kumpulan Tentera Bintang
Tiga yang dianggotai ramai kaum Cina telah bermaharajalela membuat kacau bilau.
Tempoh tersebut merupakan satu suasana vacuum kerana tiada mana-mana
kerajaan yang memerintah kecuali Kumpulan Bintang Tiga.[9]
Golongan ini telah membalas dendam terhadap penyokong Jepun dan sesiapa yang
dianggap talibarut. Peristiwa itu mencatat sejarah kerana ramai orang-orang
Melayu yang dianggap pro Jepun atau mangsa balas dendam peribadi menjadi
sasaran. Datuk penyusun sendiri telah hilang atau dibunuh oleh Bintang Tiga
ini. Akibat
tekanan yang mendesak ini, orang-orang Melayu dibanyak tempat dan tidak
terkecuali Kawasan Ulu Jempol ini telah bersatu dan bangkit menentang Bintang
Tiga. Peristiwa Perang Batu Kikir dianggap kemuncak ‘bertemu buku dengan ruas’
di mana hampir sebahagian besar penduduk menyertai gerakan sehingga terakam
peristiwa berdarah ini dalam lipatan sejarah pergolakan antara kaum waktu itu. Sebelum
kejadian Tragedi 13 Mei pula, Allahyarham pernah membayangkan kepada penduduk
kampung bahawa negara akan dilanda suatu bala’ dan menyarankan penduduk kampung
berwaspada. Peringatan itu disampaikan oleh beliau di Kilang Mesin Padi Simpang
Sungai Jelutong yang menjadi tempat penduduk kampung berkumpul. Bersara Selepas
bersara, Haji Hassan ada mengajar agama di masjid-masjid dalam Kariah Mukim Ulu
Jempol. Allahyarham Haji Hassan telah dua kali menunaikan fardhu haji, kali
pertama awal tahun 1950an dan terakhir selepas beliau bersara wajib dari
perkhidmatan. Beliau juga kerap dikunjungi orang untuk berubat dan dikatakan
pandai mengubat atau mengawal orang-orang yang
berpenyakit gila. Beberapa orang anak cucunya berjaya melanjutkan
pendidikan hingga ke Azhar dan Madinah dalam jurusan agama. Beliau meninggal
dunia dalam tahun 1978 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Ghalib,
Sungai Jelutong. Sekolah
Rendah Kebangsaan Sungai Jelutong yang diasaskannya telah ditutup dalam tahun
1980an kerana bilangan murid-murid di sekolah ini telah berkurangan. Ramai
anak-anak muda dan penduduk kampung telah berhijrah ke kawasan lain terutama
apabila banyak rancangan Tanah Felda dibuka. Dalam
tahun 1995, penduduk kampung khasnya waris-waris Allahyarham Haji Hassan telah
berusaha untuk menghidupkan semula sekolah yang telah terbiar itu dengan menubuhkan Sekolah Darul Aitam atau Tahfiz Al
Quran. Beberapa perjumpaan dan lawatan telah diatur dengan pentadbir Sekolah
Agama An Nurriah,[10]
Sungai Udang Melaka untuk menaja sekolah cadangan. Malangnya permohonan untuk
menggunakan premis sekolah yang telah terbiar ini tidak diluluskan oleh pihak
berwajib kerana mereka mempunyai perancangan jangka panjang untuk kawasan
tersebut. Sekarang, bekas sekolah ini telah dijadikan Pusat Kokurikulum Jabatan
Pendidikan. [1] Intan 1991, Buku Malaysia Kita halaman 105. [2] Nawawi Haji Indek, lawatan ke Langkat Medan dan Minangkabau. Rujuk buku “Alim Ulama’ Negeri Sembilan. [3] Haji Mat Kulum pernah menuntut di Patani dan melawat Kemboja bersama Sheikh Muhamad Said Linggi. [4] Berlainan ibu. [5] Haji Abdul Aziz Basir ( 1939) bekas Ketua Kampung Sungai Jelutong dan pesara tentera. Wawancara pada 2 Febuari 2004 ( Hari Raya Aidil Adha kedua). [6] Roslina Haji Hassan berkahwin dengan sepupu emak penyusun bernama Ibrahim Abd Jalil. Sila lihat riwayat hidup Lebai Maadah Layang yang menjadi guru Abdul Jalil. [7] Norhayati Haji Hassan telah meninggal dunia akhir 1960an dan pernah sekelas dengan penyusun. [8] Berasal dari Kampung Tengkek. Meninggal dunia pada 1985 kerana mengalami penyakit barah usus. Beliau menjadi Guru Besar sekolah ini dari tahun 1965 – 1971. [9] Buku Malaysia Kita. Halaman 476. Intan. [10] Perjumpaan di An Nurriah, Sungai Udang dan lawatan balas pimpinan Tuan Guru Haji Jaliluddin bin Haji Abdul Wahid ke Sungai Jelutong dalam tahun 1995. ___________________________ Terbitan : 21 Februari 2004
Diterbitkan oleh : |