Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

18 kes rasuah high profil: Rais penyebar berita angin no. 1?

Oleh ABANG MAHMOR

Mendengarkan gendang palu kerajaan mahu menangani rasuah sejak Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri, naik meluat pula mendengarnya.

Sebelum ini pun Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah membuat kenyataan yang sama tetapi tidak Badan Pencegah Rasuah (BPR) dikatakan tidak berjaya membawa banyak kes ke tengah kerana mendapat halangan atau fail dipenyap oleh pihak atasan yang mungkin kerana mendapat arahan oleh orang tertentu.

Badan bebas

Oleh kerana BPR lahir dari kerajaan dan digajikan oleh kerajaan, maka tidak hairanlah BPR tidak menjadi badan benar-benar bebas melaksanakan tugas mereka hingga BPR sendiri boleh dibeli orang-orang tertentu atas sifat mereka pun kaki tangan kerajaan juga yang memerlukan pelbagai tambahan dalam bentuk hidup selain dari makan gaji.

Tahap mereka sama saja dengan pegawai kerajaan biasa yang menerima rasuah dari orang ramai.

Khabarnya kalau ia melibatkan orang-orang kuat parti atau orang berpangkat tinggi, mereka juga malu-malu mahu mendakwa mereka yang terlibat dengan rasuah.

Atas sebab itulah BPR hanya berani bertindak terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan berpangkat rendah sahaja.

Kalau mereka mahu bertindak kepada yang berpangkat, lebih-lebih lagi menteri, mereka perlu mendapat ‘green light’ terlebih dahulu dari pihak atasan yang perlu memohon dari pihak yang lebih berkuasa hingga perlu meminta kebenaran Perdana Menteri terlebih dulu.

Gempar baru-baru ini Eric Chia, dan Kasitah Gadam ditahan BPR. Sah mereka itu akan menjadi ‘scape goat’ rasuah yang digemburkan oleh Rais Yatim.

Kononnya ada 18 orang lagi. Rakyat tidak lagi sebodoh zaman sebelum perang. Mereka bertanyakan mengapakah setelah 8 tahun baru tindakan diambil terhadap Eric?

Apa BPR buat selama waktu yang begitu panjang? Mengapa dah dekat dengan pilihan raya saja baru Erik Chia ditangkap.

Kemudian dibenarkan jamin, kes ditangguh hingga bulan Oktober, kemudian akan ditangguh lagi kerana kekurangan itu ini atau setidak-tidaknya Eric sakit.

Ia boleh berlanjutan hingga tiga empat tahun hinggalah mungkin ke arah membenarkan Eric meninggal dunia terlebih dahulu yang akhirnya kes beliau ditutup.

Tutup kes

Seterusnya tertutuplah kes yang akan membariskan ramai orang lain terlibat yang mungkin nama bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir sendiri yang banyak memberi ‘peluang’ kepada rakan bekas Perdana Menteri itu.

Kes melibatkan Kasitah Gadam yang bertaraf menteri pula hanya satu kes terpencil yang tidak melibatkan menteri kabinet yang lebih hebat diperkatakan seperti Rafidah Aziz, Mohd Nazri Aziz , Jamaluddin Jarjis, Dr Mohd Khir Toyo, Annuar Musa dan beberapa orang lagi yang kononnya akan diheret ke mahkamah.

Semua itu tidak mungkin berlaku kerana jika BPR benar-benar mengheret mereka pada ketika ini, tentunya ia akan mengesahkan kepada rakyat bahawa menteri-menteri Barisan Nasional penuh dengan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Rafidah orang pertama melenting bila disebut beliau tergolong dalam senarai BPR hingga mencabar sesiapa yang membangkitkan isu itu akan disaman.

Sepatutnya tidak perlu melenting atau memberi apa-apa amaran, suruh lagi BPR ketengahkan kes itu kalau ada kes.

Kalau tak ada kes, barulah Rafidah boleh menyaman BPR pula daripada melenting tak tentu fasal.

Masalahnya orang bercakap di mana-mana lebih memalukan daripada kes dibuka, perkara dibongkar, dibicarakan dan jika benar ia tidak bersalah, maka tidak ada apa yang hendak dirisaukan.

Ataupun minta BPR buat pengumuman yang Rafidah tidak ada kes dengan penjelasan sedikit supaya rakyat berhenti bercakap.

Cabar BPR

Seperti Mohd Nazri lain pula. Beliau mencabar BPR. Kalau nak tangkap-tangkaplah. Tetapi BPR yang begitu gah mengatakan macam-macam sebelum ini sunyi sepi tanpa menjawab apa-apa.

Keadaan Mohd. Nazri lebih baik daripada Rafidah. Begitu juga dengan heboh fasal Nazri sudah letak jawatan.

Apabila beliau membuat kenyataan bahawa itu tidak benar, sekurang-kurangnya orang ramai lebih yakin dari ayatnya sendiri. Jika tidak macam-macam orang kata dan menjejeh dari kedai kopi ke kedai kopi menceritakan benda yang belum tentu benar.

Rais Yatim juga satu hal. Beliau yang menjadi penyebar nombor satu yang menyebut ramai lagi ‘high profile’ yang akan didakwa selepas ini. Selepas ini tu bila? Pastinya bukan sekarang kerana pilihan raya sudah terlalu hampir.

Rakyat sudah sensitif. Semua mahu tahu siapa. Semua mahu melihat wajah mereka yang dikatakan oleh Rais itu benar-benar wujud dan jangan pakai sebut sahaja.

Dedah sekarang

Kalau benar ada, mengapa takut mendedahkan sekarang? Apa salahnya dengan pilihan raya jika rakyat sudah yakin yang kerajaan benar-benar mahu ke arah rasuah sifar?

Kalau selepas pilihan raya, alamatnya tidak adalah akhirnya kerana keadaan sudah selamat.

Akhirnya nanti orang ramai naik bosan kerana kerajaan hanya pandai buat pengumuman ala berita angin sahaja.

Sekarang pun sudah ada ura-ura pihak tanpa membawa mana-mana nama parti menghasut rakyat supaya tidak perlu keluar mengundi jika kerajaan tidak dedahkan siapa yang dimaksudkan ‘high profile’ itu.

Kes seumpama ini juga tersebar luas bahawa orang-orang KeAdilan yang menyertai UMNO disediakan wang sogokan dari pihak tertentu di pihak atasan.

Daripada cerita ini meniti dari mulut ke mulut, lebih baiklah BPR yang sepatutnya bebas dan pasti sudah mengetahui apa yang dikatakan ramai di pasaran hari ini bertindak dan mendakwa mereka yang terlibat kerana sudah ada yang sedia mengemukakan bukti terhadap perkara ini.

Kita tidak mahu BPR nanti dinamakan sebagai "Barua Penipu Rakyat" bukan lagi layak dengan nama Badan Pencegah Rasuah.





___________________________
Terbitan : 27 Februari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)