Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

`Barung' kawasan larangan berkempen

PULAU PINANG 4 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewujudkan satu kawasan larangan dalam lingkungan 50 meter dari pusat pengundian yang dikenali sebagai `barung' pada pilihan raya umum ke-11 nanti berikutan pemansuhan `pondok panas' yang dipersetujui oleh semua parti kerajaan dan pembangkang.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Abdullah Zawawi Mohamed berkata, `barung' merupakan kawasan yang bebas daripada sebarang taktik kempen di saat-saat akhir termasuk ugutan atau tipu-helah yang mungkin ditimbulkan oleh perayu undi.

``Tidak ada lagi pondok-pondok panas, semua parti politik termasuk pembangkang bersetuju dengan cadangan mewujudkan `barung' sebagai kawasan larangan.

``Perayu undi tidak lagi dibenarkan `mengacau' pengundi berikutan kawasan yang dikawal oleh polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua pegawai penguat kuasa SPR,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan taklimat SPR kepada pengurus dan pasukan penguat kuasa pilihan raya negeri ini di sini hari ini.

`Pondok-pondok panas' yang dibina oleh penyokong parti-parti bertanding kira-kira 50 meter dari pusat pengundian sering menjadi punca ketegangan disebabkan para perayu undi berkumpul untuk merayu undi walaupun tujuan asal pondok itu bagi membolehkan pengundi menyemak daftar pemilih dan saluran mengundi mereka.

Selain sentimen `pondok panas', kempen ganas turut tercetus ketika pilihan raya kecil Lunas, Kedah pada November 2000 dan Pendang serta Anak Bukit pertengahan tahun 2002 sehingga memaksa SPR mengesyorkan undang-undang ketat bagi memerangi budaya tidak sihat seumpama itu dalam arena politik negara ini.

Berikutan itu, Parlimen pada sesi persidangannya akhir tahun lepas menyetujui pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa kepada pengharaman semua `pondok panas' di samping memperakui penubuhan pasukan pemantau SPR bagi menangani kempen berbaur hasutan.

Abdullah berkata, SPR juga akan mewujudkan jawatan Penunjuk Arah bagi memastikan semua pengundi boleh mendapatkan bantuan mengenai arah dan saluran mengundi masing-masing daripada petugas khas dengan tidak lagi dijalankan oleh para petugas parti.

``SPR juga dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan di seluruh negara akan menyediakan kemudahan kerusi roda untuk membolehkan golongan kurang upaya dapat mengundi dengan sempurna.

``Dalam aspek ini, seramai 278 pembantu akan mengiringi mereka yang berkerusi roda ke tempat mengundi,'' katanya.





___________________________
Terbitan : 6 Februari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)