SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Keadilan tidak mungkin ulangi nasib Semangat 46Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Syed Husin Ali berbicara tentang pilihanraya umum ke-11, isu peralihan kepemimpinan negara, isu Petronas, juga dilema besar yang dihadapi pembangkang. Ikuti wawancara Ahmad Lutfi Othman bersamanya: LUTFI: Bagaimana Dr melihat senario politik mutakhir? Rata-rata orang beranggapan pembangkang berada dalam keadaan tertekan, tidak seperti mana 1999, bilamana ramai bercakap, bukan saja soal menafikan majoriti dua pertiga BN tetapi sehingga boleh mewujudkan kerajaan alternatif. DR SYED HUSIN ALI: Pembangkang terpaksa mendaki bukit yang lebih curam kini berbanding dengan sebelum pilihanraya 1999. Saya lihat masyarakat Tionghua dan India akan memberi sokongan lebih kepada BN. Sesetengah kenyataan PAS yang dibesar-besarkan oleh media akhir-akhir ini menimbulkan rasa takut atau curiga di kalangan pengundi Tionghua. Dalam keadaan demikian, usaha perlu dilipat ganda untuk menambah atau sekurang-kurangnya mempertahan sokongan pengundi Melayu. Kawasan-kawasan dengan pengundi Melayu atau Tionghua lebih dari 80 peratus mungkin mudah menjadi milik pembangkang. Tetapi masalahnya ialah di kawasan-kawasan campuran. Namun ramai pemerhati politik yang saya temui memberitahu 30-40 peratus pengundi Tionghua tetap akan mengundi pembangkang. Selain tiada isu besar, seperti isu Anwar dulu, persempadanan semula kawasan pilihan raya juga faktor utama yang dikira memihak BN, menekan BA. Lebih malang bila tekanan pemerintah yang giat disasarkan selepas pilihanraya 1999 menyebabkan aktiviti pembangkang seperti tersudut. Apa agaknya isu-isu besar pembangkang dalam kempen nanti? Mungkinkah isu Anwar terpaksa dipakej semula supaya kelihatan baru dan segar? DR SYED HUSIN: Dengan bantuan media perdana Abdullah digambarkan sebagai pemimpin yang kuat berpegang kepada agama, tegas melawan korupsi dan boleh membawa perubahan. Tetapi kepalsuan imej beliau perlu dan boleh didedahkan. Isu-isu korupsi dan penumpuan kekayaan yang mengakibatkan jurang sosio-ekonomi yang tambah melebar penting dibangkitkan. Tindakan mendakwa Eric Chia kerana pecah amanah RM76.4 juta seperti batuk di tangga kerana skandal Perwaja melibatkan kehilangan lebih RM12 bilion. Seterusnya, Abdullah tidak mahu dan tidak berani mengambil tindakan ke atas Rafidah Aziz, Samy Vellu dan Liong Sik, umpamanya, apatah lagi Mahathir. Begitu juga, kesempitan hidup rakyat ramai akibat ekonomi yang belum pulih dan juga peningkatan bayaran untuk kemudahan sosial yang diswastakan merupakan isu-isu besar juga. Sistem pendidikan yang bercelaru – termasuk soal SAR dan bahasa ibunda – membimbangkan rakyat ramai. Begitu juga dengan masalah sosial dan keselamatan yang bertambah buruk perlu ditekankan juga. Isu Anwar masih hidup, dan saya setuju perlu dipakej semula. Ada pihak melihat, hasil tekanan dan ugutan itu, budaya takut semakin mencengkam masyarakat umum tetapi lebih membimbangkan, kata mereka, rakyat mula bersikap tidak peduli terhadap politik, manakala saluran maklumat pembangkang kepada publik terputus. Komen Dr. DR SYED HUSIN: Ada golongan rakyat yang tambah berani, tetapi memang benar budaya takut agak mencengkam. Di kalangan anak-anak muda memang ada tanda bahawa mereka kecewa dengan corak politik yang ada sekarang. Manakala media milik atau kawalan parti-parti pemerintah semakin berleluasa memburukkan parti-parti dan pemimpin-pemimpin pembangkang, sekatan-sekatan tetap dikenakan ke atas ceramah dan penerbitan pembangkang. Harus difikirkan cara lain dari ceramah dan suara parti untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat ramai, misalnya pengedaran risalah yang lebih intensif. Sepatutnya pembangkang dapat menjangkakan tindakan BN yang agresif itu, khususnya selepas Umno menerima tamparan hebat pada 1999. Dan seharusnya sudah terbentuk pelan BA bagi menangkis riak agresif itu. Namun, ia dilihat tidak berlaku begitu, sebaliknya perpaduan BA goncang apabila DAP keluar. Soalnya, apakah dalam masa singkat ini, menjelang pilihanraya, sesuatu yang bermakna dapat dilakukan untuk menarik sokongan rakyat terhadap BA? DR SYED HUSIN: Ya, sepatutnya pemimpin BA berbuat demikian. Akan tetapi kami gagal kerana masing-masing lebih mengutamakan kepentingan parti sendiri daripada kepentingan BA seluruhnya. Malangnya sekarang ini BA jauh lebih lemah berbanding dengan sebelum pilihanraya 1999. Selepas pilihanrya, komponen-komponen penting dalam BA terperangkap dengan isu-isu yang memecahbelahkan dan dapat dieksploitasi oleh Umno-BN. Sifat memandang hanya kepada kepentingan parti dan kawasan sendiri, tanpa menekankan kepentingan yang lebih luas, dan tendensi tamak untuk membolot sebanyak-banyak kawasan yang baik untuk parti sendiri perlu diatasi demi mencapai kejayaan yang lebih baik bagi pembangkang seluruhnya. Parti-parti pembangkang perlu juga bekerja keras untuk memastikan strategi satu lawan satu menentang Umno-BN dilaksanakan. Ada pula melihat bahawa suasana "sejuk" sekarang tidak bermakna rakyat sudah kembali menyokong BN. Dalam senyap mereka masih bersama BA. Apa pandangan Dr. DR SYED HUSIN: Kadang-kadang keadaan menjadi bertambah hangat semakin dekat pilihanraya. Saya percaya sebilangan besar pengundi Melayu masih belum puas hati dengan pemerintah. Di negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu PAS boleh bertahan, dan mungkin di Kedah sokongan Melayu (tapi Melayu saja) meningkat. Umno-BN akan terus menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu, khususnya Tionghua. Tanpa sokongan bukan Melayu prestasi pembangkang di negeri itu akan terjejas. Negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Johor dan Negeri Sembilan masih merupakan kubu kuat Umno-BN dan susah hendak ditembusi pembangkang. Tetapi, macam-macam boleh berlaku semasa pilihanraya. Tokoh yang selama ini menjadi sasaran pembangkang, iaitu Dr Mahathir Mohamad sudahpun berundur. Walaupun nampak ada usaha untuk mengaitkan PM baru, Abdullah Badawi dengan warisan kezaliman Mahathir, tetapi dikatakan lebih ramai lagi yang bersedia untuk memberi peluang kepada Abdullah membuktikan kewibawaannya. DR SYED HUSIN: Parti-parti pembangkang perlu membuktikan dengan jelas bahawa pada asasnya Abdullah sedang dan akan terus melanjutkan dasar-dasar utama Mahathir. Kezaliman ke atas Anwar berterusan dan undang-undang zalim seperti ISA, Akta Percetakan, OSA dan AUKU akan terus diperalatkan. Kesungguhan usahanya untuk memerangi rasuah akan terbukti hanya jikalau beliau bertindak terhadap Najib, Rafidah, Samy Vellu, Liong Sik, anak serta adiknya, dan bahkan Mahathir juga. Perlantikan Mahathir sebagai Penasihat PETRONAS dan Nor Mohamed Yackop sebagai Menteri Kewangan II jelas merupakan langkah-langkah untuk memastikan segala pekung lama akan ditutup. Daripada kira-kira simpanan terkumpul PETRONAS sehingga kini yang sepatutnya berjumlah RM300 bilion, hanya tinggal RM50 bilion saja. Ke mana lesapnya wang sebanyak itu. Di bawah awasan Mahathir, Nor Mohamed telah berspekulasi pada awal 1990an, dan negara kehilangan kira-kira RM15 bilion. Akhirnya, Abdullah belum lagi berjaya meningkatkan ekonomi untuk rakyat ramai. Di samping tekanan BN dan manipulasinya terhadap jentera kerajaan, media, politik wang dsb., pembangkang juga kerap tersasar dalam strategi mereka. Semacam terdapat kecelaruan arah sesama mereka. Apa pandangan Dr dan bagaimana kaedah paling bijaksana untuk parti-parti pembangkang bersatu tenaga untuk berdepan dengan BN nanti? DR SYED HUSIN: Memang sayang sekali perkara ini sering berlaku dan sepatutnya dielakkan, kerana media mudah saja memutarbelit cakap pemimpin yang tersasar, bahkan yang tidak tersasar juga. Sepatutnya, kalau ada sesuatu perkara penting yang hendak dikemukakan harus dibincang dulu di kalangan pemimpin dalam parti sendiri dan juga parti sahabat, terutama dalam BA. Memang sudah ada mekanisme yang telah ditetapkan untuk berunding, tetapi jarang diikut. Sekarang ini Majlis BA tidak bertemu dan berbincang sekerap dulu. Strategi pilihanraya bersama perlu dibincang dengan teliti untuk menjelaskan matlamat dan penumpuan. Negeri-negeri sibuk menyiapkan manifesto bersama masing-masing, tetapi manifesto pusat yang muktmad masih belum siap dan semacam diperlengahkan. Mesti ada program minimum yang menyatakan isu-isu penting bersama yang perlu dipegang dan dikemukakan kepada rakyat. Jikalau tidak, semuanya akan sempang perenang kerana masing-masing ikut jalan masing-masing tanpa ada apa-apa koordinasi. Khusus buat KeADILan, ada pihak mendakwa nasibnya mungkin mengulangi tragedi Semangat 46. Malah, secara sinis, ada menjangkakan menjelang pilihanraya ada tokoh-tokoh besarnya akan menyertai Umno. Apa pun, yang pasti, perkembangan dalam parti itu menunjukkan, berbanding 1999, ia kini semakin merosot. DR SYED HUSIN: Saya mempunyai pengalaman dengan PSM46 dan pemimpin mereka. Bila saya bandingkan dengan keADILan dan pemimpin pentingnya, saya lihat kedua-dua parti ini berbeza sama sekali. Pemimpin dan anggota 46 kelihatan satu jenis saja, iaitu bekas Umno, dan kebanyakannya mempunyai kepentingan politik dan ekonomi yang banyak. Sebaliknya keADILan terdiri daripada banyak jenis: bekas anggota Umno, NGO, ABIM, JIM dan Reformasi. Saya tidak melihat kemungkinan keADILan bubar dan semua anggota masuk Umno. Kebanyakan pemimpin penting keADILan berani menegaskan sikap mereka sebagai pembangkang dan tidak takut menghadapi segala tekanan pihak berkuasa. Saya tidak lihat ini pada 46. Tetapi mesti diakui, memang ada di kalangan pemimpin keADILan yang lemah dan tidak tahan tekanan kerana sudah biasa dengan hidup mewah. Mereka akan mudah ditarik. Bahkan ada yang sudah dibeli. Tetapi bila ada yang keluar kerana kepentingan diri, parti akan jadi lebih bersih dan kuat. Setiap parti mempunyai pengalaman pemimpin mereka keluar dan masuk Umno-BN. Lupakah kita kepada Asri Muda, Othman Abdullah, Goh Hock Guan, Richard Ho, Kassim Ahmad dan lain-lain? Mereka keluar tetapi parti PAS, DAP dan PRM yang mereka tinggalkan terus berjuang dan bertambah kuat. Secara jujur, apa agaknya harapan Dr terhadap praya akan datang? DR SYED HUSIN: Saya harap parti-parti pembangkang dapat bekerjasama, wujudkan “program minima”, pastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN, dan berjaya memecahkan monopoli dua pertiga Umno-BN dalam Parlimen. Saya berharap juga lebih banyak negeri akan jatuh kepada pembangkang dan negeri-negeri yang kini dikuasai penuh oleh BN akan dapat ditembusi oleh BA. Tetapi, semua ini harapan sangat mencabar, bahkan sulit untuk mencapainya.___________________________ Terbitan : 24 Februari 2004
Diterbitkan oleh : |