Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Majlis Perbandaran Kemaman tidak peka

Penghuni Menderita
6:02pm Thu Feb 5th, 2004

Saya ingin membuat aduan mengenai longkang besar di Km 2 Jalan Air Putih, sepanjang jalan dari Kuil Hindu Kemaman hingga ke simpang masuk ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tersumbat. Ia mengakibatkan air sentiasa bertakung di longkang besar ini sepanjang masa, sama ada musim hujan ataupun kemarau. Kesannya, air dari longkang di Taman Desa Chukai, tidak dapat mengalir keluar dan tersekat di taman itu, sehingga berbau busuk sepanjang masa.

Ketika musim tengkujuh baru-baru ini, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melaksanakan projek mendalamkan parit dan memperbaiki longkang bertutup, tetapi malangnya ia tidak disiapkan sepenuhnya. Malahan, air longkang masih bertakung. Semua aduan susulan kepada MPK – secara surat rasmi, telefon, e-mail dan melalui lamanweb juga – tidak diendahkan.

Seterusnya, pengaduan secara rasmi dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan dan Bahagian Kerajaan Tempatan mengenai masalah tersebut. Malangnya ia masih tiada tindak balas yang positif diambil, walaupun aduan secara rasmi dan tidak rasmi, telah banyak dibuat sejak beberapa tahun lalu.

Yang menjadi masalah kepada kami ialah air longkang dari taman ini akan melimpah semula ke dalam tangki perkumuhan najis rumah masing-masing melalui saluran udara yang menembusi longkang. Sepatutnya, air yang penuh dari tangki perkumuhan najis itu yang mengalir keluar ke longkang taman tersebut.

Tekanan air ‘flush’ tandas menjadi terlalu rendah kerana tangki sentiasa dipenuhi air. Hal ini amatlah membebankan kami untuk membuang air kerana keadaan itu menyebabkan najis tidak mudah dikumbah keluar masuk ke dalam tangki.

Masalah menjadi semakin runcing apabila hujan turun. Najis langsung tidak akan tertolak keluar masuk ke dalam tangki. Kami terpaksa mencari tempat alternatif lain seperti tempat kerja dan bukannya di rumah untuk menunaikan hajat.

Ini sesekali menjadi igauan buruk, sehingga saya sanggup berusaha memasang kembali sistem perkumuhan rumah saya supaya masalah ini dapat diatasi. Malangnya, ia tidak berhasil selagi masalah longkang besar di luar sana tidak diselesaikan.

Tidak tertanggung lagi penderitaan kami setelah sekian lama dibelenggui dengan air longkang yang bertakung serta ditumbuhi kulat kehijauan sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk. Airnya amat busuk dan tandas pula gagal berfungsi dengan baik.

Kami amat berharap agar pihak terlibat, terutamanya MPK melalui Yang Dipertuanya, berusaha secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah takungan air di longkang besar di Km 2 Jalan Air Putih, seperti membina longkang konkrit yang dapat mengalir takungan airnya. Juga kepada pihak kerajaan negeri, agar lebih prihatin dengan nasib masyarakat seperti kami, dengan menyegerakan perlaksanaan projek tersebut, demi kesejahteraan masyarakat.





___________________________
Terbitan : 7 Februari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)