SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Bolehkah Terengganu dianggap Negeri Islam?
SOAL JAWAB ISLAM Soalan 1: Saya berpesan kepada seorang amil yang bertauliah supaya membayar zakat fitrah saya dan orang yang di bawah tanggungan saya. Entah macam mana amil tersebut terlupa membayarkannya pada masa yang sepatutnya. Adakah saya dikira berdosa dalam masalah ini? Bolehkah saya menjelaskan sebaik sahaja mengetahui berapa hari selepas Hari raya Puasa? -Amiruddin Ahmad, Besut. Jawapan 1: Mewakilkan kepada amil atau mana-mana orang Islam untuk menjelaskan zakat fitrah bagi pihak saudara dan orang di bawah tanggungan saudara adalah diharuskan sekiranya amil atau orang tertentu sanggup menerima wakil dalam perkara tersebut. Kalau orang itu terlupa menjelaskan zakat fitrah tersebut maka saudara (orang yang memberi wakil) tidak dikira bersalah. Oleh kerana zakat fitrah saudara dan orang dibawah tanggungan saudara belum ditunaikan pada masanya, maka saudara wajib menjelaskan zakat fitrah tersebut seberapa segera sebaik sahaja mengetahui zakat fitrah saudara itu belum ditunaikan. Soalan 2: Ketika bersolat tarawih disebuah masjid di salah satu negeri di Malaysia sebelum raya baru-baru ini saya dapati solat tersebut dikerjakan sepuluh rakaat sahaja. Tiada selawat seperti diamalkan di Terengganu dan di negeri-negeri lain di Malaysia, diikuti dengan witir tiga rakaat dan qunutnya terlampau panjang. Apa komen Dato’ Mufti kerana ini adalah baru bagi saya? -Umar Abdullah, Manir.
Jawapan 2: Solat sunat Tarawih adalah di antara qiamullail di bulan Ramadhan, dinamakan juga solat al-qiam. Imam Sayuthi mengatakan bahawa hadith sahih mengenai solat sunat terawikh itu tidak ada yang menjelaskan bilangan rakaatnya. Imam Ibni Hajar al-Haithami juga mengatakan demikian. Hadith yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w bersolat terawikh 20 rakaat itu adalah terlalu dhaif. Sayyidatina A’isyah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w qiamullail sebanyak 11 rakaat, tidak lebih dari itu sama ada di bulan Ramadhan dan lainnya. Daripada hadith itu, difahamkan bahawa Rasulullah s.a.w qiamullail di bulan Ramadhan 11 rakaat, 8 rakaat sunat tarawih dan sunat witir. Demikian juga berlaku di zaman Sayyidina Abu Bakar. Ulama’ berbeza pendapat mengenai bilangan rakaat solat sunat tarawih yang diamalkan di zaman Sayyidina Umar bin al-Khattab. Pendapat jumhur termasuk Imam Syafie ialah 20 rakaat, amalan itu dipersetujui oleh semua sahabat diikuti tabi’in dan sebahagian besar umat Islam sehingga hari ini. Imam seperti Ibni Taimiah mengatakan bahawa sebaik-baik solat sunat tarawih itu dikerjakan berdasarkan kemampuan masing-masing. Kalau mampu 10 rakaat diikuti dengan 3 rakaat sunat witir maka itulah yang terbaik baginya, kalau mampu 40 rakaat maka itulah juga yang terbaik baginya. Kalau dikerjakan 40 rakaat adalah diharuskan seperti yang dikerjakan oleh beberapa ulama seperti Imam Ahmad, Imam Malik di Madinah mengerjakan 36 rakaat ini memandangkan keberkatan bumi Madinah tidak sama dengan bumi Makkah. Tambahan pula ahli Makkah berkesempatan tawaf di masa istirehat di antara solat sunat tarawih sebagai ganti daripada tawaf itu maka Imam Malik menggandakan rakaat sembahyang sunat terawih itu menjadikannya 36 rakaat. Berdasarkan kepada penjelasan ringkas itu maka saya berpendapat bahawa bersolat terawih sebanyak 10 rakaat itu seperti yang saudara nyatakan itu tidak menjadi satu kesalahan, ianya termasuk juga di dalam qiamullail di bulan Ramadhan. Mengenai memanjangkan qunut di rakaat akhir witir itu tidak termasuk di dalam perkara yang dilarang asalkan tidak terlalu panjang dan mendapat restu daripada makmum. Memanjangkan qunut itu agak jarang diamalkan di negara kita Malaysia. Ketiadaan selawat kepada Rasulullah s.a.w selepas memberi salam solat sunat terawih itu tidak mengapa, tidak mencacatkan qiamullail di bulan Ramadhan. Tambahan pula tidak ada satu nas pun yang menunjukkan adanya selawat selepas solat sunat tarawih. Selawat tidak menjadi amalan khusus di antara solat sunat tarawih. Pada pendapat saya tidaklah menjadi satu kesalahan bagi mereka yang mengamalkan selawat di antara rakaat-rakaat solat terawih.
Soalan 3: Saya ingin mendapat penjelasan daripada Dato’ mengenai perkara yang berlaku di suatu petang dalam bulan Ramadhan yang lalu iaitu kesilapan bilal di sebuah masjid mengalunkan azan lebih kurang dua minit sebelum waktu maghrib. Sebahagian besar jamaah di masjid itu berbuka puasa. Bilal tersebut menyedari kesilapannya itu lalu mengazankan semula pada waktunya setelah berlalu dua minit. Berikutannya beberapa keadaan berlaku. Sebahagiannya meluahkan makanan yang dimakan sebelumnya dan berbuka puasa semula manakala yang lain pula meneruskan makan yang sudah dimulakan sebaik saja mendengar azan pertama. Dalam masalah ini apakah tanggungjawab pihak yang terlibat atau ahlI jawatankuasa masjid dalam menyelesaikan kekusutan yang berlaku itu supaya tidak berterusan menjadi tanda tanya mengenai puasa mereka sama ada sah ataupun tidak? -Farid Ismet Emir, Jerteh Jawapan 3: Berbuka puasa sebelum waktunya seperti yang berlaku di dalam kemusykilan di atas jika nyata salahnya maka batal puasanya. Oleh yang demikian semua yang terlibat hendaklah mengqada’kan puasanya itu. Setiap mukallaf bertanggungjawab di dalam ibadat masing-masing termasuk keyakinan waktu berbuka puasanya dan waktu ibadat solat. Adapun bilal mungkin tersalah, setiap perbuatan yang tidak disengaja tidak dikira salah di dalam Islam.
Soalan 4: Di dalam keadaan bagaimana seorang itu boleh termasuk di dalam kufur nikmat Allah dan apakah akibat yang akan diterimanya? -Alia Sahirah, Kemaman
Jawapan 4: Kufur nikmat ialah menggunakan nikmat Allah bukan pada tempatnya atau tujuan yang dijadikannya. Manakala syukur nikmat pula ialah menggunakan nikmat Allah kena pada tempatnya atau pada tujuan yang dijadikannya. sebagai contoh Allah menjadikan mata bertujuan melihat perkara -perkara yang baik. Diizinkan oleh Allah kalau melihat perkara-perkara yang dilarang maka dia telah kufur nikmat mata kurniaan Allah, Allah menjadikan akal adalah untuk memikirkan perkara yang mendatangkan kebaikan, kalau digunakan untuk tujuan yang tidak baik, maka ia telah kufur nikmat akal begitu juga nikmat-nikmat lain seperti harta benda, kesihatan dan lain-lain. Kufur nikmat ialah menyalahgunakan nikmat kurniaan Allah. Akibat daripada kufur nikmat Allah maka ia digolongkan ke dalam golongan orang yang berdosa akan menerima balasan di akhirat.
Soalan 5 Bolehkah Negeri Terengganu dianggap sebagai Negeri Islam atau mengamalkan pemerintahan Islam sedangkan kerajaan masih mengeluarkan lesen penjualan arak dan aktiviti riba di dalam negeri. -Nur Faqihah, Kuala Nerus
Jawapan 5: Ia. Negeri Terengganu boleh dianggap negeri Islam atau mengamalkan pemerintahan Islam, tetapi perlaksanaannya adalah berperingkat-peringkat berdasarkan bidang kuasa dan kemampuan yang ada termasuk pelesenan dan lain-lain.
Soalan 6: Apakah hukum seseorang Islam mengeluarkan kata-kata yang bunyinya begini ‘kata-kata nabi pun aku boleh lawan". -Isabella, Setiu
Jawapan 6: Tidak ada orang Islam yang sanggup mengeluarkan kata-kata sedemikian.
Soalan 7: Bolehkah seseorang Islam memilih seseorang pemimpin yang diketahui suka berbohong dan menyembunyikan sesuatu kebenaran? -Analiza Wizana, Jerteh
Jawapan 7: Tidak boleh
Soalan 8: Adakah wajib bagi seseorang Imam berniat zikir terlebih dahulu sebelum berniat memberitahu makmum tentang perpindahan rukun dan sebagainya apabila menyaringkan sebutan takbiratul ihram, takbir intiqolat dan salam? -Mariam Maisara, Gong Badak
Jawapan 8: Setiap perpindahan rukun fi’li di dalam sembahyang seperti daripada qiam kepada ruku’ atau sujud dan lain-lain adalah disunatkan bertakbir, dinamakan takbir intiqolat, sama ada imam atau makmum, kalau imam dinyaringkan suara takbir tersebut supaya didengar oleh makmum yang mengikutinya. Untuk bertakbir intiqolat itu tidak diwajibkan berniat zikir terlebih dahulu kerana takbir tersebut termasuk di dalam amalan sembahyang. Samalah sepertimana takbiratul ihram dan memberi salam.
Soalan 9 Bolehkah dibaca ayat-ayat al-Quran tertentu bagi menyelamatkan rumah kita daripada kecurian dan sebagainya? -Ismadi, Kota Putra Besut
Jawapan 9: Yang menyelamatkan kita dan rumah kita daripada sebarang perkara yang tidak diingini ialah Allah. Bermohonlah kepadanya dan berdoalah agar rumah kita diselamatkannya daripada kecurian dan sebagainya. Tidak menjadi kesalahan disisi agama kita memohon pertolongan daripada Allah melalui amalan-amalan yang baik seperti solat hajat dan membaca ayat-ayat tertentu daripada al-Quran.
___________________________ Terbitan : 7 Februari 2004
Diterbitkan oleh : |