Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Artikel yang memerlukan kita berfikir bersama

Oleh ANAK BUMI BERTUAH

Saya ingin mengambil perhatian terhadap rencana yang ditulis oleh Dr Ismail Ibrahim dalam Mingguan Malaysia, 22 Febuari 2004.

Antaranya, beliau menulis: "Tetapi kini masyarakat kita menjadi lebih canggih, segala sistem perundangan dan perbicaraan kes-kes jenayah telah berkembang pesat, maka keadaannya tidaklah semudah seperti apa yang berlaku di kampung pada zaman dulu itu.

"Menghukum penjenayah di khalayak ramai mungkin mendatangkan kebaikan untuk mencegah orang lain dari melakukan kesalahan yang serupa. Tetapi kesan yang diharap-harapkan ini mungkin hanya akan dapat terlaksana bagi orang-orang yang sihat minda dan jiwa raganya.

"Bagi orang-orang yang sememangnya jahat dan sakit jiwanya, maka mungkin hukuman ini tidak akan memberi sebarang kesan, kerana ketika melakukan perbuatan jenayahnya itu, mereka tidak sedar dan tidak lagi siuman sehingga akan memikirkan akibat yang akan diterimanya.

"Kalau kita mengambil kes Nurul Huda dan Haserawati sebagai contohnya, maka kita dapati bahawa orang-orang yang melakukan perbuatan kejam ke atas mangsa berdua ini adalah dalam keadaan yang tidak sedar dan sihat pemikirannya, besar kemungkinan ketika melakukan jenayah ini, mereka berada dalam pengaruh liar yang merasuk minda dan perasaan mereka.

"Mereka bukan lagi manusia yang sihat dan normal. Orang kampung zaman silam rasanya amat sihat badan dan jiwa raga serta akal fikirannya, kerana pada ketika itu orang kampung tidak punya radio, TV, apa lagi VCD dan Internet.

"Mereka tidak pernah melihat atau merasai sebarang serbuk atau bahan yang mengkhayalkan yang dibawa masuk dari luar, oleh itu mereka adalah manusia sihat dan normal.

"Orang kampung tidak pernah melihat filem seks, lapan belas tahun ke atas, MTV dan sebagainya. Ada tak ada pun sekali-sekala Jabatan Penerangan masuk ke kampung menayangkan gambar-gambar lawatan Tunku, atau dokumentari tentang lembu kerbau, tanam semula dan sebagainya.

"Kerana itulah pencuri getah yang dihukum di hadapan orang kampung pada masa itu berasa malu, lalu terus menghilangkan diri, dan tidak ada pula orang lain yang mahu melakukan jenayah yang serupa.

"Apakah hasil yang sama juga akan berlaku pada masa kini, iaitu di dalam masyarakat yang serba sakit ini, sekiranya hukuman sebat dilakukan di hadapan khalayak ramai?

"Persoalan ini haruslah dicarikan jawapannya yang tepat, kerana sejarah telah membuktikan bahawa hukuman mati mandatori terhadap pengedar dadah seolah-olah tidak ditakuti oleh orang-orang yang jiwanya telah dipengaruhi begitu hebat dengan pengaruh kebendaan dan wang yang banyak, maka mereka memperjudikan nyawa mereka ketika melakukan jenayah ini demi kerana wang dan kekayaan yang mudah dan cepat. Mereka dengan itu tidaklah merupakan manusia yang normal dan yang sihat hati nuraninya ...."

Dan di satu perenggan lain, Dr Ismail Ibrahim menyebut: "Maka dalam kes terbaru tentang rogol dan bunuh ini, amatlah wajar diberikan perhatian kepada pandangan yang mencadangkan supaya dikaji secara menyeluruh tentang dorongan yang menjadikan manusia melakukan jenayah berat seperti ini sebelum diambil sebarang kesimpulan dan tindakan yang salah.

"Sekiranya betul hukuman sebat di khalayak ramai itu didapati berkesan, dan benar-benar akan dapat mengurangkan jenayah tersebut, maka ayuh sediakanlah rotan untuk merotan penjenayah yang kejam itu di sebuah stadium bola sepak yang besar, dan disiarkan pula secara langsung oleh media TV, seperti yang diminta oleh sesetengah anggota masyarakat kita.

"Cuma yang menjadi persoalan, apakah langkah ini wajar dan berkesan berdasarkan kajian yang sepatutnya telah kita jalankan dengan penuh teliti, dan bukan hanya berdasarkan andaian dan ramalan semata-mata."

Merujuk kepada ayat beliau, "yang menjadi persoalan, apakah langkah ini wajar dan berkesan berdasarkan kajian yang sepatutnya telah kita jalankan dengan penuh teliti, dan bukan hanya berdasarkan andaian dan ramalan semata-mata ..."; adakah bermaksud selama ini memang tertanam diminda Dr Ismail bahawa al-Quran itu masih bukan satu panduan tetapi lebih kepada andaian?

Jika tidak masakan beliau meminta kajian teliti dibuat untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai, bukannya berdasarkan andaian dan ramalan semata-mata.

Sedangkan seperti yang kita maklum cadangan daripada beberapa pihak supaya undang-undang sebat (hudud) dilaksanakan terhadap penjenayah seperti perogol adalah berdasarkan al-Quran, bukannya logik-logik tertentu mahupun andaian-andaian.

Dan keberkesanan hukuman tersebut (mampu mencegah manusia daripada melakukan kejahatan) juga bukannya satu andaian, tetapi janji daripada ALLAH sendiri.

Tidak perlulah saya kemukakan ayat al-Quran mengenainya kerana saya pasti Dr Ismail lebih arif dalam hal ini (sudah pastinya lebih arif daripada saya).

Dan saya hairan mengapa pemikiran seperti itu lahir daripada minda seorang Pengerusi Majlis Fatwa. Kerana beliau adalah orang yang sepatutnya mengeluarkan fatwa untuk hukuman tersebut.

Dan beliaulah orang yang perlu mengeluarkan kajian bahawa undang-undang itu paling sesuai untuk membendung kejahatan manusia.

Bukannya menanam di minda masyarakat undang-undang itu masih boleh dipersoalkan lagi kewajarannya.

Dan kenapa pula apabila hendak dicadangkan undang-undang Islam terlalu banyak kajian serta penelitian perlu dilakukan.

Sedangkan apabila cadangan untuk melaksanakan undang-undang manusia ia terlalu mudah diluluskan, dan tidak mendapat teguran langsung dari majlis fatwa.

Terlalu lemahkah ALLAH itu sehingga undang-undangnya perlu dikaji dan dikaji untuk melaksanakan.

Bagi saya amat malang rakyat Malaysia mempunyai seorang Pengerusi Ahli Majlis Fatwa seperti Dr Ismail Ibrahim.





___________________________
Terbitan : 4 Mac 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)