Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

IKTIBAR KEKALAHAN PAS DALAM PILIHANRAYA KE 11

Walaupun terubat dengan kekalnya pemerintahanPAS di Kelantan, kita terpaksa menerima hakikat keperitan kekalahan PAS diseluruh negara yang hanyut bersama Terengganu dan misi tawan Kedah yang begitu gah dicanangkan.

Tetapi kalau kita berhenti sejenak dengan melapangkan fikiran dan cuba merenung kembali secara rasional akan sebab-sebab kekalahan yang pahit ini insyaallah kita kita akan dapat mengembalikan kekuatan kita.

Kemenangan PAS di atas faktor luar bukan kekuatan sendiri.

Kita lihat dulu apakah faktor kemenangan PAS dalam pilihanraya ke 10 dahulu.Kejayaan PAS memerintah Terengganu secara asasnya bermula dari tahun 1990 lagi iaitu apabila berlaku pakatan dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Pakatan ini terus berjalan sehinggalah tambahan faktor Anwar Ibrahim pada tahun 1999 telah menambahkan lagi angin kemarahan pengundi atas pagar dan penyokong UMNO kepada BN.

PAS menang di atas faktor protes dari UMNO/BN sendiri berdasarkan isu-isu tadi. Sebenarnya faktor kekuatan PAS sendiri boleh dikatakan amat kecil. Semasa era Anwar Ibrahim proses islamisasi yang beliau perjuangkan telah dapat diterima majoriti penyokong UMNO yang menyebabkan PAS pada waktu itu berada dalam keadaan agak lemah. Apabila Anwar Ibrahim dimalukan maka golongan ini menjadi marah lalu menyokong PAS sebagai protes. Sekarang isu tersebut telah menjadi nasi sejuk dan UMNO meyedarinya lalu mengambil kesempatan dengan memujuk kembali mereka dengan bantuan wang ehsan yang jumlahnya ratusan juta ringgit. Begitu juga diseluruh negara, dipercayai faktor politik fulus ini memainkan peranan besar.Stail Pak Lah yang langsung tidak menyerang PAS secara pribadi tidak sebagaimana Mahathir juga dipercayai mempengaruhi pengundi atas pagar.

UMNO secara optimis mengisytiharkan akan mendapat kembali 20 kerusi di Terengganu beberapa hari sebelum pilihanraya ke 11 ini.Ini berdasarkan 14 kerusi yang dimenangi PAS adalah di bawah 710 undi. Dengan kerja keras semenjak 3 tahun kebelakangan yang memang telah diakui pimpinan PAS Terengganu maka hasilnya telah mereka tuai dalam pilihanraya kali ini dan ternyata melebihi target sebenar mereka.

Misi tawan Kedah dan persempadanan semula

Misi Tawan Kedah adalah tidak lebih sebagai gimik yang kebanyakan ahli PAS sendiri tidak yakin pada awalnya. Namun setelah digahkan secara besar-besaran mereka termakan juga walaupun semua menyedari persempadanan semula kawasan pilihanraya jelas memihak kepada BN.

Di atas kertas boleh dikatakan hampir kesemua kawasan DUN yang dimenangi PAS dalam pilihanraya ke 10 akan kalah kecuali beberapa kerusi yang dilonggok dengan pengundi PAS tulin. Maka dalam pilihanraya kali ini 5 kerusi iaitu Bukit Pinang, Belantek, Tokai(Bukit Raya), Sala dan Tanjung Dawai dimenangi PAS walaupun Tanjung Dawai agak memeranjatkan pemerhati politik.

Pengundi cina dan isu ubat tamat tempoh

Setelah persempadanan semula kawasan, kawasan yang menjadi kubu kuat PAS dipecahkan dengan kehadiran pengundi cina.Di Kedah seperti di Pokok Sena, Baling, Jerai(Yan) dan Kuala Kedah peratus pengundi melayu jelas dikurangkan dengan kaedah ini. Untuk merealisasikan impian PAS tawan Kedah, PAS perlu memecah masuk ke dalam pengundi cina untuk menarik undi mereka. Kita terpaksa menjanjikan beberapa perkara untuk meyakinkan mereka sedangkan dalam waktu yang sama hampir seluruh media BN telah meyerang dan membohongi rakyat memburukkan PAS.

Malangnya beberapa hari selepas parlimen dibubarkan tumpahan racun dari ‘Ubat Yang Telah Tamat Tempoh’ ke atas pimpinan DAP oleh pimpinan kita telah meracun pengundi cina yang amat kita harapkan itu. Orang-orang cina amat marah penghinaan tersebut sehingga telah membayangkan sebelum pilihanraya lagi DAP akan kembali dan telah terbukti dalam pilihanraya kali ini. Pimpinan DAP mendapat kembali majoriti besar di Cheras, Kepong dan Ipoh Timur serta beberapa tempat lagi. Trend ini jelas diterjemahkan di Kedah kerana analisis awal menunjukkan tidak ada sebarang swing yang ketara dari pengundi cina. Undi yang diperolehi merupakan dari penyokong PAS tulin.

Akhbar The Star telah menelefon seorang pimpinan muslimat Kedah untuk menjolok isu dan akhirnya terbitlah berita PAS akan memperkenalkan kod etika pakaian kepada bukan Islam jika dapat memerintah Kedah. Isu ini sedikit sebanyak telah menakutkan pengundi cina walhal dapat dielakkan jika pimpinan sepakat mengawal sebarang kenyataan yang nak di keluarkan.

Serangan keatas Keadilan

Serangan secara terus ke atas Syed Husin Ali dihari perisytiharan calon BA di Kelantan menambahkan lagi parah kemelut dalam BA yang terluka akibat kemasukan 12 jahanam kedalam UMNO (walaupun pimpinan BA tidak mengakui). BN menggunakan isu ini untuk menambah lagi malu pimpinan Keadilan. Adalah terdapat kemungkinan penyokong keadilan telah memprotes dalam senyap melalui undi kali ini. Di kawasan majoriti melayu di bandar seperti Shah Alam dan Titiwangsa majoriti yang BN perolehi adalah cukup besar yang jelas menggambarkan sokongan pengundi melayu kepada BN telah kembali seperti asal. UMNO kembai bersatu melawan PAS.

Jentera PAS yang kurang jitu

Jentera PAS menghadapi pilhanraya kali ini jelas ketinggalan berbanding BN. Dalam pilihanraya ke 10 isu Anwar Ibrahim yang dimainkan jentera Keadilan banyak membantu. Kali ini ditambah dengan undang-undang SPR yang ibarat menabur duri dijalanan ternyata berjaya menjadikan langkah jentera PAS sumbang. Petugas-petugas seolah berjalan dalam hutan diwaktu senja takutkan ular bimbangkan dipagut kesalahan undang-undang SPR. UMNO jelas tidak terjejas sedikit pun.Pondok panas BN jelas lebih strategik kedudukannya berbanding kita.

Kita telah melihat faktor-faktor yang dibentangkan di atas. Saudara boleh menilai samada betul atau salah.Kita bukannya bertujuan untuk menyalahkan sesiapa namun inilah apa yang telah berlaku sebagai iktibar.

Tidak guna kita meratapi kekalahan ini. Dunia ini tidak sempit bagi pejuang Islam tulin. Ayuh kita kembali menyusun strategi dengan memulakan dari dalam diri kita sendiri. Cuba renung sejenak adakah apa yang sedang kita perjuangkan benar-benar telah kita hayati. Tertegakkah Islam dalam diri kita, keluarga kita, sebelum kita keluar ke medan.

Ujian kekalahan hanya ukuran dunia sahaja, sedangkan kejayaan sebenar adalah diukur di atas apa yang telah curahkan samada lillah atau sebaliknya. Setiap apa yang berlaku adalah di atas kehendak dan ketentuan Allah subhanahu wata’ala. Marilah kita bersama menyusun kembali saf perjuangan semoga kita sama-sama bergerak sebagai satu saf yang benar-benar lurus di atas jalan hidayah Allah. Semoga segala keringat yang telah kita curahkan diterima Allah sebagai sebahagian amal soleh kita, yang tidak di harapkan oleh golongan sebelah sana. Takbir!!

Awang cabok.





___________________________
Terbitan : 25 Mac 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)