KENYATAN MEDIA
25 MAC 2004
GANTUNG KEPUTUSAN PILIHANRAYA: SEGERAKAN PENUBUHAN SURUHANJAYA BEBAS
Impak menggesa Jawatankuasa Bebas yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera ditubuhkan, sementara itu, keputusan Pilihanraya Umum ke 11 yang lalu perlu digantung dan urusan pentadbiran kerajaan terus diterajui kerajaan sementara (caretaker government). Kerajaan yang ditubuhkan hasil keputusan pilihanraya yang dikendalikan oleh sebuah suruhanjaya yang hilang kredibiliti, lemah dan dipertikaikan, adalah sebuah kerajaan yang kabur falsafahnya, tipis keesahannya dan rendah moral demokrasinya.
Badan bebas itu nanti harus berbentuk sebuah Suruhanjaya DiRaja yang bertanggungjawab kepada Yang DiPertuan Agong, dan hasil kajiannya haruslah dibahaskan di Parlimen seperti yang dicadangkan oleh SPR.
Cadangan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tentang penubuhan badan bebas perlu dianggap penting dan mustahak, malah sudah mencapai tahap genting bagi rakyat negara ini yang telah terhakis kepercayaan mereka terhadap suruhanjaya itu.
Impak melihat, Pilihan Raya Umum ke 11 adalah pilihanraya yang paling tercemar dan bercelaru dalam sejarah Negara, walaupun pada peringkat awalnya SPR kelihatan tampil lebih bergaya dan kelihatan glamour dengan banyak pindaan dan peraturan baru diperkenalkan. Namun ternyata SPR hanya nampak glamour dan cekap di atas kertas sahaja apabila pelaksanaan sebenar kaedah-kaedah baru itu pincang berpunca daripada manipulasi dan campurtangan politik yang telah berlaku sejak awal lagi.
Fungsi, organisasi dan operasi SPR harus terbuka untuk siasatan, dan pandangan, aduan, kritikan, serta laporan-laporan semua pihak, sama ada parti-parti politik, pengundi, calon-calon atau ahli-ahli Parlimen yang dibuat sebelum ini harus diberi keutamaan dalam siasatan kelak.
Campurtangan politik, manipulasi, penyelewengan, kelemahan undang-undang, ketidakupayaan dalam pelaksanaan peraturan, kelemahan pegawai dan kakitangan, serta kecelaruan daftar pemilih adalah paling ketara yang mencalarkan wibawa SPR, dan inilah aspek terpenting yang memerlukan kajian dan siasatan. Sekiranya siasatan mendapati unsur-unsur ini mempangaruhi perjalanan dan keputusan pilihanraya umum lalu, maka satu pilihanraya semula perlu diadakan segera untuk memulihkan demokrasi di Negara ini.
Impak berkeyakinan bahawa penubuhan segera suruhanjaya bebas ini dinanti-nantikan oleh setiap lapisan rakyat, pengundi, parti-parti politik pembangkang dan kerajaan, kerana kritikan dan aduan terhadap SPR dibuat oleh semua pihak yang terlibat dalam pilihanraya lalu termasuk YAB Perdana Menteri sendiri.
Kami juga percaya semua parti-parti yang bertanding bersedia untuk menghadapi pilihanraya semula yang dilaksanakan secara adil, telus dan bertanggungjawab.
HJ MAHFUZ HJ OMAR
PENGERUSI IMPAK
___________________________
Terbitan : 29 Mac 2004
Ke atas
Home