SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun PM musnahkan peluang ketiga wujudkan pemerintahan bersih rasuahOleh Ahmad Lutfi Othman SAYA ada sebab tersendiri untuk menunggu pengumuman Perdana Menteri mengenai kabinet barunya, tengahari Sabtu lalu, selepas mendapat mandat besar dalam pilihanraya terburuk dalam sejarah negara, sejak 1959. Sehari sebelum itu, rakan saya, Dr Agus Yusoff, memaklumkan beliau dijemput sebagai penalis TV3, bagi mengulas secara langsung pembentukan kabinet Abdullah Ahmad Badawi, yang ditunggu-tunggu itu. Sempat juga saya minta beliau menekankan beberapa mesej penting, antaranya mengenai pemerintahan yang telus dan berintegriti, memerlukan anggota kabinet yang bersih dari rasuah dan salahguna kuasa. Soalnya, mampukah, atau beranikah Abdullah melakukan perubahan? Jam 11 pagi, saya terpaku di depan TV. Menurut jadual, setengah jam kemudian Abdullah akan mengumumkan pasukan kabinetnya. Saya agak tertekan kerana terpaksa mengambil anak yang berlatih bola jaring pagi itu. Terkocoh-kocoh juga saya memandu, walaupun menyedari radio juga menyiarkan pengumuman berkenaan. Santai Saya lebih selesa jika dapat mencatat barisan kabinet dalam suasana santai. Balik dari sekolah, dua lagi anak saya terpaksa dihantar ke kelas tambahan, berdekatan pasaraya Bintang, Ampang. Mereka mesti sampai sebelum jam 12.30 tengahari. Di TV3, Dr Agus dan seorang lagi penalis masih berhujah. Sementara menunggu anak-anak bersiap, saya memasang telinga mendengar radio dalam kereta, sambil tangan memegang pen untuk merakamkan sejarah penting ini. Rupanya Abdullah terlewat hampir satu setengah jam; mungkinkah ada pertukaran di saat-saat akhir? Mulanya, disebabkan saya memandu, saya minta anak sulung, Ahmad Luqman Hakim mencatat nama-nama penting yang diumumkan Abdullah. Namun, hanya selepas beberapa ketika, saya kehilangan minat, dan minta Luqman simpan saja pen dan buku kecil. Nama-nama yang diumumkan langsung tidak menggambarkan kesungguhan Abdullah untuk membawa Malaysia ke era baru, yang dikatakan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang! (Teringat saya akan lakaran kartunis Zunar mengenai ungkapan “terbilang” apabila Abdullah dan satu-satunya anak lelaki beliau, Kamaludin - antara 10 Melayu terkaya di Malaysia – sedang bersama-sama “membilang” gumpalan duit). “ Tidak kompromi Peluang ketiga” yang saya berikan kepada Abdullah untuk buktikan dia benar-benar serius mahu mewujudkan pemerintahan baik yang tidak berkompromi dengan korupsi hilang begitu sahaja. Saya tak pasti, apakah saya benar-benar kecewa atau marah ketika itu? Dan apa sebenarnya “peluang ketiga”? Janji-janji Abdullah, sebaik saja mengangkat sumpah sebagai PM ke-5, akhir Oktober lalu, untuk membanteras rasuah begitu menarik rakyat. Semua pihak menyambut baik dan mengharapkan amalan jijik yang subur dengan baiknya pada era Dr Mahathir Mohamad dapat diperangi habis-habisan. Apatah lagi apabila PM acap kali mengisytiharkan komitmennya itu sama sekali tidak ada kena mengena dengan demam pilihanraya. Agak lama juga rakyat menahan sabar mendengar retorika Abdullah dan pengulangannya untuk memastikan rasuah berkubur. Negara gempar bila bekas bos Perwaja, Eric Chia, yang juga kenalan rapat Mahathir dibawa ke mahkamah, walaupun kes yang dipilih Peguam Negara nampak cukup ringan berbanding kerugian berbelas billion syarikat besi keluli itu. Apabila Abdullah mencipta kejutan dengan menangkap seorang menteri kabinetnya - yang paling tidak dikenali - Kasitah Gaddam, juga atas dakwaan rasuah, saya kira ragu-ragu sama ada beliau akan memastikan beberapa lagi anggota kabinetnya turut ditahan. Jika itu benar-benar dilakukannya, saya pasti angkat topi dan mengangkat tabik hormat buatnya. Dan inilah saat yang kita nantikan sejak sekian lama. Kertas siasatan SPR Bukan rahsia lagi, terutama bagi saya yang agak kerap berurusan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR), bahawa badan siasatan yang tertakluk kepada arahan PM itu sudahpun menyiapkan kertas siasatan tokoh-tokoh penting kerajaan. Rais Yatim kemudiannya mengiakan apabila beliau berkata ada 18 kes rasuah membabitkan VIP. Masalahnya bukan soal tiada cukup bahan bukti untuk dibawa ke mahkamah, tetapi kekurangan tekad politik untuk membersihkan barisan kabinet daripada menteri-menteri korup! Memahami realiti politik yang mengikat Abdullah, apatah lagi beliau belum pun disahkan sebagai Presiden Umno, saya memberi “peluang kedua” buatnya bagi membuktikan beliau benar-benar serius mengotakan janjinya memerangi rasuah, dengan bukan hanya menjerat bilis tetapi juga mahu menangkap jerung. Apa yang saya maksudkan dengan “peluang pertama” ialah melalui mahkamah, yang tentunya hati kecil kita sendiri merasakan, masakan Abdullah sanggup untuk menahan rakan-rakannya dalam kabinet, terutama yang mempunyai posisi penting dalam parti komponen BN. Peluang kedua, deraan politik Manakala “peluang kedua” ialah memberi peluang terbuka buat Abdullah untuk mengenakan “hukuman politik” (bukannya hukuman melalui mahkamah) kepada tokoh-tokoh BN yang sudah dikenal pasti terbabit dengan rasuah, melalui kertas siasatan BPR. Maksud “deraan politik” ialah menggesa tokoh berkenaan untuk meletakkan jawatan secara terhormat, misalnya atas daleh kesihatan, ataupun lebih mudah lagi menjelang pilihanraya yakni dengan tidak memilih mereka sebagai calon BN. Bagi saya peluang kedua ini terlalu mudah untuk Abdullah lakukan. Mungkin beliau tidak tergamak menyeret teman-temannya ke mahkamah, tetapi untuk menggugurkan mereka sebagai calon, saya kira, PM tentu lebih selesa. Justeru, apabila mendengar beberapa menteri dan menteri besar akan digugurkan, ataupun ada MB yang bertukar ke kerusi Parlimen, ramai juga teman-teman yang menarik nafas lega, Biarpun tindakan itu cukup jauh dari matlamat yang kita kehendaki, tetapi sebagai langkah awal, biarlah kita beri peluang buat Abdullah. Malang sekali, hasrat itu tidak kesampaian. Nama-nama kontroversi tetap terpilih sebagai calon. Ada yang dikatakan hampir digugurkan, tetapi selepas “berguling menangis” di depan Abdullah, nama mereka kembali tersenarai di peringkat DUN. Tentulah kecewa dibuatnya dengan sikap “lembik” Abdullah itu. Secara peribadi, saya masih menaruh harap buatnya, dengan memberi “peluang ketiga” ketika kepada Abdulah untuk tidak melantik semula mereka sebagai anggota kabinetnya ataupun sebagai menteri besar/ ketua menteri. Tidak perlu saya menyenaraikan tokoh-tokoh berkenaan kerana ia telahpun diketahui umum, manakala ada yang telahpun disiapkan butiran kertas pertuduhannya oleh Jabatan Peguam Negara. Hanya menambah hampa Abdullah masih sengaja mahu mengecewakan rakyat dengan barisan menteri besar/ ketua menteri barunya, manakala senarai kabinetnya hanya menambah hampa lagi harapan untuk kita melihat pasukan menterinya yang bersih rasuah itu. Dengan ketiga-tiga peluang yang dilepaskan Abdullah itu, saya kira tidak salah untuk saya menyerangnya terus, sekali gus merumuskan bahawa janji-janjinya dulu hanya palsu semata-mata. Benar sekali ingatan seorang teman baik saya: Kalau benar Abdullah mahu mewujudkan pemerintahan bersih dari rasuah, langkah pertama yang mesti diambilnya ialah menyediakan satu pilihanraya yang benar-benar bersih dalam sejarah negara ini. Saya cuba mengulas hal berkenaan, mengenai pilihanraya terburuk itu, di bawah seliaan Abdullah, selepas ini. Jumpa lagi.___________________________ Terbitan : 29 Mac 2004
Diterbitkan oleh : |