Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

ISU SERANGAN PERIBADI; KEBENARAN MESTI DIZAHIRKAN

Kenyataan Rasmi bertarikh 17 Mac 2004

ISU SERANGAN PERIBADI;
KEBENARAN MESTI DIZAHIRKAN

SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM) yang menggabungkan 7 kumpulan mahasiswa dari pelbagai latar belakang pendidikan, agama, kaum dan bangsa berpendirian bahawa kebenaran mesti dizahirkan dan didedahkan termasuk di dalam kempen pilihanraya. Segala penyelewengan dan salah guna kuasa oleh mana-mana pihak termasuk parti yang pernah diberi mandat untuk memerintah negara mesti dibongkarkan kepada rakyat agar mereka tidak buta dalam membuat penilaian serta membuat keputusan dengan penuh sedar dan yakin terhadap parti dan calon yang dipilih mereka.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berpandangan bahawa dalam konteks mendedahkan penyelewengan mana-mana menteri atau pun wakil rakyat di kalangan pembangkang adalah tidak salah untuk didedahkan agar rakyat celik dan tidak tertipu dengan propaganda-proganda dari pihak tertentu. Hanya pihak yang benar-benar bersalah dan bergelumang dalam dunia penyelewengan sahaja yang takut untuk didedahkan kesalahan dan pengkhianatan mereka terhadap rakyat.

Mengulas tentang kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa kenyataan Presiden PAS, YAB Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang yang membenarkan serangan peribadi berdasarkan Syari’at sebagai keterlaluan, SMM menyokong kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya serangan peribadi yang dibuat adalah memfitnah dan tidak mempunyai asas bukti. Namun demikian, mana-mana ahli politik samada Barisan Nasional atau Barisan Alternatif termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tidak perlu takut sekiranya mereka benar-benar bersih dari sebarang amalan pengkhianatan amanah rakyat. SMM berpendirian bahawa kebenaran adalah tetap kebenaran, dan kebenaran mesti diselongkarkan kepada rakyat di seluruh negara. Malah SMM juga beranggapan bahawa YAB Berhormat Perdana Menteri sendiri tidak perlu risau berkenaan serangan peribadi kerana beliau dikenali sebagai ‘Mr. Clean’. Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya menyontohi beliau dalam aspek tersebut.

Menyentuh juga berkenaan serangan peribadi, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Berkatalah benar walaupun kebenaran itu pahit” adalah satu menifestasi yang menggambarkan bahawa walau sepahit dan sesukar mana sekalipun kebenaran itu, namun di atas prinsip ketelusan dan keikhlasan, kebenaran mesti dizahirkan. Adalah benar terdapat larangan Allah terhadap amalan caci mencaci, namun Allah juga tidak akan redha terhadap mereka yang bisu daripada bercakap benar dan membiarkan manusia yang mengkhianati amanah terus berkuasa di muka bumi-Nya. Ini memberi erti bahawa mendedahkan kesalahan orang diharuskan untuk menutup kemudharatan yang lebih besar dan mengancam kemaslahatan umum.

Justeru, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menegaskan bahawa kebenaran mesti dizahirkan selagimana ia tidak melanggar batas agama dan sampai ke tahap fitnah serta berbohong. Rakyat mesti diberikan peluang untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting sebelum mereka memilih calon yang akan mewakili mereka. Rakyat tidak bodoh dan mereka mampu untuk menilai antara yang hak dan batil. Calon-calon yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa, menyeleweng dan mengkhianati amanah rakyat tidak boleh dilindungi dan mesti disingkirkan dalal pilihanraya kali ini.

Solidariti Mahasiswa Malaysia adalah dianggotai oleh Majlis Persidangan Mahasiswa Islam (MPMI), Universiti Bangsar Utama (UBU), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Independent Student Resource and Legal Training Centre (ISREC), Gerakan Pemuda dan Mahasiswa Demokratik (DEMA), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Disediakan oleh,

KHOIRUL ANUAR MAT JUKI
Pengerusi
Solidariti Mahasiswa Malaysia





___________________________
Terbitan : 17 Mac 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)