Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Moqtada berikrar tindak balas terhadap AS

BEIRUT 16 April - Ulama Syiah, Moqtada al-Sadr hari ini memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa rakyat Iraq akan bertindak balas dengan kekuatan yang tidak dapat dibayangkan jika tentera AS melaksanakan misi untuk membunuh atau menangkap beliau.

``Jika saya dibunuh atau ditahan, rakyat Iraq akan mengetahui cara untuk bertindak balas dengan kekuatan dan kehebatan yang tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun,'' kata Moqtada dalam wawancara dengan akhbar Lebanon, as-Safir.

``Ugutan mereka untuk membunuh atau menangkap saya berpunca daripada kelemahan dan kegagalan mereka dalam menghadapi apa yang telah dan sedang berlaku di Iraq,'' tegas ulama muda itu sambil mengisytiharkan beliau tidak takut mati.

Washington berikrar untuk membunuh atau menangkap Moqtada selepas militia Tentera Mehdi pimpinannya melancarkan pemberontakan.

Tentera AS kini bersiap sedia untuk menggempur kota suci Syiah, Najaf yang dikuasai oleh pengikut setia beliau.

Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Richard Myers berkata semalam, rundingan sedang berjalan untuk mengelakkan pertumpahan darah di Najaf.

Satu delegasi dari Iran berada di Iraq untuk membantu usaha perantaraan antara tentera penceroboh pimpinan AS dengan Moqtada.

Seorang jurucakap Moqtada berkata kelmarin, ulama itu telah menggugurkan syarat untuk berunding. Namun Moqtada telah memaklumkan perkara yang sebaliknya kepada beberapa wakil media.

Beliau mengutuk pencerobohan AS di Iraq dan menggesa rakyat Iraq menentangnya.

``Amerika yang kononnya menyeberangi lautan untuk membebaskan Iraq dan menyebarkan demokrasi sebaliknya telah mendudukinya, memusnahkan infrastrukturnya dan mencetuskan perasaan cemas di kalangan rakyatnya di samping menyekat setiap penyokong kebebasan,'' kata Moqtada.

``Kebangkitan terbaru rakyat Iraq membuktikan mereka bersatu menyokong perjuangan untuk membebaskan Iraq dari tangan penceroboh dan melindungi perpaduannya.'' - Reuters





___________________________
Terbitan : 17 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)