Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

AS marah gambar keranda askar tersebar

WASHINGTON 23 April - Gambar-gambar keranda yang mengandungi mayat askar-askar Amerika Syarikat (AS) yang terbunuh di Iraq disiarkan melalui Internet walaupun penyiarannya melanggar protokol Pentagon.

``Sejak 1991, Jabatan Pertahanan AS mengamalkan satu dasar yang melarang liputan media ke atas pemindahan mayat,'' kata seorang jurucakap Pentagon

``Tujuannya adalah sebagai menghormati kehendak keluarga terbabit dan juga untuk mengelakkan daripada mengganggu ahli-ahli keluarga itu yang sedang bersedih selepas kehilangan orang tersayang,'' katanya.

Tami Silicio, seorang kakitangan sebuah syarikat kontraktor kecil tentera AS, merakamkan secara sulit gambar keranda-keranda itu yang ditutup dengan bendera AS sewaktu sedang dibawa masuk ke dalam sebuah kapal terbang pengangkut tentera udara AS di Kuwait, kata akhbar itu.

Gambar-gambar itu pada mulanya disiarkan dalam akhbar Seattle Times pada hujung minggu lalu sebelum muncul dalam Internet.

Silicio dipecat selepas beliau menyerahkan gambar-gambar itu kepada akhbar Seattle Times.

Laman web www. thememoryhole.org telah menyiarkan 360 keping gambar keranda mayat tentera AS yang diperoleh daripada Pentagon di bawah Akta Kebebasan Penerangan.

Gambar-gambar itu dirakamkan oleh tentera udara AS di Pangkalan Tentera Udara Dover di Delaware, di mana kebanyakan daripada keranda-keranda itu ditempatkan.

``Tentera udara tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan gambar-gambar itu, kecuali dengan kebenaran Pentagon di bawah Akta Kebebasan Penerangan,'' kata jurucakap tentera udara, Leftenan Kolonel Jennifer Cassidy.

Kerajaan Presiden George W. Bush telah mengingatkan media tentang dasarnya yang melarang liputan berita ke atas pemindahan keranda-keranda itu ke AS pada Mac 2003, tidak lama selepas bermulanya perang Iraq. - AFP





___________________________
Terbitan : 25 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net  atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)