|

|
SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun |
|
Penglibatan polis dalam aktiviti Umno - Pembangkang, NGO serah memo bantahan
Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Pemuda PAS, Pemuda KeADILan dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan nota bantahan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, berhubung penglibatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam menjayakan aktiviti politik Umno.
Ketua Penerangan Pemuda KeADILan, Badrul Hisham Shaharin berkata, penyerahan nota bantahan tersebut dibuat berikutan penglibatan anggota PDRM dalam senarai urusetia Program Konvoi Bermotorsikal Penambahan ahli parti tersebut, yang bakal diadakan.
Katanya, walaupun umum mengetahui PDRM selama ini 'terlibat dalam menjayakan' pelbagai aktiviti Umno dan Barisan Nasional (BN), tetapi penglibatan langsung anggota pasukan itu dalam kegiatan terbaru parti tersebut memperlihatkan tahap penglibatan yang semakin 'menjadi-jadi.'
Tambahnya, penglibatan secara lansung itu bukan sahaja akan memburukkan lagi imej polis yang telah sedia tercalar di mata rakyat, malah akan dilihat sebagai membenarkan institusi tersebut menjadi 'alat' kepada parti politik.
Badrul berkata, beliau menerima senarai urusetia yang mencatatkan nama 15 anggota PDRM sebagai anggotanya daripada sumber dalaman Umno. Daripada 15 anggota PDRM yang terlibat, dua berpangkat sarjan, tiga koperal dan 10 lans koperal.
Urusetia berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pemuda Umno, Dato' Abd Aziz Sheikh Fadzir.
Justeru katanya, pihaknya menuntut Norian memberi penjelasan, sekali gus bertanggungjawab terhadap perkara itu, kerana untuk 'menjaga keselamatan' bukanlah alasan bagi membolehkan PDRM menghantar anggotanya sebagai urusetia program yang dianjurkan oleh sebuah parti politik.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad, dalam kenyataan media selepas penyerahan nota bantahan tersebut berkata, perbuatan ini secara tidak lansung akan membunuh demokrasi di negara ini.
"Harus diingat bahawa PDRM adalah Polis Diraja Malaysia, bukannya PDRU (Polis Diraja Umno), justeru penglibatannya dalam mana-mana program parti hendaklah tertumpu dan terhad kepada soal keselamatan, semata-mata," katanya.
Nota bantahan tersebut diterima bagi pihak Norian oleh Pegawai Cawangan Perhubungan Awam PDRM, DSP Shaharon Anuar Abdul Latif, di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.
Ketika diminta kenyataannya berhubung isu tersebut, Shaharon berkata, beliau akan menyerahkan nota itu terus kepada Norian, tetapi enggan memberi sebarang komen mengenainya.(SPA)
___________________________
Terbitan : 25 April 2004
Ke atas
Home
|
|