Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Apabila Pak Lah tukar pendidikan kepada pelajaran

Apabila PM Abdullah menukarkan nama daripada Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pelajaran, ia sebenarnya meninggalkan banyak kesan, baik dari segi kefahaman makna pendidikan atau pelajaran atau pun dari segi pengurusan.

Ketika DS Anwar menukar nama Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan ia telah dibahas oleh para ilmuan pada ketika itu dalam seminar, konvensyen dan sebagainya. Bukan setakat itu malah falsafah Pendidikan negara dihasilkan setelah dibahaskan oleh para ilmuan tentang hala tuju dan tujuan pendidikan di Malaysia.

Konsep kesepaduan ilmu yang diterap dalam sistem pendidikan negara juga adalah hasil pandangan tokoh-tokoh pendidikan negara pada masa itu. Kesemuanya ini dilakukan oleh DS Anwar bukan atas pertimbangan emosi, balas dendam, suka-suka dan sebagainya. Tetapi ia dibahas secara ilmiah dan rasional oleh tokoh-tokoh Pendidikan dalam dan luar negara. Itulah kaedah perubahan yang dilakukan DS Anwar ketika menjawat jawatan di Kementerian Pendidikan dahulu.

Maka apabila ditukar balik kepada Kementerian Pelajaran ramai pihak bertanya apakah rasional disebalik pertukaran itu. Tidak ada pun sebarang perbahasan oleh tokoh pendidikan baik yang sokong kerajaan, bangkang kerajaan atau pun atas pagar. Maka masyarakat melihat ia lebih kepada tindakan emosi balas dendam dan saja suka-suka hanya semata-mata ianya adalah hasil buah tangan DS Anwar. Malang sekali, sentimen politik punya pasal, perkataan pendidikan jadi mangsa.

Walau pun DS Anwar yang menukar kata pendidikan kepada pelajaran perlu diingat perkataan pendidikan itu bukanlah milik DS Anwar. Tetapi PM Abdullah lebih melihat bahawa perkataan itu adalah milik DS Anwar atau pun ada kaitan dengan Anwar maka dengan itu ia perlu dibuang jauh-jauh. Apa la bengong punya idea.

Kalaulah itu punca tindakan PM Abdullah, ada banyak lagi yang perlu dibuang misalnya Falsafah Pendidikan Negara kena tukar kepada Falsafah Pelajaran Negara, Isi kandungannya perlu diubah kerana ia adalah inti pati makna pendidikan bukan pelajaran. Ini hasil buah tangan Anwar.

Pendidikan Seni kena tukar kepada pelajaran seni , Pendidikan Islam tukar kepada Pelajaran Islam, Pendidikan Moral tukar kepada Pelajaran Moral, Tabung Pendidikan tukar kepada Tabung Pelajaran, Pendidikan Nasional tukar kepada Pelajaran Nasional.

Bukan setakat itu Jabatan Pendidikan Negeri kena tukar kepada Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah tukar kepada Pejabat Pelajaran Daerah, Fakulti Pendidikan tukar kepada Fakulti Pelajaran, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan tukar kepada pusat pengajian ilmu pelajaran.

Pengarah Pendidikan tukar kepada pengarah pelajaran, pengarah pendidikan negeri tukar kepada pengarah pelajaran negeri, pegawai pendidikan daerah tukar kepada pengarah pelajaran daerah, pegawai pendidikan siswazah dan bukan siswazah, tukar kepada pegawai pelajaran siswazah dan bukan siswazah, guru pendidikan islam tukar kepada guru pelajaran islam. Ertinya semua papan tanda, logo, letter head, dan apa sahaja yang berkaitan dengan perkataan kementerian pendidikan kena tukar kepada kementerian pelajaran. Siapakah yang bakal memperolehi kontrak menukar segala logo-logo dan papan tanda itu ye?

Maka jadinya anak-anak kita sekarang hanya perlu diberikan pelajaran atau pun ilmu semata-mata dan bukannya dididik. Oleh kerana perkataan didik tidak penting, pelajar jadi jahat berantu samseng tidak mengapa asalkan mereka diberi pelajaran tetapi bukannya dididik. Untuk menjadikan mereka baik mereka perlu dididik. Tetapi perkataan didik kita tak mau pakai. Didik itu Anwar punya.

Ministry of Education tu pun kurang sesuai kerana ia memberi masih memberi makna pendidikan. Maka eloklah kalau di tukar kepada Ministry of Knowledge atau Ministry of Learning. Begitu seterusnya diperingkat negeri dan daerah. Alang alang tukar Pak Lah baik tukar habis. Baru puas hati. Buat apa pun tak pa…. Pengundi akan tetap pangkah aku atau pun aku boleh tipu undi..

Cikgu beso





___________________________
Terbitan : 17 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)