Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Najib Seharusnya Menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara

Najib Seharusnya Menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara dan Tidak Berterusan Mencari Alasan Untuk Meneruskan Program ini

Kenyataan Media
oleh Fong Po Kuan

Datuk Seri Najib hari ini telah menyatakan bahawa perlaksanaan Program Latihan Khidmat Negara ini tidak akan ditangguhkan semata-mata kerana pelbagai masalah yang telah berbangkit di dalam Program tersebut, kerana ia berobjektif untuk memberi pelajaran berharga kepada belia berkenaan nilai bersatupadu dan mengajar peserta menangani konflik dan mengatasinya. (The Star, 18.4.2004)

Najib turut menambah bahawa pihaknya telah menjangka sejak awal lagi bahawa pelbagai masalah akan timbul kerana peserta adalah dari pelbagai latar belakang.

Jika benar, pihak Kementeriannya telah menjangka kejadian seperti gangsterisme, pergaduhan di kalangan peserta dan serangan oleh peserta ke atas pelatih, peras ugut, kecurian, gangguan seksual, keganasan oleh pihak pelatih terhadap peserta dan insiden yang mengejutkan hari ini, dakwaan oleh seorang peserta di Kem Kuala Terengganu bahawa ia telah dirogol oleh pelatih, langkah-langkah mengelak harus sedia ada atau apakah tidak dikuatkuasakan langkah-langkah ini bagi mengelakkan krisis keyakinan orangramai terhadap Program ini serta terhakisnya imej Kementerian Pertahanan ini?

Kes Reagan Augustine, peserta Program ini di Universiti Malaysia Sabah yang diserang dengan rod besi oleh 40 orang peserta, kejadian yang kedua kalinya berlaku di situ dan 28 orang peserta telah ditangkap untuk disoalsiasat mengapakah tidak dielakkan daripada berulang tayang?

Kejadian-kejadian yang berturut-turut berlaku ini jelas menunjukkan perlaksaanan Program ini telah di luar kawalan pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan serta terhakisnya kepercayaan yang di beri kepada pihak yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan oleh para peserta, terutamanya, peserta wanita, contohnya, kejadian dakwaan dirogol oleh pelatih tersebut.

Oleh itu, Najib tidak harus mencari alasan untuk meneruskan Program ini dengan menggunakan alasan mendidik nilai bersatu padu bagi menutup kelemahan perlaksanaan Program ini oleh pihak Kementeriannya ekoran daripada kelemahan perancangan dan kehendaknya melaksanakannya dalam keadaan tergesa-gesa.

DAP tidak mempertikaikan kepentingan tiga nilai penting, yang merupakan objektif Program ini perlu dibentuk ke dalam generasi muda, iaitu pembentukan nilai displin, patriosme dan bersatupadu.

Persoalannya, dari awalnya, DAPSY telah mempertikaikan kemampuan 3 objektif ini dicapai di dalam jangka masa 90 hari, jika di bangku persekolahan 11 tahun, ia gagal ditanam nilai-nilai ini. Kini, dengan pelbagai masalah telah timbul di dalam perlaksanaannnya dan di luar kawalan pihak Kementerian, jelas Program ini telah gagal.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Kol Prof Datuk Dr Ahmad Faxzi Mohd Basri, telah menyatakan bahawa kejadian yang berlaku adalah tiada kaitan dengan soal perkauman dan hanya berpunca oleh perkara kecil seperti makanan dan hal peribadi.

Jika benar ia melibatkan perkara kecil, mengapa sehingga perlunya mengadakan kem khas untuk mendisplin dan mengasingkan mereka yang terlibat di dalam pergaduhan.

Adalah dilapurkan bahawa dua kem khas akan diperkenalkan iaitu di Klang dan Morib, Selangor untuk menampung peserta-peserta yang didapati “bermasalah.”

DAPSY ingin memberi amaran kepada pihak Kementerian bahawa pengasingan peserta dan melabelkan mereka sebagai “pembawa masalah atau punca masalah” akan meninggalkan kesan negatif ke atas peserta, lebih-lebih lagi, jika pihak Kem atau Institusi tidak bertindak dengan bebas dan adil di dalam sesuatu kejadian pergaduhan.

Jika pihak Kementerian memandang serius untuk mendisplin peserta, yang merupakan salah satu objektif Program ini, pengasingan mereka bukan cara penyelesaian. Peserta harus dibenarkan berterusan menjalani Program di Kem yang sama dengan sentiasa diawasi serta di beri kaunselling.

Ketika membentangkan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 di Parlimen, Najib telah menyeru agar pihak ibubapa memberi keyakinan kepada Program tersebut serta pernah meminta orangramai memberi peluang kepada Program ini. Jika Program ini berterusan dilaksanakan dalam keadaan diluar kawalan oleh pihak Kementerian, sudah sampai masa Najib memberi kerjasama kepada ibubapa dan peserta dengan mendengar suara-suara kerisauan mereka dengan menangguhkan Program ini dan dikaji semula keseluruhan Program ini.

Kegagalan Kommander dan pelatih dibayar elaun dan gaji mereka dan mengakibatkan seorang kommander dan 9 pelatih dari Kem Kampung Baharu di Ayer Tawar meninggalkan Kem, turut membuktikan kelemahan pengurusan dalaman program ini.

--------------------------------------------------------------------------------
* Fong Po Kuan, Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah





___________________________
Terbitan : 23 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)