Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

SPR enggan serah kod etika undang-undang pilihan raya – Suhakam

Oleh Hafiz Mohd Baqi

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dituduh enggan menyerahkan kod etika berkaitan undang-undang pilihan raya yang digunapakai pada pilihan raya umum lalu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Perkara ini didedahkan oleh Pesuruhjaya Suhakam, Prof Dato’ Hamdan Adnan hari ini yang berkata pihaknya telah meminta kod etika itu sebelum hari pilihan raya lagi.

"Sebelum pilihan raya Suhakam telah minta tetapi tidak dapat dan apabila kita minta lagi selepas pilihan raya mereka (pihak SPR) kata: ‘Pilihan raya dah habis, tak perlu!’," kata beliau dalam pertemuan dengan pimpinan Barisan Alternatif (BA) di ibu pejabat pertubuhan itu di sini petang ini.

Kata Hamdan, kod etika pilihan raya itu perlu diserahkan kepada pihaknya bagi membolehkan Suhakam membuat penelitian dan siasatan berhubung aduan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang mengenai pelbagai kekeliruan berhubung undang-undang pilihan raya serta kecelaruan yang berlaku pada hari pengundian.

Antara Pemimpin BA yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail; Timbalan Presiden KeADILan, Syed Husin Ali; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Tian Chua; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; wakil PAS Selangor, Khalid Samad; pemimpin KeADILan, Dr Sanusi Osman, Sivarasa Rasiah dan Khalid Jaafar.

Sementara itu di pekarangan pejabat Suhakam kira-kira 500 penyokong BA, NGO, aktivis reformasi dan wakil persatuan pelajar berkumpul untuk memberikan sokongan kepada pemimpin mereka.

Wan Azizah juga telah menyerahkan satu memorandum sebagai bantahan rasmi terhadap pilihan raya umum baru-baru ini sebagai lanjutan kepada bantahan awal yang telah dihantar kepada Suhakam pada 23 Mac lalu.

Wan Azizah berkata memorandum yang diserahkan olehnya itu disertakan sebahagian daripada bukti-bukti yang telah dikumpul oleh BA mengenai beberapa bentuk penipuan dalam pilihan raya.

Antara bukti tersebut ialah dua senarai pemilih berbeza yang telah digunakan oleh SPR pada hari mengundi dan hari penamaan calon dan dua senarai daftar pemilih berbeza pada hari mengundi.

Bukti lain adalah maklumat terperinci beserta nombor kad pengenalan pengundi hantu yang dikesan, kesalahan-kesalahan pilihan raya yang dilakukan Barisan Nasional (BN) dan undang-undang SPR yang berubah-rubah (kebenaran mendirikan pondok panas). – lanh





___________________________
Terbitan : 2 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)