Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Rakyat Kelantan mulai ‘tergila-gila’ keramat pembangunan

Oghe Kito

Oleh Lanjusoh

PILIHAN RAYA umum ke-11, yang banyak mencalar lunas demokrasi sudah hampir dua minggu berlalu. Banyak analisis dihidangkan media massa. Ada rakan media, hari-hari buat analisa. Semuanya berkisar kejayaan Umno, BN dan Pak Lah. Inilah ikon yang digambarkan.

Tiada pun media Melayu berani mendedahkan unsur-unsur penipuan yang berjaya dikesan. Antaranya, pengundi hantu, kertas undi berselerakan, sampah dalam tong undi, daftar pemilih berbeza dan masa mengundi dilanjut dua jam. Kata rakan media dari luar negara, masing-masing mahu jaga periuk nasi, katakan.

Rakan media terbabit cukup terkejut dengan perkembangan pilihan raya kali ini. Katanya, beliau hairan bagaimana dihebah ramai pengundi keluar mengundi pada sebelah pagi di Perlis.

Menurutnya, sepanjang berada di pusat pengundian di sebelah pagi tidak pun kelihatan kehadiran boleh mencecah 60 peratus. “Bila dengar siaran radio di Kangar, pegawai SPR kata 60 peratus keluar mengundi. Hairan, dari mana pula datangnya pengundi. Ada ‘magic’ pula ke?” tanya rakan tadi.

Inilah secebis kisah dikongsikan rakan media dari luar. Sensitiviti mereka lain. Hampir sama dengan kami dari media alternatif rasakan.

Pilihan raya umum lalu, benar-benar meninggalkan kesan. Tercucuk ke tangkai jantung, membangkit emosi hiba. Inilah susur atur sebuah perjuangan. Kata orang tua-tua, roda ‘bulan’ kali ini berpusing ke bawah. Dacing pula berada di puncaknya.

Kesannya sehingga saat ini ia diperkatakan di kedai-kedai kopi di Kelantan. Jenuh benar kata orang kampung. Inilah topik yang tidak mampu ditolak.

Mereka yang minat dacing tersembur air liur ketika bercerita. Penyokong bulan hanya ambil meja di hujung anjung.

Namun di sebalik seronok bercerita, sudah terdedah strategi puak ‘bulan’ kali ini. Tok-tok lebai mereka kali ini berpakat untuk ‘jual mahal’. Biarlah upacara kematian, tahlil dan apa sahaja berbentuk agama dikendalikan sesama puak ‘dacing’.

“Kita ajar mereka, baru-baru ini megah sangat sehingga dok caci ulama, tolak hudud dan dok junjung puak dacing yang jarang ke masjid. Kali ini biar mereka tahu, tinggi rendah bumi,” kata Pak Awi, seorang penggali kubur di Manek Urai.

Sebelum pilihan raya baru-baru ini, cerita seperti ini sudah berlaku di Pangkal Manok, Machang. Seorang pemimpin cawangan Umno menangis carikan orang Umno yang mampu uruskan jenazah isterinya. Jenuh dicari penyokong dacing yang mampu uruskan segala-gala fardhu kifayah itu.

Lama dicari tidak ketemu. Akhirnya dipendekkan cerita, dia dengan tebal muka datang menemui penyokong ‘bulan’. Minta ampun, minta maaf supaya jenazah isterinya yang berbujur kaku diuruskan segera.

Menangis seluruh jiwanya terkenang peristiwa itu. Maka selepas segalanya selesai, dia benar-benar mahu mencari jalan keluar. Dan akhirnya memohon menjadi orang ‘bulan’. Bukan dia seorang yang sertai PAS, ramai ahli keluarga dan pengikutnya turut sama.

Sakit dan mati tidak kenal sesiapapun. Ajal semakin datang, kita berjalan pergi. Akhirnya bertemu di satu titik. Entah esok atau lusa. Semalam kita menghantar orang lain ke tanah perkuburan, esok, lusa kita pula dihantar orang ke tempat sama.

Kini episod seperti ini sedang dibuka ruang untuk menyedarkan sesetengah daripada kita. Ada sepotong hadis yang diriwayatkan Thabrani yang bermaksud;

Daripada Aisyah r.a berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; ‘Tidak akan berlaku qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik”.

Seorang jemaah solat Jumaat di Masjid Muhammadi tengahari tadi meluahkan, “sekarang kita merasakan bahang panas matahari dan boleh berlari untuk mendapatkan perlindungan di bawah bayang-bayang. Esok (akhirat) ke mana lagi hendak lari, sesama manusia menjadi bahan bakar,” katanya sambil berjalan berlalu menuju ke Pasar Siti Khatijah.

Kiasan orang tua itu begitu mendalam. Namun, malangnya ramai orang Islam (Melayu) disumbat minda kerana inginkan perubahan dan mahu pembangunan. Lidah diajar untuk menyebut kalimat itu.

Bila ada pemimpin datang dengan membawa sedikit habuan, lantas dinobatnya itulah pemimpin kita. Kita dilupakan terhadap dasar parti yang dibawa mereka. Jauh sekali mengajak rakyat mendekati agama Allah.

Kita dipengaruhi untuk membenci si anu, si anu dari parti bulan yang tidak buat kerja, setelah tiga penggal jadi wakil rakyat. Lantas kita tolak 'bahteranya' yang sedang menyaringkan peringatan dari alam baqa.

Kemudian, kita cuba 'pinang' kembali konsert rock dan pelbagai program yang melalaikan. Contohnya sudah banyak tersaji di depan mata. Tidak perlu pergi jauh, di Kuantan dan Sungai Golok segala-galanya ada. Inikah yang kita mahu, sehingga tidak kenal lagi bahtera 'hijau' dan 'biru' yang singgah di depan kita.

Selagi minda orang Melayu terpenjara dengan agenda pembangunan dan perubahan, jiwa mereka semakin tertutup rapat daripada mendengar kalimah agama.

Orang Kelantan sekarang mahu negerinya menjadi seperti Pulau Pinang. Bangunan bercacak di sana, sini, sedangkan mereka hanya jadi penonton dari Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Seronok mereka bercerita, orang bulan pandai apa. Tidak pandai memerintah, penggangguran banyak dan kemiskinan tinggi. Biarlah empat tahun ini, 21 wakil rakyat dacing basmikan segala-galanya itu. Tidak perlu tunggu orang dacing mahu menjadi MB.

Sekarang mereka sudah mempunyai taring. Buatlah apa sahaja dan sendatkan bumi Kelantan dengan arus pembangunan. Dan orang bulan hanya tunggu jiwa yang sudah kaku untuk diusung ke tanah perkuburan. Mereka hanya mampu membidik roh dengan siraman taqwa dan berazimatkan agama.

Inilah kehendak terkini rakyat Kelantan. Ulama diketepikan, pembangunan mahu dirantah. Sekiranya tunas Islam mahu diracuni, tunggulah empat tahun lagi, masanya bukan panjang. Pisau di tangan kanan, mentimun di tangan kiri.





___________________________
Terbitan : 3 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)