Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

''Tadah air mata anak isteri kami buat renjisan Islam Hadhari''

Oleh ABU OSAMA AS-SALIM

Kem Tahanan Kamunting

1 Mac 2004 adalah tarikh nekad mangsa ISA yang dilabelkan anggota KMM. Seramai 16 orang melancarkan mogok lapar, 4 hari sebelum parlimen dibubar. Matlamat kami adalah jelas iaitu menuntut pembebasan.

Jika ada pihak yang menuduh kami ada agenda politik, adalah tidak benar. Kami menulis surat kepada Abdullah Badawi memaklumkan hal ini pada 5 Feb. Kalau isu mogok lapar ini menjadi isu kempen pembangkang, ia hanya kebetulan.

Sebaliknya, kami pula yang menjadi mangsa pilihan raya. Disebabkan semua pihak tak dapat beri perhatian terhadap isu kami, pihak tertentu, termasuk Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) memberi layanan buruk pada kami. Mungkin bagi mereka, kami ini bukan lagi manusia bahkan umpama kucing di jalanan.

Hari ketiga, jam 1.30 petang, ketika pertemuan dengan peguam, seorang dari kami, Mohd Azian jatuh kerana terlalu lemah. Lebih setengah jam baru dia dibawa ke bilik rawatan KEMTA.

BASAH KAIN IKAT PINGGANGNYA

Ketika menyuntik jarum di sendi siku untuk masukkan air, berlaku pendarahan yang banyak sehingga basah kain ikat pinggangnya.

Azian hampir pitam. Setelah dirawat, dalam keadaan lemah, Azian di arah tinggal di bilik rawatan itu, tanpa diawasi hingga esok pagi.

Malam itu, Azian tidur keseorangan dalam kegelapan yang dipenuhi nyamuk. Sekejap sahaja dia mengalami rasa gatal badan di samping keadaan yang panas.

Keadaan lebih teruk apabila dia terasa dahaga yang amat sangat, sedangkan minuman tidak disediakan.

Sementara pintu pula dikunci dari luar bilik. Dari mula masuk, hinggalah ke pagi dia tak dapat mandi kerana tiada kemudahan bilik mandi.

Layanan buruk yang terima Azian ini, menakutkan kami. Kami berpakat untuk menolak sebarang rawatan di KEMTA, kecuali di Hospital Besar Taiping (HBT).

Malangnya Pengarah KEMTA berkeras tidak mahu membawa kami ke HBT. Kami dibiarkan tanpa rawatan dan perhatian.

Terpaksalah kami menahan diri dalam keadaan kritikal. Keadaan ini berlaku sehingga 6 Mac. Ini memaksa kami membuat laporan polis terhadap Pengarah KEMTA kerana menghalang kami ke HBT untuk rawatan.

Antara kami yang agak serius keadaan mereka adalah Nik Adli, Md Lutfi, Hj Morad dan Tajudin Bakar.

Sehari selepas laporan polis dibuat, barulah Nik Adli di bawa ke HBT. Kawalan yang diberi begitu ketat sekali. Masuk ke wad kecemasan HBT melalui pintu belakang, Nik Adli menerima rawatan dengan menambah air 3 botol.

Bermula hari itu, boleh dikatakan saban hari, ada saja antara kami yang dibawa ke HBT, sama ada siang atau malam.

SENGAJA MELENGAHKAN

Disebabkan "terpaksa" membawa kami ke hospital, KEMTA memberi tekanan baru. Mereka sengaja melengah-lengahkan ke HBT, khususnya waktu malam. Alasan KEMTA kerana mereka tak cukup tenaga.

Sedangkan kami dapat maklumat, tenaga luar seperti dari penjara Taiping, Kajang dan Pulau Pinang dibawa untuk bantu KEMTA. Mengatasi sikap KEMTA ini, kami pula menasihati kawan-kawan yang hadapi masalah di waktu malam agar bertahan hingga pagi.

Setelah keadaan siang, awal jam 7.00 pagi, kami lapor pada petugas ada kawan yang perlu rawatan. Pun begitu, 2 atau 3 jam kemudian, baru ada perhatian. Itu pun Unit Keselamatan Penjara (UKP) buat karenah.

Mereka enggan membawa kami ke bilik rawatan yang jaraknya 200 meter dari tempat tinggal kami.

Kadangkala, terpaksa kami minta bantuan tahanan berbangsa Cina mengusung kawan-kawan yang lemah.

Selain alasan tak cukup tenaga, UKP juga beri alasan yang penyakit kami ini kerana "buat sendiri".

Ada mencadangkan supaya jangan dimasukkan air ke badan kami, sebaliknya masuk racun sahaja.

Pada 14 Mac, sekali lagi Nik Adli jadi mangsa KEMTA. Keadaannya mulai lemah setelah meneruskan mogok lapar sekembali dari rawatan kali pertama.

Jam 9 pagi beliau melaporkan pada petugas KEMTA untuk ke HBT.

Hingga jam 11 pagi, belum ada apa-apa tindakan dari UKP atau KEMTA.

Jam 11.30 pagi seorang tahanan membawa Nik Adli dengan kerusi roda ke bilik rawatan. 20 minit kemudian Nik Adli pulang tanpa apa-apa rawatan dan dia juga tidak dibenar ke hospital.

DETIK MENCEMASKAN NIK ADLI

Jam 3 petang, sekali lagi Nik Adli minta ke HBT. Dia juga mohon pegawai yang bertugas hari itu, IP Zakaria menemuinya.

Jam 6.45 petang baru IP Zakaria masuk memantau keadaan Nik Adli.

7.40 malam, barulah Nik Adli dibawa ke HBT. Nik Adli terpaksa ditahan sementara di wad HBT kerana terdapat pendarahan di mulutnya. Bayangkan setelah 10 jam dilapor, baru Nik Adli dibawa ke HBT.

Beginilah sekelumit layanan yang KEMTA beri pada kami sebagai deraan dari tindakan mogok lapar.

Kami juga tidak dibenar timbang berat badan, kerana tidak mahu kami maklumkan pada keluarga atau peguam.

Ada ketikanya keluarga, termasuk seorang ibu tak dibenar masuk, begitu juga dengan peguam.

Kami dilayan begitu semata-mata untuk memaksa kami henti mogok lapar. Tindakan kami dianggap menjejaskan imej Abdullah Badawi menjelang kempen pilihan raya. Hinggakan media massa tidak dibenar mendedahkan isu kami.

Semasa wakil KDN, iaitu Habshah, Zaiton, Ahmad Rani dan Hafiz menemui kami pada 11 Mac 04, mereka juga minta kami hentikan mogok sehingga parlimen baru dibentuk.

Namun kami masih berkeras sehinggalah Pengarah KEMTA berjumpa kami pada 15 Mac. Dia juga minta kami henti mogok untuk beri peluang terakhir padanya membuat laporan terkini seperti mana yang dikehendaki oleh KDN.

Berdasarkan beberapa alasan dan pandangan yang meyakinkan dari Pengarah KEMTA, kami berundur, bukannya mengalah. Mulai 19 Mac, kami hentikan sementara mogok lapar.

Apa yang kami harapkan, toak ansur terakhir kami terhadap KDN dan KEMTA ini akan dapat perhatian serius.

Semoga KDN tidak bersikap seperti wakil cawangan Khas (SB) yang sering membuat janji manis sehingga hilang sama sekali kepercayaan kami pada mereka.

Walaupun hendak dianggap kami sebagai 'kucing jalanan', lihatlah pada air mata anak isteri kami. Tadahlah ia untuk dipersembahkan pada Abdullah Badawi buat renjisan Islam Hadhari. - um





___________________________
Terbitan : 3 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)