Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Ibu bapa lebih berjasa daripada BN - Ustaz Taib Azzamudeen

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 1 April (Hrkh) - Bekas Imam Masjid Negara, Ustaz Taib Azzamudden Mohammad Taib menasihatkan anak-anak supaya menginsafi bahawa ibu bapa lebih banyak berjasa dan berkorban dalam hidup mereka berbanding Barisan Nasional (BN).

"Janganlah kerana pengaruh politik, anak-anak hilang pertimbangan Islam sehingga sanggup mendedahkan tegahan ibu bapa kepada media, hatta bagi saudara baru, mereka wajib menghormati kata-kata ibu bapa selagi ia tidak bercanggh dengan Islam," tegas Ustaz Taib.

Beliau memberi ingatan ini semasa diminta mengulas mengenai berita beberapa pendedahan anak-anak dalam media mengenai tindak-tanduk ibu bapa melarang mereka menyokong BN.

Muka depan sebuah akhbar hari ini menyebut, sepasang suami isteri bersama lima anak mendakwa mereka `diharamkan' menjejakkan kaki di atas tanah milik ibu bapa si suami di Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri kerana perbezaan fahaman politik.

Kejadian itu didakwa berlaku berikutan ibu bapa terbabit yang dilaporkan penyokong kuat PAS di kampung itu tidak berpuas hati apabila anak dan menantu mereka menyokong BN pada pilihan raya ke-11 lalu.

Mengikut laporan berkenaan, ibu kepada lima anak itu, Salmah Dak, 37, mendakwa kedua-dua mentuanya yang kononnya penyokong kuat PAS, tidak reda anak, menantu dan cucu yang bukan penyokong parti pembangkang itu tinggal di rumah yang dibina di atas tanah miliknya di kampung tersebut.

Selain itu, dalam akhbar versi internet Agendadaily turut mendedahkan pengakuan bekas Ketua Pengarang Berita akhbar Berita Harian dan Editor Jabatan Berita TV3, Ibrahim Yahaya yang kini adalah Pengarang Kanan Berita Publishing Sdn Bhd, yang membabitkan almarhum bapanya.

Ibrahim menceritakan kisah arwah bapanya, seorang yang taksub kepada PAS sanggup melakukan perkara di luar dugaan seperti mengejar pemuda yang cuba merosakkan poster PAS yang ditampalnya. Bapanya juga digambarkan membenci Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ustaz Taib menegaskan, anak-anak sebenarnya perlu merenung sejenak apakah mampu mereka membayar harga pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa sejak mereka kecil iaitu sejak dari dalam kandungan lagi, hingga besar hingga sanggup mendedahkan tindakan ibu bapa apatah lagi yang sudah meninggal dunia kepada orang ramai dan media.

Katanya lagi, jika hendak di bandingkan dengan jasa BN kepada mereka, apakah pertimbangan anak hingga sanggup mengenepikan ibu bapa demi kerana fahaman parti politik yang disertai.

"Kalau ibu bapa nak 'claim' mampukah anak nak bayar, Islam meletakkan ibu antara perkara sebagai penentu masuk ke syurga, kalau ibu bapa kita menegah sebarang kekalutan, kemungkaran atau benda yang tidak baik mesti mempunyai sebab, justeru janganlah kerana BN anak-anak sanggup mengenepikan pengorbanan ibu bapa yang tiada terhingga nilainya itu," tegas beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurut beliau lagi, dari segi sikap pun anak-anak tidak sepatutnya berbuat demikian, malah dalam Islam ada caranya anak-anak untuk menegur ibu bapa jika mereka tersilap langkah.

Justeru beliau menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia agar menghayati pengorbanan ibu bapa dengan sebenar, jangan sampai hilang pertimbangan kepada Islam semata-mata kerana kehendak dunia.

"Itu yang PAS mengajak rakyat kepada pemahaman Islam supaya perkara yang sedemikian tidak berlaku," tegasnya lagi.

Sementara itu seorang guru agama sekolah menengah kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan yang enggan namanya disiarkan menegaskan, beliau terkejut dengan berita-berita mengenai pendedahan anak-anak mengenai ibu bapa dalam media mutakhir ini.

Jelas beliau, perkara tersebut terjadi oleh kerana peyelewengan terhadap pemahaman Islam oleh parti pemerintah sejak dahulu lagi.

Katanya, dakwaan tersebut terbukti kerana bukan setakat anak-anak tidak mahu menghormati ibu bapa, malah anak-anak juga hilang pertimbang hingga ada yang sanggup membunuh ibu bapa kerana mereka keliru dengan penghayatan Islam.

"Soalnya, apa tugas institusi agama seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) mengatasi kepincangan ini, yang saya lihat Ikim dan sekutunya turut serta mengiyakan apa yang pemimpin BN utarakan meskipun ia bercanggah dengan dasar Islam, hingga merosakkan seluruh institusi sosial masyarakat," tegasnya lagi. lanh





___________________________
Terbitan : 1 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)