Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pegang jawatan secara terhormat, turun secara terhormat

Oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

(Petikan ucapan Tuan Guru Abdul Hadi pada Majlis Pelancaran Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan raya Umum ke-11 yang diadakan di perkarangan Masjid Rusila, Marang, 8 April lalu.)

Marilah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memberi kemenangan moral, kemenangan aqidah, kemenangan iman kepada kita, kemenangan yang lebih besar daripada kemenangan pilihan raya. Kemenangan kita tahan diuji, sabar menghadapi dugaan, tidak boleh dibeli dengan wang, tidak boleh dibeli dengan duit. Ini adalah kemenangan yang besar, kemenangan, keyakinan kita kepada perjuangan Islam, jihad untuk menegakkan Islam.

Apa maka jihad. Jihad maknanya, kita bekerja dengan bersungguh-sungguh supaya Islam itu memerintah. Inilah kerja yang telah kita buat sejak bertahun-tahun lamanya. Kita berusaha bersungguh-sungguh supaya Islam itu memerintah, dengan jiwa raga kita, dengan harta benda kita dengan segala nikmat yang diberi oleh Allah. Kita mahu supaya Islam itu memerintah.

Dan kita telah memerintah pada tahun 1999, pemerintahan yang kita tegakkan itu menghadapi ujian yang dahsyat, hebat, dikepung dari segenap penjuru, dikepung dengan melemahkan semangatnya melalui pentadbiran, melalui berbagai-bagai gangguan yang bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan, dikepung melalui kewangan. Dengan sedikit kewangan, kita telah berjaya memerintah, memerintah selama empat tahun dalam kewangan yang sedikit.

Saya dilaporkan oleh bekas Pegawai Kewangan Negeri, masih ada lagi baki berjuta-juta ringgit. Di sinilah keistimewaan yang diberikan kepada kita oleh Allah SWT. Kita boleh bertahan dan kita tidak meminta sedekah. Inilah kemenangan yang paling besar. Walaupun kerajaan kita telah dijatuhkan tetapi jiwa dan semangat kita tidak boleh dijatuhkan kerana jiwa dan semangat ini lahir daripada aqidah perjuangan, beriman kepada perjuangan.

Mereka yang ramai, yang boleh dibayar dengan duit sama ada yang sanggup menjadi pengundi hantu ataupun sanggup menjatuhkan kerajaan yang melaksanakan Islam kerana duit, mereka ini sebenarnya kalah jiwa, mereka kalah, mereka tidak menang.

Saya teringat apa yang berlaku ini hanyalah untuk mengemaskan aqidah perjuangan kita kerana perjuangan kita bukan perjuangan empat tahun. Perjuangan kita sampai kepada zuriat anak, cucu, cicit kita, bukan empat tahun.

Walaupun kita boleh bertahan sampai empat tahun tetapi kita telah berjaya melahirkan orang-orang yang seperti saudara saudari sekalian, yang sanggup berhimpun lebih ramai daripada masa kita menjadi kerajaan. Masa kita menjadi kerajaan, kita mengerah rakyat, mereka berhimpun tidak seramai ini kerana mereka merasa sudah cukup kita menjadi kerajaan.

Bila kita sudah tidak menjadi kerajaan lagi, kita kerah, saudara saudari sanggup datang beramai-ramai dengan jumlah yang lebih besar. Inilah kekuatan kita yang sebenarnya. Kekuatan yang tidak boleh dikalahkan oleh sesiapapun. Kita membuktikan kekuatan ini.

Satu malam selepas keputusan pilihan raya diumumkan, hanya sebahagian sahaja daripada yang keluar untuk menghambat pengundi-pengundi hantu dan bayang-bayangnya yang masih ada. Kita merasakan yang keluar itu kita boleh membakar seluruh negeri Terengganu ini tetapi itu bukan kerja kita.

Kita bukan macam negara dan negeri lain yang bertindak mengikut hawa nafsu, membakar kedai, membakar kereta. Orang yang tidak bersalah menjadi mangsa, bukan itu cara kita. Kita adalah umat yang diajar oleh Allah beradab dan berdisiplin. Kita bertindak dengan sabar, bertindak dengan sopan, mengumpulkan maklumat dan data-data yang perlu.

Kita memperingatkan mereka yang berkuasa itu bahawa sabar kita ada batas, ada sempadan. Mereka mesti sedar dan faham, mereka yang hadir pada malam ini sama ada di sini, di Taman Melewar di mana-mana kita himpunkan, mereka yang kaya jiwanya, yang kaya rohnya, yang kebal dan semangatnya kuat, yang teras aqidahnya kuat.

Mereka (pengundi Terengganu) yang mengundi Barisan Nasional adalah mereka yang murah harganya. Mereka yang boleh dibeli, sanggup menjadi hantu, sanggup menjatuhkan sebuah kerajaan Islam yang mendaulatkan syariat Allah. Sanggup membutakan mata terhadap kezaliman-kezaliman yang berlaku, termasuk mereka lupa kezaliman yang dialami oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang berada di dalam tahanan.

Mereka menggunakan media, tv yang mereka kuasai. Mereka tutup mata rakyat supaya rakyat lupa. Mereka buat jahat. Kalau tipu benda yang tak nampak, ini tipu orang nampak. Tipu orang boleh lihat. Kalu mercuri, orang tak nampak, ini ambil hak secara terang-terang waktu siang hari, tak payah menggunakan lampu. Sejak daripada awal mereka menggunakan media, bertahun-tahun untuk kempen, kempen sebelah pihak. Inikah makna demokrasi?

Hari ini di Iraq, di Fallujah, di Ramadi, di Nasriyah, setelah Amerika menyerang dengan hebatnya, membunuh dan mencedera beratus mungkin beribu-ribu, saya mendengar kenyataan Ketua Komander Pemerintah Tentera Amerika yang membuat kenyataan melalui media Al-Jazeera, CNN dan BBC bahawa Amerika juga nak menegakkan demokrasi di Iraq, menggunakan peluru, menggunakan senjata, mereka kata demokrasi. Apa kita pelik dengan perangai Barisan Nasional. Sebaik sahaja mencapai kemenangan, di antara yang awal-awal memberi tahniah kepada Barisan Nasional ialah Bush.

Marilah kita berdiri di atas keyakinan kita bahawa mereka yang menang dengan tipu, yang menang dengan rasuah, kemenangan yang tidak berkat. Mereka yang menerima duit juga tidak berkat.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Ingatlah, ambillah pemberian orang, kalau itu adalah pemberian, kalau yang diberi itu rasuah (rasuah dalam perkara agama) jangan kamu mengambilnya, nescaya Tuhan akan menghalang kamu daripada menjadi papa dan peminta sedekah.

Maknanya kalau kamu ambil duit itu rasuah, kamu jual agama, kamu jual Islam dan menjual hukum Allah, kamu akan jadi papa dan minta sedekah dengan bantuan itu. Ini janji Rasulullah s.a.w. Walaupun mereka dapat RM500, apa sangat RM500. Dapat RM1,000 apa sangat RM1,000. Dapat RM1 juta sekalipun. RM1 juta yang dapat itu kerana menolak hukum Allah, menolak keadilan Ilahi, yang banyak itu akan membakar diri sendiri.

Marilah kita yakin dengan keimanan dan kepercayaan kita. Kita mahu menang di atas kemenangan dan hak. Walaupun dalam masa yang singkat tetapi memberi makna yang berkat. Biar kita bersusah, biar kita berpeluh, biar kita bertenaga, biar kita menghadapi berbagai-bagai kesulitan dan kesusahan. Inilah dia buah-buah yang menghasilkan zat-zat yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Inilah janji Allah.

Kita percaya mereka yang mendapat kuasa itu akan menyalahgunakan kuasa, memejam mata di atas penyelewengan yang berlaku. Di sana ada orang-orang yang lebih berkuasa lagi dari Barisan Nasional, yang lebih kaya daripada Barisan Nasioanl. Marcos yang mendapat perlindungan Amerika secara langsung, bila tiba masanya jatuh dan tumbang. Suharto di Indonesia yang mengepalai angkatan bersenjata, menang dengan menipu beberapa kali pilihan raya, bila tiba masa jatuh dan tumbang. Inilah sejarah dunia.

Marilah kita mengambil iktibar daripada sejarah. Biarlah mereka tidak mengambil iktibar daripada sejarah. Kita memberi nasihat supaya mereka hendaklah memegang jawatan secara terhormat dan turun jawatan secara terhormat. Kalau pegang jawatan secara tidak terhormat, percayalah akan jatuh secara tidak terhormat. Apa guna kita jatuh tidak secara terhormat. Inilah nasihat kita kepada mereka.

Mereka sanggup menggunakan bermacam-macam istilah. Islam Hadhari, nak melaksanakan Islam dalam masa pilihan raya, bercakap apa sahaja tetapi dasar mereka lain, prinsip mereka lain. Yang menjadi acuan kepada negara ialah dasar dan prinsip parti dia, bukan slogan yang dia ucap dalam masa pilihan raya

Alhamdulillah, saudara-saudari yang hadir pada malam ini selamat daripada tipu daya mereka. Ini kemenangan yang paling besar. Selamat daripada godaan mereka. Ini adalah nikmat yang paling besar.

Marilah kita bersedia untuk mengambil maklumat. Sesiapa yang mendapat maklumat, apa sahaja maklumat, hendaklah beri kepada yang berkenaan supaya kita menjadikan maklumat-maklumat itu bahan untuk kita bertindak selanjutnya. Kerana kita mahu bertindak dengan hujah yang kuat, bukan hujah yang lemah. Sekarang sudah banyak hujah. Kita mahu lebih banyak lagi. Saudara-saudari mesti bekerja untuk mengumpulkan maklumat-maklumat ini dan bertindak mengikut arahan, jangan tak ikut arahan, mengikut disiplin, mengikut peraturan yang kita atur. Insya Allah akhirnya kita akan selamat dan insya Allah kerja kita akan diberkati oleh Allah.

Mudah-mudahan Allah Taala mengurniakan pertolongan kepada kita dan marilah kita mengakhiri majlis ini dengan sama-sama bermunajat kepada Allah SWT supaya menguatkan keyakinan kita, memberi pertolongan kepada kita dengan cara yang sempurna dan terbaik dan selamat di dunia dan selamat di akhirat.





___________________________
Terbitan : 10 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)