Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Terengganu jual MRSM-YT kepada Mara

MARANG, 9 April (Hrkh) – Naib Presiden PAS, Dato’ Mustafa Ali mendedahkan bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu telah menjual Maktab Rendah Sains Mara-Yayasan Terengganu (MRSM-YT) di Besut kepada Mara.

Tambahnya, MRSM-YT di Dungun pula dalam proses untuk dijual kepada Mara.

“Saya baru terima sebenarnya berita terkini, MRSM-YT Besut sudah dijual kepada Mara, kita tak tergamak nak jual sekolah-sekolah, (MRSM-YT) yang di Dungun dalam proses nak jual kepada Mara,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan Raya Umum ke-11 di perkarangan Masjid Rusila, malam tadi.

Majlis itu dilancarkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Turut berucap pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat, Dr Syed Husin Ali dan Naib Presiden PAS yang juga pengerusi badan bertindak itu, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali. Setiausaha Agung Parti KeADILan, Mustafa Kamil Ayub bertindak sebagai pengacara majlis.

Sebanyak RM25,069.70 berjaya dikumpul daripada kira-kira 30,000 hadirin pada majlis itu selain daripada 2000 rupiah, 16 Riyal Saudi, dua dollar Brunei, satu dollar Singapura dan tiga bentuk cincin.

Musatafa yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri secara sinis mempersoalkan tindakan itu memandangkan kerajaan negeri sekarang mempunyai duit yang banyak.

“Kan duit banyak, duit royalti sahaja sehingga kini tidak kurang RM3.5 bilion yang (Pusat) tak bayar kepada negeri,” ujarnya.

Sebelum itu, beliau turut menyentuh tentang janji-janji BN untuk membuka dua MRSM yang baru di negeri ini apabila mengambil alih pemerintahan.

“Saya ingat nak buka MRSM baru sungguh, rupanya dua MRSM yang dia tutup dulu (dibuka),” katanya.

Bekas Exco kerajaan itu menambah, sebelum ini kerajaan BA pimpinan PAS telah menubuhkan Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (Kostaq) di kedua-dua buah MRSM-YT itu setelah diarahkan tutup oleh Mara.

Katanya, ekoran kerajaan BN mahu menubuhkan semula MRSM, para pelajar Kostaq di Besut telah diarahkan supaya berpindah ke Kostaq Dungun.

“Apa yang dilakukan, dia (kerajaan BN) hambat, suruh pelajar-pelajar (Kostaq) yang tinggal di Besut kena pindah ke Dungun kerana di Besut nak buka MRSM baru walaupun dia kata bangunan itu buruk dulu, rupanya dia guna juga bangunan yang dia kata buruk dulu,” katanya lagi.

Mustafa juga mengingatkan ahli-ahli dan para penyokong PAS di negeri ini supaya tidak meninggalkan masjid setelah berlaku pertukaran kerajaan sekarang.

“Ada setengah imam atau pegawai masjid kerana jawatankuasa masjid telah diberhentikan serta merta, saya minta supaya tuan-tuan meneruskan apa yang selama saudara lakukan, kerana masjid saudara pergi, pergi terus, jangan tinggalkan masjid. Ini satu yang saya minta, ini adalah daripada pimpinan,” ujarnya.

Menurutnya, jika masjid ditinggalkan oleh ahli-ahli PAS, itulah yang dikehendaki oleh kerajaan negeri sekarang.

“Kalau kita meninggalkan (masjid), itulah yang mereka (BN) kehendaki supaya dia boleh tawan semua sekali. Kalau kita ada, dia tidak boleh buat sesuka hati kerana masjid adalah satu institusi yang sangat penting dalam masyarakat.

“Saya harap ini dapat difahamilah beberapa perkara ini supaya kita akan bersama-sama di tengah-tengah masyarakat, insya Allah,” ujarnya.





___________________________
Terbitan : 10 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)