Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Menolak analogi PAS menanam benih gerakan militan

Oleh ZULKIFLI SULONG

MEMBACA tulisan orang nombor 4 (kini) di akhbar New Straits Times (NST), Brendan Pereira, hari ini (9 April) akan menyebabkan mana-mana pemimpin PAS pun akan terangkat bulu keningnya.

Dari Ketua Biro Straits Times Singapore yang berwibawa dalam hal ehwal politik Malaysia berubah menjadi pembodek nombor 2 kepada pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Padahal, masih terngiang-ngiang lagi janji beliau untuk membawa kembali pembaca yang lari dari akhbar itu kembali dalam masa enam bulan dari pertemuan kami itu.

Apa tidaknya kalau, analogi yang bukan-bukan dibuat untuk mengkesampingkan usaha PAS untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia.

Dikaitkan usaha PAS sebagai titik mula kepada satu kebangkitan militan 15 tahun lagi sebagaimana bermulanya peristiwa Memali pada tahun 1985 sebagai permulaan kepada penubuhan KMM di Malaysia.

Bagi Brendan, pelancaran kempen Badan Bertindak Menentang Penyelewengan Pilihan Raya Umum ke-11 di Rusila malam tadi bakal menjadi tapak pelancar untuk kebangkitan 15 tahun lagi gerakan militan di negara ini.

Ia bermula di Rusila sebagaimana KMM bermula di Memali, bagi Brendan.

Banyak faktor yang dikesampingkan oleh penulis ini apabila membuat analisa sedemikian rupa. Ia bermula dari sumber maklumat yang diperolehi secara separuh masak sehinggalah mengenepikan sama sekali faktor kesangsian yang berlaku dalam pilihan raya baru-baru ini.

Pertama, Brendan kena ingat, siapakah yang mengembalikan ketenangan di Terengganu selepas para penyokong PAS tidak dapat menerima sama sekali keputusan pilihan raya 21 Mac lepas kalau bukan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Ketua Polis Terengganu telah datang berjumpa dengan beliau sendiri selepas berpuluh-puluh perhimpunan berlaku di seluruh Terengganu akibat dari terkejutnya mereka dengan keputusan pilihan raya itu.

Ketua Polis Terengganu sendiri yang memujuk pemimpin PAS itu agar mengadakan perhimpunan penjelasan untuk semua penyokong PAS. Stadium Sultan Ismail sendiri diputuskan untuk dijadikan tempat perhimpunan itu. PAS tidak perlu memohon permit tetapi polis yang akan memberikan permitnya.

Setelah dimaklumkan dalam Harakah sendiri perhimpunan itu akan diadakan di Stadium, pemimpin PAS dimaklumkan, stadium tidak boleh diguna, kononnya atas arahan Ketua Polis Negara. Maka perhimpunan telah diadakan di perkarangan Masjid Rusila.

Puluhan ribu rakyat Terengganu hadir dan mendengar penjelasan dan penerangan dari pemimpin PAS.

Selepas itu, perhimpunan berselerak hilang. Masing-masing akur dengan arahan pimpinan PAS bahawa 'kita memilih demokrasi dan akan melawan balik melalui demokrasi'.

Ya memang benar ramai yang tidak berpuashati. Hendak berpuashati macamana kalau pelbagai kepelikan berlaku dalam pilihan raya umum lepas. Antaranya:-

1) Tidak pernah dalam sejarah peratusan keluar mengundi yang luar biasa tingginya di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. Di DUN Manir, media melaporkan peratusan keluar mengundi mencecah 98.33 peratus. Itupun masih dimenangi oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato' Harun Taib. Dari mana orang yang begitu ramai keluar mengundi ini.

2) Di Parlimen Kuala Terengganu, mula-mula SPR malaporkan lebih 10,000 kertas undi tidak dikembalikan. Lepas itu, data ini diubah dan laman web SPR tidak lagi memberikan linknya kepada keputusan pilihan raya 2004.

3) Di semua bilik gerakan pilihan raya PAS di Terengganu, tidak dikesan sebarang irregularities berlaku dan mengekalkan rekod mereka PAS akan menang sekurang-kurangnya 25 kerusi DUN hinggalah ke malam hari mengundi. Apakah mereka ini bodoh sangat ke sehingga tidak dapat mengesan negeri mereka akan jatuh esoknya.

Jikalah benar hujjah dan analogi yang dibuat oleh Brendan, saya yakin Mesyuarat Agung Majlis Peguam Malaysia tidak akan menyokong resolusi agar Suruhanjaya Bebas diadakan untuk mengkaji kepelikan yang berlaku dalam pilihan raya lepas.

Jika benar tulisan Brendan, Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman sendiri tidak mencadangkan suruhanjaya bebas diadakan bagi mengkaji perjalanan pilihan raya itu. Ini kerana, Rashid sendiri mahu tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Jika benar tulisan Brendan, PAS bersifat seperti 'sour loser', nescaya bukan sekali ini sahaja PAS menolak sepenuhnya keputusan pilihan raya tetapi setiap kali pilihan raya berjalan sebelum ini. Untuk pengetahuan Brandan, PAS kalah lebih teruk lagi pada tahun 1978 tetapi pemimpinnya sedar, kekalahan itu kerana penolakan rakyat terhadap PAS. Hanya kali ini sahaja PAS menolak sepenuhnya keputusan pilihan raya itu dan dibuat melalui mesyuarat khas Jawatankuasa Pusatnya.

Jangan baca Harakah untuk mengetahui semua itu kerana Harakah bias kepada PAS. Bacalah laporan Malaysiakini, bacalah kenyataan Suaram, bacalah kenyataan Bar Council, bacalah kenyataan Dewan Perhimpunan China Selangor (SCAH), bacalah kenyataan Malfrel dan lain-lain lagi.

Anda akan bertemu dengan pelbagai kenyataan, keraguan, kegelisahan dan kemarahan ekoran pilihan raya umum ke 11.

Benar, rakyat yang marah, sebagaimana rakyat Memali yang marah akan menghasilkan tindakan yang tidak terfikir dek akal kita. Tetapi menutup terus pintu untuk mencari kebenaran akan membenarkan teori anda bahawa 15 tahun lagi akan membuahkan hasilnya.

Jangan sampai rakyat tidak percaya kepada sistem demokrasi, jangan sampai tidak terkawal lagi kemarahan itu.

Mari kita fikir secara rasional, apa yang boleh meredakan kemarahan itu.

Maka di sinilah lahirnya cadangan Suruhanjaya Bebas.

Kalau peristiwa mata hitam Anwar Ibrahim tidak dapat diselesaikan oleh siasatan polis selama lebih tiga bulan, dua hari sidang Suruhanjaya Bebas telah menemui...Ketua Polis Negara sendiri yang menumbuk mata Anwar.

Apa yang BN takut sangat dengan Suruhanjaya Bebas? Jika benar BN menang dengan bersih dalam pilihan raya baru-baru ini, Suruhanjaya Bebas akan meningkatkan lagi intergriti kerajaan yang dibentuknya.

Melalui Suruhanjaya Bebas, para penyokong PAS akan mengenalpasti sendiri apa punca mereka kalah dalam pilihan raya itu. Mungkin benar rakyat memang menolak mereka. Jika begitu realitinya, mereka akan terima dan berusaha lebih keras lagi untuk berjaya dalam pilihan raya akan datang.

Brendan jangan mengulangi kesilapan penulis NST sebelum ini ketika mengulas kebebasan yang dimiliki oleh rakyat Indonesia sekarang apabila menulis "inilah harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Indonesia untuk bebas" ketika merujuk kemiskinan dan kesusahan mereka selepas bebas dari regim Soeharto.

Memang, kebebasan ada harganya yang perlu dibayar tetapi hasil kebebasan akan menghasilkan dinamisma yang tidak ada tolak banding. Jangan banding dengan Singapura. Ia sebuah negeri kecil dan setiap tingkat rumah pangsanya pun boleh ada pengintip untuk mengawal keadaan.

Saya yakin, dengan dinamisma yang ada di Indonesia sekarang, negara itu akan mendahului Malaysia, paling tidak 10 tahun lagi tetapi saya meletak hanya lima tahun lagi.

Sebenarnya, ketika Brendan bimbang dengan militancy yang mungkin berlaku 15 tahun lagi ekoran kononnya kempen penentangan PAS terhadap pilihan raya ke 11, saya lebih bimbang pertembungan antara kaum yang sedang menghantui NST sekarang.

Maaf Brendan, mungkin ini terlalu personal.





___________________________
Terbitan : 10 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)