Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Siaran langsung Parlimen: Kalau mahu seribu daya, kalau tak mahu seribu dalih

Oleh Hafiz Mohd Baqi

KUALA LUMPUR, 13 April (Hrkh)- Siaran langsung persidangan Parlimen boleh diadakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekiranya kerajaan mahu berbuat demikian, kata Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas alasan Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzil bahawa lintas langsung itu tidak boleh dibuat kerana menelan kos yang tinggi.

Menurut Nasharuddin, sekiranya kos adalah masalahnya, mengapa selama ini RTM mampu menyiarkan secara terus menerus Persidangan Agung Umno setiap tahun.

"Kalau RTM boleh siarkan persidangan tahunan sebuah parti mengapa mereka tidak mampu untuk menyiarkan persidangan Parlimen yang penting untuk semua rakyat.

"Sepatutnya kepentingan rakyat perlu diberi keutamaan kerana RTM merupakan sebuah badan kerajaan kepunyaan rakyat," tegas beliau.

Kata Nasharuddin, kerajaan juga boleh mencari pelbagai cara untuk menjimatkan kos sekiranya betul-betul tidak mampu untuk menjayakan siaran langsung itu.

Antaranya kata beliau, kerajaan boleh meminta mana-mana pihak terutamanya syarikat-syarikat besar di negara ini menjadi penaja untuk membiayai kos penyiaran itu seperti siaran langsung pertandingan bola sepak.

Selain itu katanya, pelbagai cadangan dan idea juga telah diberikan oleh pembangkang pada persidangan Parlimen penggal lalu berhubung perkara ini tetapi tidak pernah diambil perhatian oleh pihak kerajaan.

"Jawapan Abdul Kadir bahawa kos penyiaran terlalu tinggi hanyalah cara untuk mengabui rakyat," kata Nasharudin yang juga bekas Ahli Parlimen Yan.

Semalam, Abdul Kadir ketika mengulas cadangan menyiarkan persidangan Parlimen berkata, ia tidak boleh dilakukan kerana liputan secara langsung menelan belanja lebih RM100,000 setiap jam.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal berkaitan dengan Parlimen turut menolak cadangan tersebut.

Cadangan itu telah dikemukakan oleh Pengerusi DAP, Lim Kit Siang bersama beberapa lagi cadangan lain kepada Dewan Rakyat baru-baru ini. lanh





___________________________
Terbitan : 14 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)