Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

PAS, KeADILan tidak tolak kemungkinan pulau PRU-12

MELAKA, 12 April (Hrkh) - PAS dan Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) tidak menolak kemungkinan memulaukan pilihan raya umum (PRU) ke-12 jika proses dan amalan demokrasi tidak dihormati pihak tertentu.

Naib Presiden KeADILan, Tian Chua dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, berkata ini memandangkan berlaku pelbagai insiden muktakhir ini yang menyebabkan kepercayaan rakyat kepada institusi diamanahkan menyuburkan demokrasi sudah terhakis.

Mereka yang diwawancara Harakahdaily selepas majlis ceramah (roadshow) Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan Raya Umum (BBPPPU) Ke-11 di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong di sini malam tadi, berkata jika semua saluran dibenarkan dalam amalan demokrasi ditutup rapat, rakyat akan membuat pilihan lain di luar jangkaan parti pemerintah dan juga parti politik lain.

Dr Lo' Lo' yang juga Pengerusi BBPPPU, berkata setakat ini PAS berusaha memastikan laluan bantahannya terhadap perjalanan pilihan raya lalu mengikut saluran dibenarkan (seperti menghantar memorandum bantahan dan mengambil tindakan undang-undang).

Bagaimanapun beliau bimbang jika saluran dibenarkan itu juga disekat, kemungkinan kemarahan rakyat tidak dapat dibendung seterusnya mereka bertindak melampaui sempadan dibenarkan.

Katanya, jika ini berlaku tiada mustahil PAS mengambil pendekatan untuk memboikot pilihan raya akan datang yang dijadualkan pada 2009.

"Tidak guna untuk kita menyertai pilihan raya jika pihak berkenaan tidak tahu menghormati undang-undang yang mereka sendiri cipta," katanya.

Sementara itu, Tian Chua juga berkata pihaknya akan bertindak berdasarkan saluran dibenarkan (undang-undang) tetapi memberi amaran bahawa kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung jika saluran itu disekat.

"Reformasi masyarakat yang cuba kita lakukan adalah mengikut saluran undang-undang...ini termasuklah perhimpunan membantah perjalanan pilihan raya ini," katanya.

Tian Chua berkata walaupun sejarah dan fakta perkembangan luar negara menunjukkan tiada kerajaan di dunia ketiga dapat ditumbangkan melalui pilihan raya, beliau tetap berpegang teguh untuk bertindak berdasarkan saluran dibenarkan.

"Jika hal ini pun tidak dapat dihormati kerajaan Barisan Nasional (BN), saya bimbang rakyat akan bertindak lebih jauh lagi," katanya.

Majlis BBPPPU itu yang dihadiri lebih 500 orang diisi dengan ceramah Dr Lo' Lo', Tian Chua dan kepimpinan PAS serta KeADILan negeri seperti Pesuruhjaya PAS, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman; Ketua Penerangan dan juga Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusof Rawa dan Naib Yang Dipertua Dewan Ulama PAS Negeri, Ustaz Zulkifli Ismail. - LANH/mks.





___________________________
Terbitan : 14 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)