Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kerajaan BN `bunuh’ Kostaq secara senyap

KEMAMAN, 15 April (Hrkh) - Pelbagai pihak mula sangsi dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang kononnya mahu memartabatkan pendidikan di negeri ini.

Ini kerana dalam masa yang sama kerajaan BN cuba menutup Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (Kostaq) di Besut yang akan digantikan semula dengan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang pernah ditutup oleh Mara pada akhir tahun 2002.

Kesemua pelajar Kostaq di Besut 'dihalau' berpindah ke Kostaq Dungun yang baru dibukan tahun ini dan bergabung dengan pelajar Kostaq sedia ada di situ seramai 100 orang.

Apa yang membimbangkan kapasiti pelajar Kostaq di Dungun itu tidak melebihi 450 pelajar dalam satu-satu masa pengajian.

Bekas Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Yusoff Tahir melahirkan rasa dukacita dan terkilan dengan tindakan kerajaan BN yang mahu menutup Kostaq di Besut.

Katanya, BN cuba membunuh secara senyap dan halus pusat pengajian tersebut yang menerima pelajar sulung untuk ke Tingkatan Satu pada 3 Jun tahun lepas.

"Cuba kita fikirkan, kapasiti muatan Kostaq di Dungun tidak melebihi 450 orang pelajar dalam satu-satu masa. Pelajar Kostaq di Besut yang dipindahkan 350 orang dan pelajar Kostaq sedia ada di Dungun itu 100 orang.

"Saya yakin tahun depan (2005) tidak akan dibuat pengambilan pelajar baru kerana tidak mempunyai kelas dan bangunan tambahan," jelas beliau ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Menurutnya, tindakan drastik terhadap Kostaq termasuk dalam senarai 'balas dendam' serta gelojoh Umno dan BN Terengganu kepada kerajaan BA pimpinan PAS lalu.

Beliau adalah antara pegawai kerajaan yang lama berkhidmat dengan Yayasan Terengganu dan ditamatkan kontrak serta merta oleh kerajaan BN meskipun Menteri Besar, Dato' Idris Jusoh belum mengangkat sumpah jawatan.

Harakah dimaklumkan, surat penamatan kontraknya berkuatkuasa serta merta pada 23 Mac lalu.

Beliau berpendapat, kerajaan BN Terengganu tidak mampu menguruskan pentadbiran negeri secara bersendirian tanpa bantuan kerajaan pusat.

Seorang bapa pelajar Kostaq, Encik Abdul Halim Muda, 43, dari sini turut melahirkan rasa dukacita dengan tindakan kerajaan BN menutup Kostaq di Besut.

"Anak saya baru masuk tahun kedua penuntut Kostaq di Besut dan sedang menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang. Situasi sebegini boleh mengganggu semangat dan masa depan para pelajar yang sedang menguasai hafalan al-Quran dan akademik," ujarnya.

Katanya, kerajaan BN negeri sekarang sanggup memperjudikan masa depan para pelajar Kostaq kerana dendam politik.

Selain itu, beberapa buah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) yang ditubuhkan oleh kerajaan BA lalu di bawah kelolaan jabatan agama dijangka akan menerima nasib yang sama.

SRAB yang ditubuhkan empat tahun lalu beroperasi di enam daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut yang mempunyai pelajar lebih 1,300 orang. - KAM/ayu





___________________________
Terbitan : 16 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)