Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

BN akui kerajaan BA tidak seleweng balak

Oleh Khairul Azlam Mohmad

KUALA TERENGGANU, 15 April (Hrkh) - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu mengakui kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS negeri yang lalu tidak melakukan penyelewengan dalam pemberian kawasan balak.

Ini berikutan tindakan kerajaan BN sekarang membenarkan kerja-kerja pembalakan yang diluluskan oleh kerajaan BA lalu diteruskan oleh pengusaha-pengusaha terbabit.

Menteri Besar, Dato' Idris Jusoh berkata, mana-mana kawasan yang telah diberikan komitmen oleh kerajaan lalu akan dijalankan terus dan tidak dihentikan prosesnya.

"Kita tidak menahan dan dia (pengusaha) boleh berjalan seperti biasa, kita tidak ingin menyusahkan sesiapa. Bila ada bukti jelas tidak ada penyelewengan kita biarkan dia (pengusaha) berjalan dahulu.

"Kita tidak boleh menghentikan kawasan-kawasan itu oleh kerana ada syak wasangka yang mengatakan ada penyelewengan dan kita menghentikan," jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, mana-mana kawasan balak yang telah diluluskan oleh kerajaan lalu akan diteruskan prosesnya melainkan ada pelanggaran syarat dilakukan oleh pengusaha terbabit.

Menurutnya, kerja-kerja pembalakan dan proses penjualan balak di negeri ini masih berjalan seperti biasa sekarang.

Sehubungan itu, Idris menegaskan kerajaan negeri telah mengambil keputusan membekukan semua pemberian baru kawasan pembalakan.

Tambahnya, kerajaan negeri sedang membuat kajian terhadap semua pemberian kawasan pembalakan dan pada masa kini pemberian-pemberian baru dibekukan.

"Semua proses-proses yang belum muktamad tidak akan diteruskan dan kawasan baru tidak akan diberi kerana kita sedang menilai setakat mana hutan kita telah diberi, setakat mana kawasan yang ada boleh diberi dan apakah impaknya yang harus kita nilai sebaik-baiknya agar tidak ada masalah kepada alam sekitar dan masalah kepada bekalan balak di masa depan," ujarnya. - ayu





___________________________
Terbitan : 17 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)