Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pilihan Raya Buli?

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

APA beza buli remaja di sekolah menengah dengan buli pilihan raya? Ia hampir sama juga dengan buli di jalan raya.

Jika perbuatan buli melibatkan kegiatan ‘orang yang menggunakan kekuatan atau kuasa untuk mencederakan atau menakutkan orang lain yang lebih lemah’ seperti yang diertikan oleh kamus dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, maka tidakkah buli pilihanraya turut melibatkan aktiviti pemerasan dan penindasan yang serupa?

Jika dalam kes buli yang melibatkan kematian adik Mohammad Farid, enam pelajar telah dibuang sekolah (Berita Harian, 6 April 2004), ada sesiapa yang di buang atau di lucutkan jawatan dari keanggotaan SPR?

Jika tindakan pembuangan enam pelajar itu di putuskan dalam mesyuarat Jawatan Kuasa Disiplin sekolah berkenaan yang di pengerusikan oleh pengetuanya, Encik Johara Norwawi, maka adakah jawatan kuasa yang hampir serupa di tubuhkan untuk menilai semula tingkah laku dan mungkin salah laku badan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk di ambil tindakan?

Jika polis dibenarkan untuk berucap di sekolah-sekolah oleh Timbalan Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar bagi mendedah gejala samseng dan jenayah di kalangan pelajar (Mingguan Malaysia, 11 April 2004), maka apa wajarnya Timbalan Menteri yang sama mengugut bagi menyekat Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan Raya untuk menemui rakyat (Mingguan Malaysia, 11 April 2004) dan mengadakan perhimpunan aman demi menjelaskan aspek-aspek salah laku SPR yang membuli parti-parti pembangkang dalam pilihan raya yang lalu?

Ini bukan soal menghasut tetapi sekadar mengatur satu siri sesi penjelasan. Ia biasa dan sihat dalam amalan demokrasi. Ia jauh dari bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Inilah yang dipanggil ‘check and balance’.

Salahkah kami untuk memainkan peranan sebagai pembangkang? Jika tidak kami yang menegur kesilapan Kerajaan, maka siapa lagi?

SALAHLAKU PILIHAN RAYA KE 11

Hakikat adanya satu senarai tuduhan yang panjang mengenai salah laku dalam pengendalian pilihan raya yang ke-11 pada 21 Mac yang lalu sangat menyerupai kegiatan penindasan pihak yang kuat ke atas pihak yang lemah.

Orang ramai telah berhimpun di ibu pejabat Suhakam tiga minggu yang lalu. Pihak pembangkang telah membentuk satu Badan Bertindak kerana terdapat isyarat-isyarat yang jelas mengenai liatnya kerajaan UMNO/BN dan tidak berminatnya mereka untuk mewujudkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat fenomena buli dalam pilihan raya kita baru-baru ini.

Mentang-mentang mahu Islam Hadhari sekalipun, takkanlah Islam klon hadhari sanggup menghalalkan penipuan? Pihak pembangkang telah siap membukukan bukti berdokumen dalam mengenengahkan dakwaan.

Lantiklah suruhanjaya penyiasat bebas dengan segera untuk menolak dakwaan. Jika tuduhan tidak berasas, UMNO/BN boleh bersihkan nama. Apa masalahnya di sini, sedangkan pengerusi SPR pun telah lama menyatakan kesediaan untuk di bedah siasat pada bila-bila masa. Buktikan yang tuduhan-tuduhan adalah salah. Itu saja.

Hanya terdapat dua kemungkinan. Salah atau benar. Beranilah untuk di uji. Hadapilah kenyataan.

Selagi kerajaan tidak bertindak, selagi itulah rakyat akan sentiasa sangsi dengan kemenangan UMNO/BN. “Kerajaan yang ada ini sah atau tidak sah?” Apa sangatlah yang di takutkan dengan penubuhan sebuah badan penyiasat bebas?

Tidakkah dengan kesediaan kerajaan untuk mengizinkan badan yang sama di tubuhkan kira-kira lima tahun dahulu, penumbuk yang meninju mata kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dapat dipastikan dalam tempoh tidak sampai 2 hari? Inilah hikmat penubuhan Badan Penyiasat. Inilah kecekapan? Jika ingin cemerlang, inilah caranya. Baru Umno terbilang!

BUKAN SOAL PAS TOLAK KEPUTUSAN RAKYAT

Soal Dato’ Seri Haji Abdul Hadi yang kononnya tidak dapat menerima keputusan, bahkan di tuduh menghina keputusan rakyat (Berita Minggu,11 April 2004) tidak timbul. Di sepanjang 10 kali pilihan raya,PAS telah akur menerima keputusan. Ini tidak berbangkit.

Kita tidak menerima keputusan pada kali ini kerana sifatnya yang sangat menyalahi adat. Terlalu banyak ruang-ruang samar yang membolehkan orang bermain silap mata. ‘Magic show’ yang terlibat dalam ‘pertunjukan pilihan raya’ pada kali ini cukup ganjil. Ia luar biasa.

Jika kerajaan UMNO masih tidak mahu juga menubuhkan Pasukan Penyiasat Pilihan Raya untuk membuat ‘post mortem’ , parti-parti pembangkang nampaknya tidak ada pilihan.

Kami terpaksa turun padang secara aman untuk menjelaskannya kepada rakyat. Kami tidak berniat untuk berkonfrontasi. Kami perlu mengangkat nota-nota bukti berkaitan kepada badan-badan serta pertubuhan peringkat antarabangsa di Amerika Syarikat, Eropah, dan Negara-negara Komanwel untuk meneliti dakwaan salah laku SPR dalam pilihan raya ke-11 demi memulih dan membetulkan semula keadilan pengendalian pilihan raya berkenaan di Malaysia.

Tidakkah kita perlu memenuhi piawai antarabangsa untuk di iktiraf ke tahap ‘world class?”

Demi sebuah tanggungjawab, kami wajib menyelamatkan para pengundi dalam pilihan raya ini dan pilihan raya-pilihan raya umum yang akan datang.

Kami tidak sanggup menjadi “mangsa buli Islam Hadhari” mainan sebuah parti kebangsaan Melayu bernama UMNO yang tidak bertulang belakang.





___________________________
Terbitan : 17 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)