Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Lebih 1,200 aduan pilihan raya diproses untuk tindakan

KUALA LUMPUR, 19 April (Hrkh) - Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan Raya Umum Ke-11 (BBP-11) Barisan Alternatif (BA) telah mengumpul, menerima dan memproses lebih 1,200 aduan mengenai apa yang berlaku dalam pilihan raya umum tersebut.

Laporan polis telah dibuat berhubung aduan berkenaan. Aduan itu sedang diproses oleh jawatankuasa tersebut untuk diambil tindakan sewajarnya menurut saluran diputuskan.

Di bawah ini sebahagian pelbagai aduan kecelaruan pilihan raya umum lalu yang diterima oleh badan bertindak tersebut.

Senarai aduan tersebut telah diedarkan kepada media dalam dan luar negara dalam sidang media badan tersebut 14 April lalu. Senarai aduan ini ditandatangani oleh Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Orang lain mengundi bagi mereka yang telah mati

Ada terdapat pengundi di bawah umur 21 tahun dibenarkan untuk mengundi. Demikian juga begitu ramai nama pengundi yang hilang daripada daftar pemilih walaupun sebahagian daripadanya telah mengundi di tempat yang sama sejak lama dulu dan tidak pernah memohon untuk dipindahkan namanya ke kawasan mengundi yang lain.

Terdapat orang yang telah meninggal tetapi namanya masih ada dalam senarai pemilih dan lebih aneh lagi ada orang lain pula yang mengundi untuknya.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di luar negara beberapa tahun dan tidak pernah mendaftar sebagai pengundi dan tidak pernah mengundi tiba-tiba namanya terdapat dalam daftar pemilih sebagai pengundi di Jalan Gurney.

Pengundi wanita tetapi didaftarkan nama lelaki

Ramai orang dikatakan telah mendaftar sebagai pemilih di alamat tertentu, tetapi apabila disiasat didapati mereka ini tidak tinggal di kawasan tersebut, sementara tuan punya rumah yang tinggal di situ sejak lama tidak pernah mendengar nama pengundi ini.

Ada beberapa pengundi memiliki kad pengenalan yang sama didapati ada nama mereka didaftar pemilih di kawasan yang berbeza.

Terdapat pengundi telah mengundi dengan menggunakan kad pengenalan orang lain dan di dalam beberapa kes ada pengundi wanita didaftarkan atas nama lelaki dan sebaliknya.

Dua daftar pemilih diguna, ramai tidak dapat mengundi

SPR menggunakan dua daftar pemilih yang berbeza. Ini menyebabkan kecelaruan menyebabkan ramai yang tidak dapat mengundi kerana nama mereka tiada dalam senarai daftar pemilih.

Di Selangor, penambahan waktu mengundi dari jam 5.00 petang hinga 7.00 malam menyebabkan kecelaruan yang teruk dan melanggar Peraturan Pilihan Raya Seksyen 15 (2). Suruhanjaya Pilihan Raya gagal mematuhi tempoh mengundi yang telah diwartakan selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Penambahan masa ini telah dibuat selepas jam 5.00 petang (selepas waktu tutup yang diwartakan). Tiada sebarang notis perlanjutan ini ditunjukkan.

Buku daftar pemilih diterima tidak lengkap

Penambahan masa mengundi di Selangor menyebabkan suasana kelam-kabut. Ada pegawai yang mematuhi pengumuman mendadak penambahan masa ini, ada yang keberatan.

Di sesetengah tempat mengundi, pengiraan undi sudah bermula sebelum arahan pelanjutan masa diterima. Beberapa bantahan telah dibuat kepada pihak pengurus pilihan raya.

Sementara itu, calon N.43, Sementa, Selangor, Abdul Rahman Ibrahim melaporkan bahawa daftar senarai pemilih yang diberikan kepada pihaknya telah diterima pada saat akhir dan tidak lengkap pula, beberapa helai telah hilang dan ramai tidak dapat mengundi.

Orang mati tetapi masih mengundi

Kecelaruan dalam daftar pemilih berlaku di banyak tempat, khususnya di Hulu Klang, Gombak. Dalam daftar pemilih SPR itu terdapat nama-nama orang yang telah mati dan ada yang menggunakan alamat si mati yang tidak ada hubungan dengan mereka.

Contohnya, di Kawasan Mengundi Klang Gate, 098/18/02 terdapat nama lima pengundi nama Cina dan seorang Melayu semuanya beralamat di rumah ibu Mohamad Azmin Ali, bekas Adun Hulu Klang. Nama mereka ialah Tan Teck Fong, Lim Hock Seng, Tan Teck Hock, Song Poo Wan, Chong Chee Peng dan Amirudin bin Harun. Semua mereka, kecuali Lim Hock Seng, tidak mengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Bapa Azmin pula, Ali bin Omar meninggal dunia lima tahun lalu, tetapi hingga kini namanya masih ada dalam daftar pemilih Nombor Daftar 44.

Pengundi Nombor Daftar 146, namanya Zahara binti Ahmad juga telah meninggal dunia. Tetapi, menurut rekod, dia juga telah mengundi dalam pilihan raya 21 Mac lalu.

Di Perlis, Ramlee bin Ahmad telah membuat laporan polis di Simpang Empat di mana dia mengadu bahawa Shuib bin Taib yang meninggal dunia 26 Januari 1976 tetapi masih ada namanya sebagai pengundi, malah menurut rekod orang ini telah mengundi dalam pilihan raya lalu dengan serial nombor 13 di barisan 1, Sekolah Kebangsaan Kampung Serdang.

142 orang gunakan alamat kedai runcit

Calon BA di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Dr Sanusi Osman melaporkan bahawa 13 pengundi berlainan kaum dan jantina berkongsi alamat No 12 Batu 6 1/2 , Jalan Puchong, Kampong Bohol, Lembah Pantai.

Keadaan meragukan juga melibatkan 26 pengundi beralamat beberapa tempat di Bangsar.

Di Kampung Klang Gate yang dibina pada tahun 60-an dan merupakan perkampungan Melayu tradisi, tidak terdapat kondominium, flet dan bangunan tinggi lain tetapi lima pengundi didapati menggunakan alamat bangunan tinggi di situ.

Kebanyakan pengundi ini telah mengundi pada pilihan raya lalu.

Kajian oleh Malaysian for Free and Fair Elektion (Mafrel) mendapati 142 pengundi menggunakan alamat yang sama di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai.

Tempat ini sebenarnya ialah sebuah bangunan kayu beratap zink di mana barang keperluan harian dijual (kedai runcit). Tuan punyai kedai itu menafikan 142 orang menggunakan alamat tersebut.

Orang biasa didaftar dalam senarai undi polis

Calon KeADILan di Kuantan, Fuziah Salleh telah membuat aduan bahawa di kawasan Parlimen Kuantan, 5,179 memberikan alamat tempatan dan tidak ada nombor rumah.

Sebahagiannya ada alamat rumah tetapi tidak ada alamat jalan.

Di Kuantan juga, ramai yang telah meninggal tetapi nama mereka masih ada dalam daftar pemilih. Di kawasan ini begitu ramai pengundi memakai alamat yang sama. Dalam satu kes, umpamanya 29 mendakwa tinggal di rumah yang sama.

Ada juga terdapat di mana orang biasa tetapi didaftarkan sebagai pengundi pos.

Misalnya, Hatijah binti Abu Bakar pengundi yang tinggal di Kondominium Teratai Merah, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur didaftarkan sebagai pengundi pos di Bota, kawasan Parlimen Parit, Perak.

Daftar pemilih lengkap diberi kepada BN

Aduan juga diterima bahawa daftar pemilih yang diberikan kepada pembangkang di mana alamat pengundi tidak lengkap. Ini sangat menyukarkan pembangkang untuk mencari pengundi tersebut.

Bagaimanapun, daftar pemilih lengkap yang diberikan kepada BN turut disertakan alamat pemilih. Buktinya pihak Pengerusi BN, Abdullah Ahmad Badawi mampu menghantar surat kempen peribadi melalui perkhidmatan Pos Malaysia beberapa hari sebelum pilihan raya tersebut.

Sementara itu aduan juga diterima di mana pegawai pilihan raya merekodkan siri nombor di kertas undi pengundi dan mengumumkan dengan kuat di dalam dewan tempat mengundi.

Ini menimbulkan kebimbangan pengundi bahawa undi mereka tidak lagi rahsia bahawa mereka dipantau. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jasin, Melaka. lanh





___________________________
Terbitan : 21 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)