Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kejadian rogol: PLKN perlu digantung segera

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 19 April (Hrkh)- PAS dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) kesal terhadap beberapa peristiwa hitam yang berlaku ke atas peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dijalankan awal tahun ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Shafie Abu Bakar berkata, selain masyarakat gempar dengan insiden seorang jurulatih disyaki merogol seorang peserta di Kem Merang, Setiu, Terengganu beliau mendesak pihak berkuasa juga menyiasat kebenaran spekulasi mengenai dua pelatih PLKN di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, yang dikatakan mengandung.

"Kes kedua pelatih mengandung kini menjadi heboh di kalangan masyarakat kampus UKM," dakwanya.

PLKN adalah program mengindoktrinasikan peserta menjadi penyokong kerajaan

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang ini berkata, kegiatan yang tidak menyenangkan oleh peserta PLKN di UKM banyak disampaikan kepada beliau.

Namun katanya, berita rogol seorang peserta di Terengganu sebagaimana disiarkan dalam akhbar tempatan hari ini, memperkukuh salah laku di kalangan peserta PLKN.

Malah katanya, dari pantauan yang dibuat beliau mendapati persoalan moral tidak dititikberatkan.

"Sebagai contoh ada peserta di UKM didapati merokok dan bergaul bebas berpasangan bukan sahaja di siang hari malah disebelah malam," dakwanya lagi.

Malah katanya, maklumat yang diterimanya mendakwa kursus yang dijalankan merupakan program mengindoktrinasikan peserta menjadi penyokong kerajaan.

"Tanpa mementingkan soal akhlak dan agama, maka terjadi gejala jenayah, salah laku moral ditambah dengan gengsterism, perbalahan dan sebagainya," katanya.

Peristiwa seperti ini katanya menggerunkan ibu bapa untuk melepaskan anak-anak menyertai PLKN.

"Kami meminta PLKN dikaji untuk membuat penilaian dan jika tidak diperbaiki, lebih baik peruntukan kira-kira RM500 juta disalurkan ke arah pendidikan keilmuan dan kemahiran yang jelas dapat memberi manfaat kepada peserta," katanya.

Bukti pusat pertumbuhan maksiat

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub mendakwa, kejadian rogol yang berlaku di kem PLKN ini membuktikan dakwaan Pemuda PAS sebelum ini bahawa program ini akan menjadi pusat pertumbuhan maksiat hampir menjadi kenyataan.

"Pemuda melihat punca utama kejadian-kejadian seperti ini berpunca daripada kelemahan dasar PLKN yang tidak begitu mengambil berat soal pembinaan kerohanian peserta, sebaliknya lebih cenderung menjadi pusat indoktrinasi politik BN.

"Ini bukan pertama kali kes-kes jenayah dilaporkan berlaku dalam PLKN walaupun program ini hanya baru bermula tidak sampai dua bulan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sebelum ini DPP Pusat telah mendedahkan kejadian pergaduhan di Kem Port Dickson, diikuti oleh pergaduhan di beberapa kem di Terengganu, Kelantan, Perak dan sebagainya.

Selain insiden-insiden pergaduhan, DPP Pusat turut menerima aduan tentang kes-kes yang melibatkan gejala seksual di PLKN seperti tayangan video lucah di kem Perlis, tangkapan khalwat di kem Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan terbaru kes rogol di Kem Merang.

"Insiden-insiden ini jelas memberikan gambaran betapa buruknya keadaan di kem-kem PLKN," katanya.

Beliau berkata PAS sebelum ini berkali-kali mengingatkan pihak Kerajaan BN supaya memastikan PLKN tidak menjadi pusat kegiatan maksiat seperti percampuran bebas lelaki perempuan, penyebaran budaya hedonisme dan budaya artis, kerana boleh menjadi anasir kepada keruntuhan akhlak remaja.

Akibatnya gejala-gejala yang sangat memalukan ini berkembang dalam satu program yang kononnya bertujuan untuk membina sahsiah dan patriotisme remaja.

"Jika beginilah keadaannya, tidak pelik sekiranya sebahagian ibu bapa memulaukan program ini dengan menghalang anak-anak mereka menyertai PLKN," katanya.

Malah tegasnya, kerajaan tidak boleh memaksa para remaja menyertai PLKN jika tahap keselamatan peserta berada di di tahap bahaya.

Insiden-insiden ini katanya, menjadi bukti kegagalan kerajaan dalam membina jati diri remaja dan sehubungan itu beliau mendesak Pengerusi PLKN, Dato' Dr Fawzi Basri meletakkan jawatan di atas kegagalan beliau menguruskan PLKN dengan berkesan.

PLKN perlu digantung

Sementara itu, Ali Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar yang kesal dengan kejadian rogol ke atas seorang peserta PLKN mendesak Menteri Pertahanan, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak mengambil sikap terbuka dan tidak perlu mempertahankan satu program yang dianggap lemah dari awal lagi.

Malah dalam perbahasan di Parlimen nanti beliau mahukan Kelap Penyokong Kerajaan (BBC) berani mengenengahkan isu tersebut.

Beliau berkata, sikap sambil lewa yang diambil oleh pengurusan PLKN menimbulkan pelbagai masalah yang memalukan.

"Selaku ahli parlimen saya mengesa PLKN digantung sehingga kajian khas mengenai satu kertas putih dibentang di parlimen untuk dibahaskan," katanya.

Bimbang ada lagi kes rogol yang tidak dilaporkan

Dalam pada itu, Ketuan Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr Harlina Halizah Siraj berkata beliau bimbang dan kecewa terhadap kejadian rogol yang berlaku ke atas peserta yang berusia 17 tahun itu.

Katanya, walaupun kes tersebut disiasat polis tetapi pastinya menimbul kebimbangan umum terutamanya ibu bapa.

"Persoalannya yang timbul ialah sejauh mana aspek keselamatan peserta dititikberatkan," katanya sambil berkata, mungkin ada lagi kes rogol dan pencabulan yang tidak dilaporkan.

Oleh sebab itu, katanya, satu pertimbangan perlu dibuat secara serius untuk mengecualikan peserta perempuan dalam program PLKN sementara waktu sehingga langkah keselamatan dan pencegahan terhadap jenayah seksual diperkemaskan.

Kerajaan tidak peka terhadap pandangan masyarakat

Presiden Ikatan Siswazah Muslim Malaysia (ISMA), Abdul Rahman Mat Dali berkata, keputusan kerajaan melibatkan remaja perempuan dalam aktiviti yang bercampur antara semua peserta tanpa batas serta jauh pula dari keluarga sememangnya satu tindakan tercetusnya kebimbangan ibu bapa.

"Ini memberi anggapan kerajaan tidak peka terhadap pandangan masyarakat yang begitu sensitif terhadap nilai diri dan keselamatan maruah anak-anak mereka," katanya.

Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz Omar, menggesa Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menggantung segera PLKN.

Katanya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet PLKN, beliau perlu mengambil beberapa tindakan berikutan kes disiplin dan salah laku yang semakin mencemaskan di seluruh kem dan pusat latihan PLKN adalah dirujuk.

"Berhubung kejadian rogol tersebut kami mendesak Najib segera mengambil tanggungjawab untuk menggantung program tersebut serta-merta," katanya.

Beliau berkata kes ini adalah kemuncak keadaan kritikal yang sedang melanda program tersebut, dan satu penilaian semula secara 'total' perlu dibuat sama ada PLKN wajar diteruskan atau sebaliknya. - mks.





___________________________
Terbitan : 21 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)