Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Laporan Khas dari Seberang:Betapa bebasnya pilihan raya di Indonesia

Oleh Ahmad Muhajir

Apabila tahun lalu, pemerintah Indonesia mengisytiharkan pilihan raya umum diadakan 5 April, maka pihak kerajaan Indonesia mengusulkan kepada DPR nama-nama calon yang akan dilantik menjadi anggota Komisi Pemilihan Umum-KPU (SPR).

Anggotanya dikaji dari puluhan nama, dari sudut; akhlak-kejujuran-tidak ada kepentingan atau kecenderungan kepada parti politik tertentu, harta kekayaannya, latarbelakang pendidikan dan keluarga mereka.

Akhirnya terpilihlah sembilan ahli dari pelbagai profesen, ada pensyarah kanan, ahli undang-undang perlembagaan, peguam, bekas pimpinan NG0 dan pertubuhan Islam, diketuai oleh Prof Dr Nazaruddin Samsudin, pakar politik dalam negeri dan antarabangsa, pensyarah kanan Universiti Indonesia Jakarta.

Naibnya Prof Dr Ramlan Subekti, pakar ilmu pentadbiran negara, pensyarah kanan Universiti Airlangga Surabaya, KPU adalah badan bebas yang bertanggungjawab kepada parlimen dan pada masa yang sama juga kerajaan mengusulkan nama-nama untuk menjadi ahli Panitia Pengawasan Pemilihan Umum (Panwaslu), dengan 7 ahli diketuai Dr Komaruddin Hidayat, Ph D ilmu politik dari sebuah universiti di Turki, Panwaslu bertugas mengawasi perjalanan kempen pilihan raya parti politik yang bertanding, ahlinya juga harus jujur-bersih tidak terlibat rasuah dan tidak ada kepentingan politik.

Panwaslu bertanggung jawab kepada KPU dan DPR. Kalau sebelumnya ahli MPR terdiri dari ahli DPR dan anggota yang dilantik, kini semua ahli MPR dipilih langsung oleh rakyat, tugas MPR meminda atau membuat perlembagaan, menentukan garis dasar pembangunan negara dan tugasnya yang dahulu memilih presiden dan naib presiden dimansuhkan, kerana presiden dan naibnya akan dipilih langsung oleh rakyat pada pilihan raya umum ke 2 lima Julai 2004 nanti.

Tugas tersurat KPU hanyalah menyelenggara pilihanraya umum yang lang -sung, umum, bebas dan rahsia (LUBER) dan tidak ada tugas tersirat iaitu memenangkan parti pemerintah sebagaimana yang berlaku di beberapa negara lain.

Setelah KPU wujud, tugas pilihan raya adalah tanggungjawab KPU sepenuhnya dan pemerintah tidak boleh sedikitpun campurtangan, kecuali berkenaan dengan dana, logistik dan pengangkutan. Dan yang paling hebat ialah semua peserta pilihan raya iaitu 24 parti politik mendapat bantuan kewangan yang sama jumlahnya dari pemerintah, baik parti kecil atau besar, baik parti koalisi memerintah atau bukan.

Kalau dalam pilihan raya yang bebas pertama setelah reformasi tahun 1999, parti politik yang bertanding berjumlah 48, kini dari ratusan yang mendaftar dan setelah dikaji jumlah cawangannya, keahlian, kepimpinan dan kewangannya hanya 24 yang dibenarkan bertanding, termasuk enam yang menang dalam pilihan raya umum (pemilu) 1999, kerana mendapatkan lebih dari 10 kursi DPR. Parti tersebut ialah PDI-P pimpinan Megawati, Parti Golkar di bawah Ir. Akbar Tanjung, PPP dengan ketuanya Hamzah Haz, PKB pimpinan Gus Dur dan PAN pimpinan Dr. M. Amien Rais, Parti Islam Bulan Bintang (PBB) pimpinan Dr. Yusril Ihza Mahendra.

Parti Islam reformis Parti Keadilan tahun 1999 hanya mendapat 7 kursi, namanya ditambah menjadi Parti Keadilan Sejahtera (PKS) pimpinan ulama muda karismatik yang dihormati kalangan Islam dan bukan Islam, Dr HM Hidayat Nurwahid MA. Para calon yang bertanding untuk 4 Dewan itu perlu bersih dari kolusi, kroni dan korup (KKN), akhlaknya baik dan mempunyai sijil pendidikan yang sah tidak menggunakan sijil palsu atau sijil universiti atau sekolah menengah yang dibeli, nama-nama ini sudah diisytihar oleh KPU Pusat dan peringkat negeri pada Januari 2004.Untuk mendaftar menjadi calon tidak diperlukan membayar wang deposit dan juga juga tidak ada deposit memasang poster dan sebagainya.

Memang tidak dapat dinafikan parti besar meminta bayaran kepada bakal calon untuk pusat sekitar Rp.200 juta (RM90,000 ribu), sementara untuk negeri dan daerah antara RM 45,000 dan RM25,000, namun ada juga parti yang bersih tidak meminta wang dari calonnya, tetapi tidak dilarang calon menderma seberapa yang mampu.

Kempen pilihan raya umum bermula 11 Mac dan berakhir 1 April 2004 sedangkan 2-4 April adalah hari tenang (diam) - tidak boleh kempen di mana-mana, dalam bentuk apapun termasuk dalam media cetak, radio dan TV. Apa yang menarik, kempennya betul-betul bebas, diselenggara di siang hari, boleh dibuat di padang atau di dewan mana saja, dan kebenaran sudah pasti diberi kepada parti politik apa saja, asal bergilir dan tidak bertembung sama ada padang tentera, polis, padang awam atau di depan bangunan kerajaan atau swasta.

Pagi diberitahu polis, petang kempen berjalan, yang datang hanya polis trafik mengawal lalu lintas, tidak ada yang namanya FRU atau SB (di Indonesia; Brigade Mobil-Brimob) dan wakil dari Panwaslu akan datang untuk melihat etika dan peraturan yang dijalan atau dilanggar oleh parti yang berkempen.

Kalaupun ada pelanggaran hanya akan diberi amaran, tetapi kalau didapati money politics akan menghadapi tindakan keras. Parti-parti nasionalis sekuler akan menggunakan artis dengan joget, tari dan goyang dangdut, parti Islam khasnya PKS akan memulai dengan nasyid dan nyanyian yang tidak menyalahi aturan syarak, kemudian ucapan dan ceramah akan berlangsung dengan sopan, diselangi dengan takbir dan teriakan no korup, mahukan parti, pemerintah dan calon yang bersih jujur dan hidup sederhana.

Pegawai kerajaan, anggota polis, mahasiswa ataupun pelajar dibenarkan hadir dalam kempen parti politik apa sahaja, sedangkan pimpinan persatuan mahasiswa dikebanyakan kampus di mana bandar-kota yang ada universiti, akademi atau sekolah tinggi awam atau swasta digalakkan ikut melakukan hubungan politik dengan parti yang bertanding dan parti yang mahu melakukan hubungan politik adalah PAN dan juga PKS.

Wakil pimpinan mahasiswa akan ikut berucap pada masa kempen, dengan ucapan mahasiswa tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tetapi bersedia bekerjasama dan menyokong parti yang reformis, bersih, jujur dan sangat anti KKN, selama amanah itu dijaga mahasiswa akan sokong, tetapi apabila menyeleweng, rasuah atau melakukan perbuatan yang memalukan, mahasiswa akan memberi peringatan dan kalau perlu akhirnya mahasiswa akan turun ke jalan raya meminta pemerintah atau anggota dewan meletak jawatan.

Memang tidak dinafikan parti yang memerintah atau parti yang pernah berkuasa, takut kalah atau kekurangan undi melakukan politik wang dengan membayar siapa saja untuk datang hadir dalam kempen mereka. Ada yang dibayar RM15 atau paling kurang RM5, dapat baju, topi bahkan rompi, dan yang menyedihkan yang dibayar di beri dulu separuh sebelum kempen, tetapi setelah kempen yang separuh itu tidak dapat, kerana yang berjanji akan memberi sudah hilang entah ke mana.

Juga ada disebut serangan malam atau serangan fajar, membeli undi dengan membahagikan wang sehari sebelum mengundi, baik malam atau di subuh hari, banyak juga yang terjadi kalau ada dapat ditangkap oleh petugas parti lain, bersama pihak polis. Polis tidak memihak dan sangat profesional. Begitu juga dengan pengundi hantu (pemilih siluman) tidak ada sama sekali, juga dengan nama pengundi yang hilang dari senarai tidak lagi berlaku pada tahun 1999 dan 2004.

Dari sejak pemilu 1999 iaitu masa Presiden BJ Habibie sampai kini, media tidak memihak mana-mana parti yang bertanding dan calon parti apa saja yang bertanding boleh masuk radio dan TV, malah zaman Suharto pun masih diberi parti selain Golkar berucap di radio dan TV selama 15 menit setiap hari. Kini kalau parti atau calonnya ingin berkempen lebih masa di TV boleh bayar melalui ruangan iklan.

Oleh kerana kempen dibuat di siang hari, maka pagi maka malam hari berlangsung debat calon parti di kesemua saluran TV yang ada, baik kepunyaan pemerintah mahupun swasta, dengan menampilkan seorang calon dari masing-masing parti parti setiap pagi dan malam dengan pengerusinya pihak berkecuali, dihadiri para wartawan, mahasiswa, penyokong dan orang awam, orang asingpun boleh masuk dan boleh bertanya melalui telefon atau SMS.

Yang lebih menarik dibenarkan hadir pemantau dan pemerhati dari dalam negeri; ada pemantau dari NGO, majlis rektor seIndonesia, dan pemantau pemilu berkecuali yang ditubuhkan sebelum pemilu. Pemantau asing juga digalakkan, ada yang datang dari Eropah, PBB, dan pelbagai badan NGO asing lainnya. Di dalam kampus juga dibenarkan berkempen dalam bentuk debat dan forum politik yang agak ilmiah, namun ini kurang mendapat sambutan dari kalangan rakyat.

Kalau Presiden Megawati, atau Naib Presiden Hamzah Haz mahupun Ketua MPR Amien Rais ingin berkempen untuk partinya dia wajib bercuti dan datang bukan sebagai presiden, naib presiden atau ketua MPR, tetapi datang sebagai ketua parti, kalaupun terpaksa menggunakan kemudahan kerajaan dia wajib membayar sesuai dengan harga semasa, seperti menggunakan kapalterbang kerajaan, namun dia tidak boleh berbelanja melebihi dari Rp.100 juta atau RM45,000.

Berita mutakhir, memang serangan fajar memang banyak terjadi di mana-mana, membeli pengundi dengan wang, beras, makanan di malam hari atau di subuh hari sebelum waktu mengundi. Ini banyak terjadi di daerah pedalaman atau kawasan terpencil di Pulau Jawa, sebagian Sumatra dan beberapa tempat lain. Ini dilakukan oleh PDI-P, Golkar, PKPB di Jawa ikut juga PKB. Di tempat ini petugas dari parti Islam atau parti reformis sangat kurang atau tidak ada, dan petugas keselamatan polis serta pemantau juga tidak sampai ke tempat tersebut.

Juga waktu membilang undi penyelewengan berlaku iaitu apabila saksi-saksi parti baru, ditipu oleh pegawai SPR (KPU) yang kemungkinannya berpihak kepada parti tertentu, maka apabila disiasat dan terbukti penyelewengan berlaku, maka akan dibawa ke mahkamah dan pilihan raya akan diulang semula di kawasan berkenaan.

Berdasarkan laporan dari Komite Independen Pemantau Pemilu (Pemantau Bebas), lebih dari 200 penyelewengan dan kesalahan yang terjadi selama masa mengundi. Apa yang jelas, dua kali pilihan raya setelah reformasi ini, rakyat tidak lagi diugut apalagi ditakut-takuti, tidak ada istilah tidak undi parti ini rakyat akan mundur, miskin, terkebelakang, tidak ada kemajuan atau pembangunan, atau hanya parti ini sajalah yang boleh membawa kemajuan.

Yang ada adalah seruan gunakanlah hak mengundi dengan kesedaran dan bebas sesuai dengan hati nurani. Tidak juga berlaku ada calon yang dibeli atau diberikan tawaran tertentu, ataupun ada pimpinan atau ahli parti lawan yang dibeli atau dirasuah. Kalaupun ada yang melompat parti itu hanya berlaku setahunatau 2 tahun sebelum atau sesudah pilihan raya, namun calon yang terpilih tidak boleh melompat parti. Kalaupun dia melompat maka keahliannya di Dewan automatik gugur dan diganti dengan orang lain. M/Sh.





___________________________
Terbitan : 23 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)