Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Dakwaan rogol pelatih PLKN: Menteri-menteri wanita diminta bertindak

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Kalthum Othman mendesak menteri-menteri wanita supaya bertindak segera terhadap insiden-insiden buruk yang berlaku dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ini katanya, menteri-menteri berkenaan terutamanya, Rafidah Aziz, Shahrizat Jalil dan Azalina Othman Said sepatutnya lebih peka terhadap isu-isu yang tercetus di semua kem dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menempatkan para peserta.

"Sebagai menteri wanita yang mewakili wanita di negara ini mereka tidak wajar berdiam diri dalam isu-isu seperti ini biarpun ia menyentuh kelemahan kerajaan sendiri. Ke manakah perginya suara para menteri ini?" soalnya semasa diminta mengulas kes seorang jurulatih PLKN di Kem Merang ,Terengganu yang ditahan polis kerana disyaki merogol seorang peserta berusia 17 tahun di kem tersebut baru-baru ini.

Menurut Kalthum, jika sebelum ini menteri-menteri berkenaan cukup lantang bercakap mengenai hak dan pembelaan kepada wanita, mereka juga perlu bertanggungjawab terhadap kes tersebut lebih-lebih lagi ia melibatkan wanita di bawah umur.

"Kita minta mereka yang mempunyai kuasa dalam kes ini tanganinya dengan segera," katanya.

Katanya, sebagai pemimpin wanita yang berimejkan Islam, mereka perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengelak gejala buruk ini daripada terus berlaku.

Di samping itu beliau berpendapat, jenayah dan perkara-perkara negatif dapat dihindari jika negara ini mengamalkan konsep Islam sebenar.

"Sebab itu PAS sentiasa memperjuangkan hukum hudud agar dilaksanakan di negara ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan semua agensi terbabit perlu bersungguh-sungguh meningkatkan keberkesanan PLKN kepada anak-anak muda bukannya sekadar melepaskan 'batuk di tangga' sehinggakan pelbagai masalah buruk yang timbul.

Ini katanya, termasuk tindakan tergesa-gesa kerajaan melaksanakan program tersebut tanpa membuat perancangan rapi.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Hassan berkata, sejak awal lagi beliau melihat PLKN boleh menimbulkan masalah besar dan mendatangkan kesan terhadap sosial remaja.

Katanya, ini disebabkan modul yang digunakan langsung tidak memberi penekanan kepada sudut agama dan akhlak.

"Bagaimana kita nak meyakinkan ibu bapa sedangkan remaja bergaul bebas sesama pelatih lelaki dan perempuan sepanjang program," katanya. - mks/lanh.





___________________________
Terbitan : 24 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)