Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kekalahan pilihan raya: PAS perlu nilai kembali perjuangannya

Oleh Mohd Nasiruddin

APAKAH hikmah di sebalik kekalahan kita bulan lepas? Itulah persoalan yang sering bermain dan menghantui fikiran kebanyakan penyokong PAS.

Kekalahan yang menyebabkan penyokong penyokong Umno tidak lagi merasa malu dan segan menampal semula logo parti di kenderaan-kenderaan mereka.

Golongan yang dahulunya amat malu bila berhadapan dengan penyokong parti “bijak dunia, bijak akhirat” kini mula berani mengisytiharkan keahlian mereka.

Kekalahan yang juga mengakibatkan perubahan kepimpinan pembangkang di Parlimen daripada kumpulan yang mendokong ‘amal makruf nahi munkar’ kepada musuh nombor satu Konsep Negara Islam.

Nilai semula perjuangan parti

Setelah lama berfikir panjang izinkan saya berkongsi pendapat dengan semua. Mungkin kekalahan kali ini membolehkan kita menilai semula perjuangan kita dalam parti.

Perjuangan yang selama ini ditumpukan untuk mempertahankan syariat Islam, apakah sejak kebelakangan ini dicemari dengan perjuangan untuk mendapatkan kerusi?

Kita perlu menilai semula penyertaan kita dalam sistem demokrasi berparlimen. Ulama pada umumnya bersetuju bahawa perlembagaan negara ini yang telah dibangunkan dan ditinggalkan oleh pihak penjajah merupakan perlembagaan sekular - perlembagaan yang tidak mengiktiraf al -Quran dan al-Sunnah sebagai sumber tertinggi yang mengatasi segala bentuk perlembagaan, kanun, undang undang dan peraturan peraturan negara.

Penyertaan kita dalam sistem demokrasi berparlimen bermaksud kita telah secara tidak langsung mengiktiraf perlembagaan sekular ini.

Perlukah kita mendokong sistem demokrasi berparlimen ini dan terus menerus menyertai sistem pemilihan yang penuh dengan tipu helah dan diawasi oleh suruhanjaya yang berat sebelah?

Medan pertarungan yang tidak seimbang

Pada umumnya jika kita bertarung di gelanggang kita akan berhadapan situasi yang seimbang.

Namun dalam pilihan raya lalu senario berikut mewarnai medan pertarungannya;

1. Permainan yang tidak memberi manfaat, menang bukan cara Islam, kalah pun sama.

2. Padang tidak sama rata, Umno boleh guna media, kita tidak boleh.

3. Peraturan permainan ciptaan Umno, boleh ubah sempadan ikut suka.

4. Pengadil berat sebelah, SPR ikut telunjuk Umno.

Saya merasakan sudah sampai masanya, Dewan Ulama PAS memperdebatkan sekali lagi keperluan kita menyertai pilihan raya umum negara ini.

Sememangnya pilihan raya adalah satu-satunya jalan bagi kita memperoleh kuasa memerintah di negara ini. Namun segala kebaikan dan keburukannya perlu dinilai semula.

Apa perlunya kita memerintah jika kita akan gagal untuk menegakkan hukum Islam di negara ini? Apa perlunya bertanding kalau sudah tentu kita akan kalah?

Persoalan persoalan ini mesti kita jawap dan saya mengesyorkan agar ia dibahaskan di Muktamar akan datang.

Sehingga tiba saat itu, saya berharap pucuk pimpinan parti akan mempertimbangkan secara serius cadangan saya agar kita mengistiharkan bahawa parti PAS akan memulaukan Pilihan raya Umum Ke-12 akan datang sehingga SPR dapat membuktikan ianya dapat dilaksanakan dengan benar benar adil dan saksama.

Ini termasuk menentukan jentera kerajaan tidak lagi berkerja untuk Umno, akses kepada media untuk semua dan yang paling penting kehadiran pasukan pemantau pilihan raya berkecuali dari negara-negara Islam.

Kempen pemulauan ini perlu dimulakan sekarang tanpa henti sehingga SPR kembali menjadi sebuah badan bebas dan adil.

Kita semua harus yakin bahawa kejayaan akan tetap bersama kita sekiranya padang permainannya sama rata, pengadilnya tidak berat sebelah dan peraturan permainannya munasabah.

Pada hemat saya kebanyakan kita menyedari kelemahan-kelemahan ini pada pilihan raya- pilihan raya yang lalu.

Penyertaan PAS adalah kemenangan sah Umno

Namun kita leka dan mengalah kerana terlalu mengidamkan kerusi. Tiada alasan lagi untuk kita terus menjadi ‘pak sanggup’.

Penyertaan kita sebenarnya membolehkan Umno mengisytiharkan kepada dunia yang kemenangannya adalah melalui satu proses pertandingan yang sah.

Seterusnya membolehkan Umno mendabik dada untuk berkata, “bantahan PAS adalah suara bising orang yang telah tewas”.

Saya tidak fikir Umno mahu meneruskan pilihan raya jika PAS terang-terangan mahu memulaukannya dengan alasan proses pilihan raya tidak adil.

Buktikan kepada dunia proses pemilihan yang kredibel, barulah kita sedia bertanding. Kalau Umno nak terus menerus adakan pilihan raya secara mengejut mengikut syarat-syarat yang Umno sendiri tentukan, ajaklah parti sahaja yang bertanding.

Jikalau proses pilihan raya masih terus berada di takuk sekarang ini, kita perlu beralih ke arah sesuatu yang lebih baik.

Saya amat bersetuju dengan saranan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang Umno tidak ada masa untuk bermuzakarah dengan PAS kerana Umno ada agendanya yang tersendiri.

Kita pun ada agenda kita yang lebih bermakna; dan saya mencadangkan pemilihan Amirul Mukminin/Khalifah Islam di segenap peringkat sebagai agenda utama kita.

Jemaah perlu bai'ah kepada pemimpin

Cara dan peraturan pemilihan adalah menurut al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlu menggalakkan pemilihan Amir (pemimpin Muslimin dan Muslimat) di setiap kampung, blok apartmen, hingga ke peringkat mukim, taman perumahan, daerah, negeri dan seterusnya ke peringkat nasional.

Setiap jemaah akan memberikan bai’ahnya kepada pemimpin masing masing. Pemimpin jemaah akan memberikan bai’ahnya kepada pemimpin daerah, negeri dan seterusnya.

Cadangan ini perlu dibahaskan dengan serius oleh segenap warga PAS.

Cadangan ini membolehkan kita menang dalam apa jua keadaan. Jika ditakdirkan kita berhasrat untuk meminggirkan pilihan raya, sebagai alternatif kita akan memilih pemimpin untuk umat Islam seMalaysia.

Institusi khalifah ini tentunya dapat menyatupadukan umat Islam di seluruh negara. Andainya Khalifah kita memutuskan untuk kita menyertai pilihan raya setelah berpuas hati dengan ketelusan prosesnya, kita akan menang kerana suasana pilihan raya yang adil dan saksama bakal memenangkan kita.

Dan kita akan pastikan yang penyertaan kita mestilah untuk menang dan bukannya untuk memeriahkan “proses demokrasi sekular tajaan Umno”. Apa cara jua pun, kuasa bertindak berada di tangan kita-untuk bertanding atau tidak.

Kita tidak lagi mengharapkan ihsan Umno untuk berlaku adil agar peluang kita untuk menang bertambah cerah.

Tiada manfaat dari media arus perdana

Seterusnya saya ingin meminta agar pucuk pimpinan memulaukan semua bentuk hubungan dengan pihak media. Perkara yang sungguh digemari oleh pihak media ialah menyiarkan kenyataan bercanggah di kalangan pucuk pimpinan PAS.

Analisa saya sepanjang 5 tahun lepas menunjukkan tiada sebarang manfaat yang kita perolehi dari media arus perdana.

Semua respon untuk isu-isu yang disiarkan oleh pihak media mestilah dibuat melalui Harakah.

Apa perlu kita peduli kalau umum perlu menunggu sehingga 2 minggu untuk mendapatkan respon dari kita - mungkin mereka akan lebih ghairah untuk menunggu penerbitan Harakah.

Pokok pangkalnya, kita menguasai apa yang diterbitkan oleh akhbar kita.

Ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan jualan Harakahdan membantu perjuangan PAS, kerana khalayak akan sentiasa menunggu untuk mengetahui berita terbaru daripada PAS.

Akhir sekali cuba kita renungkan kisah Asyhabul Kahfi, bagaimana dalam keadaan umat di kala itu sesat, pemuda-pemuda beriman ini lari dan mengasingkan diri dari kekufuran. Juga kita renungkan kisah hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah - mengapa beliau tidak memilih untuk menggunakan acuan Jahilliah untuk membentuk negara Islam di Mekah.

Dan kita perlu selalu mengingatkan diri kita sendiri bahawa perjuangan kita bukanlah untuk menegakkan demokrasi, kerana dalam demokrasi suara terbanyak boleh menghalalkan arak, riba,judi, maksiat dan lain-lain. – mks.





___________________________
Terbitan : 25 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net  atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)