Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Mimpi ngeri sebuah pilihan raya: Apakah yang terjadi sebenarnya?

Oleh Abdul Shukur Haron

DUNIA politik penuh dengan kejutan, misteri, sukar difahami serta aneh. Menang dan kalah, jatuh tersungkur dan bangun lagi untuk meneruskan pertarungan adalah fenomena biasa dalam dunia politik dan semuanya bersifat sementara.

Yang menang bergembira, menghitung seluas mana kuasa yang diperoleh, menganggap pihaknya semuanya benar belaka, sementara yang kalah merenung duka dan kecewa, menghitung dan menelan dengan pahit kesilapan dan kelemahan. Tidak mudah memujuk hati yang kalah, justeru pedihnya bukan kepalang.

Hampir sebulan telah berlalu pilihan raya umum ke-11 yang menimpakan kekalahan berat kepada PAS, sebuah pilihan raya yang diseliputi kecelaruan, tidak menentu, mengejutkan dan penuh dengan tanda tanya yang tidak terjawab hingga kini.

Tetapi pertanyaan yang jauh lebih berat ialah apakah pihak yang menang memiliki semua kebenaran? Sementara yang kalah memiliki semua kesalahan? Dan di mana pula kehadiran demokrasi dalam keadaan pilihan raya yang bercelaru itu.

Persoalan benar dan tidak benar ini memerlukan kajian dan anaslisis mendalam, ikhlas dan bersifat ilmu. Sudah tentu rujukan benar dan tidak benar ini ialah petunjuk dari Al-Quran dan hadis serta Seerah Nabawiyah sendiri, justeru khazanah itu menampilkan semua persoalan ini.

Malah dalam Seerah sendiri menunjukkan, bahawa peperangan demi peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat hanya beberapa kali saja yang menang di samping menghadapi banyak kekalahan. Tetapi kemenangan dan kekalahan itu sendiri dilihat di dalam Islam sebagai sesuatu yang penuh dengan hikmah untuk difikirkan.

Selama ini persepsi umum terhadap orang Melayu ialah bahawa mereka sangat berpegang teguh dengan prinsip agama, hukum hakam, dosa dan pahala. Mereka bersikap jujur, lemah lembut, terbuka dan segalanya.

Tetapi apa yang berlaku dalam pilihan raya umum baru-baru ini memang sangat mengejutkan. Bagaimana ini boleh berlaku, sekali lagi memerlukan analisis yang bersifat ilmu, ikhlas dan jauh daripada sentimen politik kepartaian.

Saya dapat merasakan kekecewaan dan rasa sedih para pendukung PAS terhadap kekalahan berat baru-baru ini, justeru kerana kerja yang begitu bersungguh-sungguh, mengalir keringat, penat lelah, wang, pemikiraan dan segalanya telah dikorbankan semasa menghadapi pilihan raya ini, tetapi hasilnya mengecewakan.

Namun begitu, seperti kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifly Ahmad 'PAS down but not out'. Ertinya dunia belum lagi kiamat dan hari esok masa ada. Empat tahun lebih akan datang kita bertarung lagi dan bersedialah bekerja mulai sekarang untuk mencapai kemenangan.

Dalam keadaan warga PAS diselubungi kemuraman, terdengarlah ucapan yang sangat mengharukan dari Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang baru-baru ini, ucapan dari seorang pemimpin yang melihat tenteranya banyak kalah dalam peperangan dan sangat mengertikan perasaan mereka.

Ucapan itu sangat mengesankan, katanya:

"Walaupun kita kalah, tetapi kita menang moral dan aqidah dan marilah kita meneruskan perjuangan Islam ini kerana perjalanan masih jauh dan sukar."

(Ucapannya disiarkan dalam Fikrah-Harakah muka 11 keluaran ini).

Amanat yang disampaikan di depan puluhan ribu pendukung PAS di pekarangan Masjid Rusila, Marang, Terengganu dan dipancarkan serentak di Taman Melewar dan Kota Bharu itu ditujukan kepada semua pendukung PAS.

Ia menghuraikan makna kemenangan hakiki yang sebenarnya bagi sebuah gerakan Islam. Sekali lagi ia mengundang pemikir dan penganalisis yang jujur untuk mentafsirkannya. Bagi mereka yang memahaminya berdasarkan akal dan sentimen politik semata-mata, tidak mungkin dapat menyelami secara mendalam makna ucapan tersebut.

Betapapun pedihnya menghadapi keputusan ini, namun semangat waja warga PAS tidak luntur. Ketika menemui warga PAS di Muar Johor bersama AJK PAS Pusat, Tuan Syed Ibrahim Abd Rahman dan saudara Suhor Husin menunjukkan bahawa mereka tidak patah semangat bahkan bersedia untuk meneruskan perjuangan gerakan Islam ini.

Negeri Johor yang selama ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai 'tanah gersang' bagi perjuangan gerakan Islam, tetap memiliki sejumlah mujahid berjiwa besar. Senarai calon PAS yang bertanding di Johor baru-baru ini adalah manifestasi bahawa negeri itu tidak kurang tenaga profesional dan intelektualnya dan telah mempersembahkan segala yang terbaik untuk PAS.

Bendera bulan masih berkibar megah di puncak bukit, di depan markas yang cantik serta besar. Wajah ribuan yang hadir mendengar ceramah Tuan Syed Ibrahim serta Ketua Pemuda PAS, Salahuden Ayub membayangkan bahawa mereka masih memiliki semangat juang yang tinggi.

Bertemu dan berbincang pula dengan sebahagian kecil pemimpin mereka - Chekgu Satar Taha, Haji Ismail Ibrahim dan beberapa orang lagi - lebih meyakinkan lagi bahawa Negeri Johor bukan lagi 'tanah gersang' bagi PAS. Pemimpin PAS Johor seperti Dr Sanusi Daeng Mariok sangat memahami hal ini.

Lebih-lebih lagi dengan kemenangan Dr Ramli Kari (menang tanpa bertanding) di Dun Senggarang memperkukuh keyakinan ini. Dengan takdir Allah, wakil PAS ini tiba juga di Dewan Undangan Negeri Johor yang selama ini dianggap kubu kebal Barisan Nasional.

Saya berada di negeri-negeri utara beberapa hari menjelang pilihan raya dan menyaksikan kegigihan petugas PAS di negeri ini bertungkus lumus tanpa mengira waktu dengan mengeluarkan wang sendiri.

Tetapi dalam kerancakan berkempen itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyampaikan pesanannya yang sangat mengesankan kepada petugas PAS bahawa "tugas kita bekerja, Allahlah yang menentukan menang atau kalah".

Dua hari selepas pembubaran parlimen diumumkan, saya berada di Temerloh menemui Pesuruhjaya PAS Pahang dan setiausaha perhubungannya, Dr Wahab Ismail, AJK PAS Pusat, Tuan Man Tuan Ibrahim, Ustaz Ahmad Baqi dan lain-lain. Mereka menyusun gerak kerja pilihan raya dan menyenaraikan calon terbaik dari PAS.

Demikian juga ketika berada ke Negeri Sembilan mengikuti Pesuruhjayaq PAS Negeri Sembilan, Dr. Rosli Yaakub melihat beliau memantau kawasan PAS yang bertanding, di samping mengikuti calon PAS di Rembau, Dr Dzulkifly Ahmad. Sama seperti Selangor, Pahang, Johor dan Melaka, dari Negeri Sembilan juga mengetengahkan calon terbaik dari kalangan profesional dan ulama.

Justeru itu, pilihan raya umum kali ini menyaksikan bagaimana PAS mampu menurunkan calon terbaik di setiap negeri.





___________________________
Terbitan : 27 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)