Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Hiburan leka mulai tumbuh di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 April (Hrkh) – Hiburan yang melalaikan mulai tumbuh di negeri ini setelah Barisan Nasional berjaya mengambil alih teraju pemerintahan dalam pilihan raya umum ke-11, Mac lalu.

Persembahan artis termasuk penyanyi wanita telah dibawa masuk ke negeri ini, antaranya melalui program Euro 2004 Mega Kick Off anjuran oleh TV3 yang berakhir kelmarin.

Program yang diadakan di Galeri A Pusat Dagangan Terengganu, di sini selama dua hari bermula 23 April lalu menampilkan artis Kumpulan Putra, OAG, Ronnie dan Yanti.

Artis-artis yang mengadakan persembahan itu turut mempelawa para penonton naik ke pentas untuk menyanyi dan menari bersama mereka.

Persembahan artis yang bermula jam 4.30 petang selama dua jam itu berjaya menarik perhatian kira-kira 500 pengunjung yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah dan para remaja.

Ini kerana pada masa yang sama, di Galeri B diadakan Minggu Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2004 yang dirasmikan sebelum itu oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Mahadzir Mohd Khir.

Sementara itu di Besut, beberapa majlis kesyukuran kemenangan BN yang dapat memerintah kembali negeri ini turut diisi dengan persembahan dikir pada sebelah malam.

Tukang karut (penyanyi) wanita juga turut membuat persembahan dalam suasana penonton bercampur gaul antara lelaki dan perempuan.

Menurut sumber, banyak cawangan Umno di Besut mengadakan majlis kesyukuran seumpama itu kerana Menteri Besar, Dato’ Idris Jusoh berasal dari daerah itu.

Dalam pada itu, para peminat hiburan terutama golongan remaja yang terlalu lapar dengan persembahan artis popular tanah air semasa ditinjau pendapat mereka secara rambang tidak sabar menunggu kedatangan Karnival TV3 Sure Heboh ke negeri ini.

Mereka berharap kerajaan BN dapat membawa masuk program tersebut yang diisi dengan Konsert Sure Heboh dan membenarkan lebih banyak aktiviti persembahan artis tanah air sebagai `hadiah’ di atas sokongan yang diberikan dalam pilihan raya umum lalu.

Idris semasa ditanya mengenai perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco beberapa minggu lalu menyatakan pihak berkenaan belum membuat permohonan rasmi untuk mengadakan karnival itu di negeri ini. – KAM/ayu





___________________________
Terbitan : 28 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)