Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kematian peserta PLKN: Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 26 April (Hrkh) - PAS mendesak kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selepas berlaku insiden demi insiden buruk dan yang terakhir tragedi membabitkan kematian seorang pesertanya.

Pelatih itu, Awang Mohd Fazil Awang Bolhan, 18, ditemui lemas di Sungai Cina, Matang, Kuching, Sarawak petang kelmarin.

Naib Presiden PAS, Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, insiden sehingga membabitkan nyawa peserta tidak boleh dipandang ringan.

"Ini soal nyawa dan keselamatan pelatih PLKN, bukan boleh dibuat main-main, dan kerana itu kerajaan wajib bertanggungjawab," katanya mengulas kematian pelatih PLKN itu.

Allahyarham Mohd Fadzil yang berasal dari Bintulu sedang mengikuti peringkat kedua PLKN di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), ditemui mati lemas di Sungai Cina, Matang selepas program gotong-royong di Salvation Army Boys Home.

Ustaz Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Sungai Limau, Kedah, berkata apa yang mengecewakan lagi Dato' Seri Najib Razak sebagai pemimpin dipertanggungjawabkan ke atas PLKN, dilihat cuba berlepas tangan apabila membuat dakwaan bahawa perkara itu berlaku di luar tatacara, iaitu (Mohd Fadzil) bersendirian ketika kejadian.

Ini katanya, sama ada mengaku atau tidak, pelatih berkenaan tetap berada dalam tanggungjawab PLKN.

Lagipun katanya, sudah banyak kejadian hitam menimpa PLKN dan rakyat berasa tidak tenteram dengan rentetan peristiwa negatif tersebut.

Akibat banyak peristiwa yang terlalu menyedihkan katanya, tentulah ibu bapa tidak berminat untuk membenarkan anak mereka dihantar ke program berkenaan.

"Peraturan dan kawalannya cukup longgar dan ini membuatkan disiplin peserta dan jurulatih tidak terkawal," katanya sambil bertegas, kerajaan sepatut memberi bimbingan lain cara lain bukannya seperti modul dalam PLKN yang tidak memberi kesan positif.

Bagi mengelak insiden itu berulang beliau menegaskan, PLKN wajar dikaji semula dan katanya sikap tergopoh-gapah kerajaan melaksanakan program tersebut antara penyebab PLKN tercalar.

Tangguh program, lakukan siasatan terperinci Pemuda KeADILan

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Noor ketika mengecam sikap Najib yang dianggap tidak bertanggungjawab itu berkata, sepatutnya sebagai timbalan perdana menteri Najib perlu mengambil berat apa saja insiden membabitkan PLKN.

Ezam kesal dengan sikap sambil lewa Najib sebagaimana digambarkan dalam laporan media masa mengenai kejadian itu.

Antara lain laporan tersebut memetik Najib sebagai berkata: "Jika dia bersedirian kadang-kadang boleh berlaku perkara tidak dingini."

Dalam hal ini katanya, Najib sepatutnya lebih serius dan segera mengarahkan semua aktiviti PLKN di seluruh negara ditangguh serta merta sehingga satu siasatan terperinci dilakukan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Ezam berkata, selain mengetatkan kawalan keselamatan, langkah perlu diambil untuk meningkatkan jaminan keselamatan peserta.

Malah katanya, dalam kes kematian Mohd Fadzil, seorang majistret perlu dilantik untuk menyiasat kejadian itu sama ada wujud unsur kelalaian dalam pengendalian latihan semasa kejadian itu.

"Siasatan dalaman semata-mata tidak memadai sama sekali sebabnya fakta kejadian itu berlaku di luar kem tidak seharusnya dijadikan alasan, ini disebabkan pelatih berada di bawah kawalan pengurusan dan jurulatih PLKN sekali gus di bawah tanggungjawab Najib," tegasnya.

Perlu dijadikan kes polis pakar perunding psiktrik HUKM

Sementara itu, Perunding Kanan Psiktrik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr Mohamed Hatta Shahrom berkata kes kematian pelatih PLKN itu wajar menjadi kes polis.

Di samping itu katanya, ibu bapa pelatih berkenaan wajib dimaklumkan secara tepat berhubung kejadian itu.

Ini katanya, pelatih itu masih berada dalam peringkat latihan dan pihak berkuasa mesti bertanggungjawab sebagaimana apa yang terkandung dalam perjanjian ataupun prosedur PLKN.

"Semua peraturan perlu diikuti dan jika benar pelatih itu melanggar arahan, apakah tindakan jurulatih terbabit, kerana peserta itu dalam jagaan mereka," katanya sambil menekankan jika syarat yang ditetapkan dalam PLKN bertelagah, kerajaan perlu mengambil tindakan segera melalui undang-undang.

Bagaimanapun katanya, disiplin di kalangan jurulatih mesti diperhalusi kerajaan bagi meyakinkan masyarakat bahawa kes-kes tersebut tidak berlaku pada masa akan datang.

Asingkan peserta lelaki/wanita ibu yang juga bekas tentera

Dalam pada itu, seorang ibu yang juga bekas anggota tentera, Yuslidar Yusof melahirkan kekecewaannya terhadap PLKN.

Beliau yang mempunyai seorang anak berusia 17 tahun yang berkemungkinan bakal mengikuti program PKN tahun depan berkata, peristiwa hitam yang dialami dalam PLKN seharus menjadi iktibar kepada semua pihak.

"Apa yang penting nilai keagamaan dan kerohanian perlu ditekankan kepada remaja terlibat," katanya.

Beliau berkata melalui pengalamannya semasa menjalani latihan rekrut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dahulu, wanita dan lelaki sewajarnya diasingkan.

Malah katanya, rekrut wanita dilatih oleh jurulatih wanita dan mereka sentiasa tunduk kepada disipilin.

"Itulah saya pelik mengapa PLKN tidak berbuat demikian dan kalau ini berlaku saya percaya kejadian buruk mungkin dapat dielakkan dalam PLKN," katanya sambil mencadangkan agar jurulatih PLKN diambil daripada calon-calon yang memiliki tauliah sebagai jurulatih dalam ATM. lanh





___________________________
Terbitan : 28 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net  atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)