PADA keluaran lepas, Fikrah telah menerbitkan
artikel penulis dan ahli akademik, Dr Farish Noor, bertajuk "Memikirkan
semula pendekatan PAS" Artikel ini mendapat pelbagai reaksi, pro dan
kontra.
Oleh sebab artikel ini banyak membicarakan tentang PAS secara
khusus, dalam keluaran ini, kami paparkan pula respons Ketua Penerangan
PAS, Dato' Dr Haron Din (HD) terhadapnya. Ikuti temubual wartawan kami,
Azmunyza Ayob dan Haris Zalkapli (F) dengan beliau berhubung artikel
berkenaan dan isu-isu lain seperti pilihan raya serta masa depan PAS.
Fikrah(F)-Komen Ustaz mengenai tulisan Farish Noor yang terbaru
dalam Fikrah-Harakah?
Haron Din(HD)-Saya secara peribadi tidak mengenali secara khusus
Farish Noor. Tapi tulisan-tulisannya saya ada baca khasnya komennya
tentang asas fundamental tentang Nabi Muhammad, tentang Nabi meniduri
orang yang tidak dikahwininya serta komennya tentang PAS dan ulama. Saya
mendapat bantahan dari beberapa pembaca tentang tulisan tersebut.
Mereka membantah, bukan penulisan tersebut tetapi penulisnya yang
menunjukkan terang-terang sikapnya, permusuhannya yang tidak senang dengan
pergerakan Islam. Lebih-lebih lagi karektornya sudah diketahui umum yang
mana tidak senang dengan kebangkitan Islam.
Secara lebih terang, penulis ini dalam tulisannya mengkritik PAS dengan
cukup pedas dengan mengatakan PAS gagal memahami situasi dalam masyarakat.
Ini seolah-olah, dia mendakwa dia seorang sahaja yang faham dan orang
lain tidak faham. Sikap keterbukaan Harakah ini jika dilihat dari
satu segi bagus. Biar orang kata apa, kita akan masukkan.
Tapi kita juga kena fikirkan sensitiviti masyarakat. Jangan sampai
sikap keterbukaan kita, hingga sampai ke peringkat orang telah muak dengan
sikap Harakah yang terlampau terbuka.
Yang kedua, apakah kita tidak memberi ruang kepada penganalisisyang
benar-benar neutral dalam analisisnya, iaitu yang tidak terdedah kepada
sikap yang menimbulkan kebencian dalam masyarakat.
Masih ramai yang boleh berbuat demikian, tetapi kenapa kita mesti
mengundang orang yang mengkritik kita sendiri di kalangan pembaca. Dalam
kepimpinan PAS dan Harakah sendiri mesti ada perkara yang kita
sensitif. Ada perkara yang kita perlu buat yang tidak mengundang kemarahan
dan kebencian orang bagi menunjukkan sikap keterbukaan kita.
F- Farish dalam artikelnya turut menyentuh pendekatan PAS berhubung
isu-isu pemakaian bikini dan industri muzik. Apa komen Ustaz?
HD- Dia menyatakan apabila PAS melarang orang yang berbikini
berada dalam negeri Terengganu, PAS hanya melihat pada isu pakaian sahaja
dan bukan melihat kepada isu yang berlainan. Mereka orang kaya dan pergi
melancong dan bukan pada isu pakaian itu.
Apa kena mengena isu dedah aurat dengan isu kemajuan. Hukum tetap
hukum.
Dia cuba membawa isu seolah-olah itu tidak salah. Dia membawa isu
demikian bahawa mereka terdiri dari orang luar negeri yang mempunyai wang
yang lebih maka pergi melancong. Isu -isu yang dibuat, dia cuba
membahaskan.
Dia mengatakan, bila PAS melarang orang yang pakai bikini itu berada
dalam negeri Terengganu, PAS hanya melihat isu pakaian sahaja dengan tidak
melihat isu kemajuan.
Dia bawa isu sedemikian seolah-olah tidak salah yang mana mereka
terdiri dari orang luar negeri yang mempunyai wang yang lebih yang datang
melancong ke sini, tetapi kerana kita yang gagal pergi ke tempat mereka.
Dia cuba ingin mengatakan, apa yang PAS buat adalah salah seolah-olah
Islam tidak melarang orang bertelanjang.
Begitu juga kenyataan beliau tentang Mariah Carey. Dia menyebut, bukan
salah Mariah Carey datang ke sini. Dia mengatakan, salahnya kerana
industri hiburan kita sempit.
Saya tidak nampak, bagaimana dia berpandangan demikian, padahal isu
hukum sebenarnya jelas.
Jika isu hiburan yang menimbulkan perkara-perkara yang dilarang dalam
Islam tetap dilihatnya sebagai benda yang objek. Kalau dedah aurat itu
perkara haram, ia tetap haram. Bagaimana orang yang mengatakan yang tidak
boleh itu boleh, masih kita katakan dia ada tempat di media kita. Kenapa
kita beri peluang.
F- Tetapi terdapat juga maklum balas yang diterima menyokong tulisan
beliau. Komen Ustaz
HD- Di mana-mana pun begitu. Penerimaan masyarakat, kalau kita
berbuat baik pun ada penyokong dan pembangkang. Begitu juga kalau kita
buat jahat, ada penyokong dan pembangkang.
Tetapi jika dilihat dari sudut Farish Noor sebagai insan yang banyak
melukakan hati masyarakat ramai, apakah kita lupa dengan isu yang pernah
berlaku di Nigeria.
Semata-mata kerana adanya peraduan ratu cantik dan komen seorang
penulis akhbar yang mengatakan kalaulah Nabi Muhammad ada pada zaman ini,
dia pun akan datang melihat peraduan tersebut yang mungkin akan mengahwini
salah seorang ratu cantik tersebut.
Komen sebegitu telah mengundang kemarahan masyarakat Islam Nigeria
hingga berlaku rusuhan.
Cuba kita lihat perkara yang jelas, iaitu keadilan yang patut diambil
oleh kerajaan kepada semua rakyat. Selepas menang di Kelantan, apakah
kerajaan berlaku adil kepada kerajaan Kelantan, hatta dalam pemberian
geran wajib kepada kerajaan Kelantan.
Bila PAS perintah Terengganu pula, rakyat yang cukup bebas yang dibuat
sendiri oleh Kerajaan. Apakah kerajaan pusat berlaku adil kepada Kerajaan
Terengganu dalam pemberian geran wajib hatta dalam wang petroleum yang
mereka dapat.
Dan apakah pegawai-pegawai yang berkhidmat dalam kerajaan PAS itu telah
mendapat layanan yang adil seperti negeri lain? Dan apakah rakyat negeri
lain yang diperintah BN, yang jelas menyokong PAS, apakah mereka mendapat
hak dalam negeri ini sama seperti dengan orang BN dapat.
Semua itu menunjukkan kezaliman yang cukup ketara.
Dalam masyarakat Islam, kerajaan memerintah secara tidak adil. Orang
yang berpandangan jauh, tidak akan berlaku kezaliman.Pembahagian kekayaan
dibahagi secara adil kepada rakyat.
Itu yang dikatakan berpandangan jauh. Bagi yang berpandangan sempit,
hanya memikirkan kemajuan dunia sahaja. Apakah mereka boleh menilai orang
yang memilih dunia sahaja seorang yang luas pandangan?
F-Berbalik kepada isu keputusan pilihan raya yang masih hangat
diperkatakan. Apakah PAS akan membuat perubahan dan merangka strategi baru
selepas melalui pilihan raya yang lepas?
HD-Pilihan raya telah berakhir dan keputusan telah kita terima.
Telah banyak yang memberi komen tentang keputusan tersebut. Bagi saya,
soal kemenangan dan kekalahan dalam pilihan raya adalah lumrah.
Pada kebiasaannya, fokus masyarakat yang berminat dengan pilihan raya
khasnya wartawan-wartawan akhbar yang kebiasaannya keputusan pilihan raya
tidak jauh dari anggaran yang dibuat orang sebelumnya. Fokus siapa yang
akan memerintah dan siapa yang kalah, itu dibuat cukup jelas.
Cuma pilihan raya kali ini, lari daripada apa yang disebut-sebut
sebelumnya.
Ertinya tidak ada yang menduga dengan keputusan tersebut kerana
perubahan dan kelainan amat drastik hatta parti pemerintah sendiri tidak
menduga dengan keputusan tersebut.
Masyarakat umum khasnya Barisan Alternatif sedang menilai balik
keputusan tersebut untuk memberi gambaran apa yang sebenarnya berlaku.
Faktor-faktor luar biasa berlaku dapat dihat dalam SPR mengendalikan
pilihan raya ini.
Dalam menghadapai keadaan yang sedemikian ini, memerlukan kepada
muhasabah diri, bagi mempastikan perlu ada kepada perubahan mendadak,
polisi yang perlu diterima pakai, ditambah yang baru, bagi menambah
'track' baru yang lebih bertenaga bagi menghadapi cabaran politik pada
masa akan datang.
Yang kedua, kalau tidak berlaku demikian, PAS sentiasa 'responsive'
kepada semua isu yang berlaku dalam masyarakat. Sewaktu menang, kita ada
polisi untuk menjaga kemenangan kita.
Sewaktu kita kalah dulu, dalam tahun 70-an,kita memerlukan kepada
beberapa situasi yang memerlukan kepada beberapa perubahan-perubahan
dalaman bagi menangani perkara yang berlaku dalam masyarakat pada waktu
itu.
Bagi PAS kali ini, kita ada mengadakan beberapa pertemuan dan
perjumpaan, mengulas dan menganalisis apa yang berlaku ini. Dan proses
untuk terus memberi perhatian kepada yang berlaku ini, beberapa siri
perbincangan akan dilakukan bagi melihat balik seolah-olah sekarang ini
kita sedang berada dalam perjalanan jauh, tiba-tiba jalan kita itu
nampaknya macam tergelincir keretapi dari landasannya, yang perlu
pemeriksaan kenapa berlaku demikian. Dan untuk terus meletakkan perjuangan
itu agar lebih kemas.
Yang ke tiga, PAS memilih untuk berjuang dalam landasan yang cukup
kukuh iaitu Islam. Islam ini yang kita faham ialah kita berada di jalan
yang lurus.
Mahu atau tidak mahu perjuangan itu akan terus berjalan, kegiatan akan
dipertingkatkan, kelemahan yang dapat kita lihat sebelum ini akan dapat
kita atasi dan ruang-ruang baru yang perlu kita terokai
F-Adakah kemasukan pendakwah terkenal dan faktor populariti dalam
barisan kerajaan merupakan salah satu faktor yang menarik pengundi
menyokong mereka?
HD- Faktor kemenangan mereka terlalu banyak. Salah satunya,
betullah populariti. Tetapi dalam PAS, kita juga ada orang yang popular.
Dalam BN pun ada yang popular tapi mereka tidak menang. Cuba kita toleh ke
belakang.
Dalam pilihan raya 1999, terdapat calon BN yang terkenal, tapi mereka
kalah. Mungkin ini satu faktor bagi tempat tertentu sahaja dan tidak
merupakan faktor global. Jika dilihat pada kualiti calon, bagaimana 'non
muslim' yang bertanding dengan muslim di tempat majoriti Islam, mengapa
calon Islam kalah?
Dalam kesempatan yang sedikit itu(pilihan raya) di perguna sepenuhnya
untuk menarik orang atas pagar.
F-Terdapat pandangan yang menyatakan PAS memerlukan kalangan
pemimpin muda untuk ditampilkan ke depan dan PAS kekurangan sokongan dari
golongan ini. Bagaimana pandangan ustaz tentang dakwaan tersebut?
HD-Untuk komen sebagai komen, boleh dikatakan demikian tetapi
realitinya tidak begitu. Dalam mana-mana politik dunia, bukanlah apabila
pemimpin itu umur lebih maka tidak mendapat sokongan. Faktor umur bukan
penyebabnya.
Kita dalam parti PAS ini, apakah pemimpin dalam lingkungan 50-an sudah
dianggap begitu lanjut untuk memimpin? Sedangkan pada masa yang sama
pemimpin parti lain juga terdiri dari golongan yang lingkungan umur ini.
Tapi hal ini tidak timbul. Mungkin ini kerana difokuskan ada
pengundi-pengundi muda, maka difokuskan perlu ada parti yang dipimpin oleh
golongan ini bagi memikat hati golongan mereka.
Selama-lamanya golongan muda terlibat dalam pilihan raya. Selain tiu,
kita ada pemimpin muda terlibat dalam pilihan raya tetapi tumpas yang mana
kita lihat ini satu kebangkitan untuk memberipeluang kepada pemimpin yang
ada untuk menyatakan pendirian dan apa yang dikatakan selama ini.
Bagaimana kita nak tonjolkan golongan muda ini kalau kita tidak
mengasai media? Ini memberi kesan kepada masyarakat kerana semua maklumat
datang dari media.
F-Apakah tindakan PAS untuk mengekalkan sokongan dari kalangan
golongan muda kerana akhir-akhir ini dilihat sokongan dari golongan ini
agak berkurangan?
HD-Kita terasa sokongan agak berkurangan apabila dilihat dari
keputusan dari kalangan saluran tiga ini iaitu golongan muda. Kita melihat
secara realitinya, mirip golongan muda ini kepada BA selepas krisis
Anwar-Mahathir.
Kita lihat pada waktu itu, di IPT-IPT, dalam pemilihan pucuk pimpinan
pelajar, kita lihat mereka cenderung kepada BA. Tetapi kita lihat apabila
mereka menyertai program yang menyanggahi trend menyokong kerajaan,
program tersebut disekat hingga timbul tuduhan PAS menyalah gunakan
pelajar-pelajar universiti dalam aktivitinya.
Tetapi dalam masa yang sama kita lihat Umno juga bergiat cergas di
universiti dan mengganggu pelajar dengan aktivitinya.
Pemerintah memanfaatkan peruntukan negara untuk mendapat sokongan
golongan muda dan bagi mempastikan kemenangan BN berterusan. Kerana itu,
kita rasakan, tidak nampak gelombang pergerakan di kalangan Pemuda atau
Muslimat PAS kerana gelombang ini sangat besar yang dilihat menenggelamkan
apa yang telah PAS lakukan.
___________________________
Terbitan : 28 April 2004
Ke atas
Home