Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Hapuskan Segera Mitos Bn Melalui Jalanraya

Sekarang kita ada beberapa pendekatan yang besar di dalam mencapai matlamat kita iaitu untuk menegakkan pemerintahan Islam yang dinamik dan adil bagi semua kaum;

1. Masuk pilihanraya - kaedah ini nampaknya sudah 10 kali gagal dan telah mengambil masa hampir 50 tahun. Walaupun pimpinan kita tahu segala tipudaya BN selama ini, tiada sebarang tindakan konkrit diambil untuk menanganinya, hanya melepas batuk di tangga. Jikalau kita berhujah bahawa perjalanan dakwah ini panjang tempohnya, seraya mengambil contoh dakwah Nabi Nuh as, tetapi kaedah yang kita ambil nampaknya bakal meningkatkan lagi jumlah tahun tersebut dan bukan memendekkannya.

2. Pilihan jalanraya - nampaknya hanya parti Keadilan sahaja yang serius memilih jalan ini, dan tiada respon yang baik daripada pimpinan PAS, walaupun ramai juga orang PAS yang ingin menyertainya. Hanya apabila sesuatu demonstrasi itu berjaya mengumpulkan crowd yang ramai, barulah akhbar Harakah memaparkannya untuk mengaut political mileage. Namun untuk mengambil inisiatif di dalam penganjurannya, jarang sekali, alasan macam-macam.

Ambo menyokong kedua-duanya sekali, pilihanraya dan jalanraya. Dan semakin ramai golongan muda yang cerdik pandai kini percaya kepada kedua-duanya. Hanya tinggal lapisan tua dan veteran sahaja yang masih ingin duduk dalam keselesaan, kononnya demi strategi jangka panjang. Ambo harap satu hari nanti, di dalam PAS mesti diadakan perdebatan khusus dalam isu jalanraya ini, supaya kita dapat mengambil suatu resolusi yang jelas tentang perkara ini.

Ini kerana semakin ramai golongan muda dalam PAS sudah muak dengan sikap sesetengah pimpinan yang macam mati kutu tak tahu nak buat apa, dan meninggalkan penyokong bawahan tertunggu-tunggu suatu tindakan berani dari pihak atasan. Kita bukan nak jadi seperti para sahabat Nabi saw yang tidak sabar-sabar meminta kepada Nabi saw nak ke medan perang dan membunuh musuhnya. Kita hanya nak berdemo sahaja...tunjuk perasaan. Paling teruk pun kita luka-luka kecil dan bengkak-bengkak sahaja. Adatlah berdemo di Malaysia ini.

Jikalau kita yakin bahawa kita kalah dalam PRU tempohari disebabkan penipuan mega BN, maknanya kita masih dalam angka majoriti yang besar berbanding BN. Maknanya kekuatan kita tidak boleh dipandang ringan, dan crowd yang kita boleh kumpulkan bukan calang jumlahnya, mungkin boleh melebihi 500,000 orang seperti di Taiwan tempohari. Bayangkan impaknya kepada keputusan Pak Lah yang tak berminat langsung nak kaji semula keputusan PRU tersebut.

With all due respect, ambo rasa kepimpinan kita sekarang lembik-lembik orangnya, khususnya dalam PAS. Eloklah kita tukar saja dalam mesyuarat agung nanti. Bukankah option jalanraya itu sebahagian daripada intipati demokrasi jikalau di negara-negara Barat dan maju? Bukankah sistem demokrasi itu kita ambil daripada mereka? Kalau begitu, mengapa ambil pilihanraya sahaja tapi tinggalkan jalanraya?

Janganlah terus-terusan kita mengecewakan pengikut kita yang ramai ini. Kelak mereka akan muak dan menghindari perjuangan yang kelabu asap ini. Pemerintah zalim ini cuba menggambarkan demonstrasi sebagai rusuhan, dan kita pula nampaknya bersetuju dengan gambaran yang cuba dibawa itu, lantas turut termakan dan menjadi phobia mengenainya. Lalu golongan yang cuba menyokongnya di kalangan kita dikatakan tidak pandai berhikmah.

Kita tahu sangat BN tidak akan melayan segala macam pendedahan penipuan PRU yang tersiar samada di Harakah atau dalam laman-laman internet kita. Dan kalau kita tidak siarkan pun dalam media kita, kita ingat rakyat tak tahukah perkara ini berlaku? Rakyat yang celik politik dah tahu, cuma bezanya apabila kita siarkan di dalam media kita, mereka hanya menambah sedikit sahaja maklumat tambahan. Itu sahaja. Jadi kita nak sedarkan siapa sebenarnya? Nak bagitahu apa yang orang semua dah tahu?

Cuba bayangkan kalau kita dapat mengumpulkan crowd seramai di Taiwan itu. Dan dalam keadaan aman damai pula. Tentulah ada kekacauan di sana dan di sini, itu perkara biasalah dalam negara jakun ini. Maknanya kita sudah melangkah setapak ke hadapan di dalam usaha kita untuk membantah penipuan tersebut. Kita sudah menyertai negara-negara maju yang progresif, dan menjadi pembangkang yang progresif pula. Tetapi kita masih mahu bersikap pasif, dan sikap kita pembangkang yang pasif inilah yang turut menyumbang kepada pasifnya budaya politik dalam negara ini.

Sampai bila kita mahu kekal sebagai satu-satunya negara di Asean ini, bersama Singapura dan Burma, yang masih terkongkong dalam politik lama? Jiran-jiran di keliling kita semuanya sudah bebas dari kongkongan politik jakun ala junta tentera ini. Rakyat yang menyokong kita dahagakan perubahan. Sudah ramai yang menulis di laman ini yang mahukan perubahan. Hanya pembangkang yang mampu membawa perubahan dalam negara ini.

Biar mereka yang tertipu dengan kemenangan besar BN itu terkejut melihat lautan manusia yang masih menyokong BA. Biar mereka berfikir bahawa rupa-rupanya benar apa yang kita katakan selama ini. Jikalau kita membiarkan mereka itu terus-terusan selama 5 tahun ini berada dalam mode tertipu, dikhuatiri penyokong kita dan diri kita sendiri akan mula percaya bahawa memang BN menang besar!

Ayuh pimpinan BA dan PAS khususnya...keluarlah dari kepompong politik lama anda. Rakyat dahagakan perubahan, dan rakyat sudah muak ditipu saban PRU. Sampai bila anda semua mahu menutup sebelah mata dan terus-terusan menafikan gejolak hati para penyokong anda? Ataukah kita perlu menunggu kepimpinan lain mengambil-alih... itu pun belum tentu ada jaminan.

Kita sedar kalau kita dapat mengumpulkan crowd yang ramai sekalipun, masih tiada jaminan Pak Lah akan bersetuju mengendalikan PRU semula. Tetapi walaupun demikian, ia mampu menghantar mesej kepada rakyat marhaen yang tertipu dengan dakyah bahawa BN kini mendapat sokongan majoriti besar di kalangan rakyat negara ini. Dalam sekelip mata sahaja mitos yang baru mahu dipupuk BN ini dapat kita patahkan sebelum ia berakar tunjang dan payah dipatah.

Masa sedang berjalan, wahai pimpinanku yang dikasihi. Mitos 'kemenangan besar BN' sedang dijaja setiap hari, setiap jam dan setiap saat dalam setiap media yang mereka kuasai. Semakin lama anda menunggu, semakin mitos itu menebal di hati rakyat dan akhirnya ia bakal menjadi darah daging dan kepercayaan jitu mereka. Segala 'analisis' mereka kelak akan berdasarkan mitos ini. Patahkanlah mitos ini sebelum ia berakar umbi dan bertunjang kukuh. Patahkanlah segera, wahai pimpinanku yang dikasihi.

HC
[email protected]





___________________________
Terbitan : 1 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)