Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Perhimpunan 17 April Batal – BBPPRU Sekadar Memujuk Rakyat ?

Black 14 terus dirayakan.

Zahid Md Ariff cucu saudara Tun Ghaffar Baba membatalkan Perhimpunan Black 14 2003 kerana terlalu `takutkan` Umno BN akan melabel keADILan sebagai penganjur keganasan. Ramai rakyat marhaen yang sudah bersedia untuk turun kejalanraya ketika itu amat marah dan kecewa dengan kepondanan yang ditunjukkan oleh Zahid.

Mujurlah pondan tua Bangldesh itu tidak kekal lama didalam BA . Dia bersama Ruslan Kassim mewujudkan gang The Dirty Dozen kemudian menyerahkan diri kepada Najib bekas boyfriend Ziana Zain untuk ditimbang berat badan mereka bagi menentukan harga yang perlu dibayar.

Black 14 sudahpun diwartakan oleh para pendokong perjuangan reformasi sebagai hari untuk memperingati kemuncak kezaliman Umno BN dibumi Malaysia yang tercinta. Hari itu akan disambut saban tahun selagi mana Anwar Ibrahim belum dibebaskan dan kezaliman masih bermaharajagila.

Kesamaan fikrah politik Anwar – Fadhil.

Tanpa keberanian dan kesungguhan Anwar Ibrahim meneriakkan tuntutan reformasi pada September 1998 rakyat jelata tidak akan bangkit untuk menyatakan sikap mereka terhadap Umno BN pada PRU 1999.

Sayang sekali kebangkitan rakyat yang sudah terbukti berjaya menggugat keangkuhan sang penguasa zalim itu gagal diurus dengan sempurna oleh para pemuka perjuangan rakyat sehinggakan cita-cita besar dan murni Barisan Alternatif untuk menegakkan Kerajaan Reformasi punah begitu sahaja akibat penipuan terang-terangan Umno BN pada Mach 21 2004 (PRU ke 11).

Sayogia diingat kebangkitan besar rakyat yang disebut sebagai gelombang 98-99 itu tidak bermula dipentas-pentas pertunjukan (stage shows) mana-mana parti politik tetapi ianya meledak bersama beberapa siri demonstrasi jalanan (road shows) tajaan Anwar.Kemuncaknya pada September 20,1998 di Masjid Negara - ratusan ribu rakyat pelbagai lapisan berhimpun disana- semuanya kerana menyokong reformasi .

Tidaklah perlu dipaparkan rentetan perisiwa selepas saat bersejarah itu memadai dengan mencatatkan kewujudan kombinasi politik melibatkan Pas,PRM,keADILan dan DAP untuk melahirkan Barisan Alternatif (BA) .

Peranan Almarhum Dato Fadhil Noor mantan Presiden Pas begitu menonjol sekali-sehinggakan ada pendapat menyatakan tanpa kebijaksanaan dan kepekaan politik almarhum kemungkinan besar BA itu tidak akan wujud.

Ertinya pengurusan kebangkitan rakyat yang tidak dapat dikendalikan secara langsung oleh Anwar itu kerana halangan keras sang penguasa disambung oleh almarhum Dato Fadhil bagi memastikan mood rakyat dapat dikekal kemudian diterjemah dalam bentuk penentangan terhadap kezaliman,penyelewengan,rasuah dan pelbagai kebejatan yang sudah begitu menyebati dikalangan pemuka-pemuka Umno BN.

Anwar bangkitkan rakyat dijalan raya.

Sekali lagi ditegaskan Anwar membangkitkan rakyat daripada tidur mereka yang panjang bukan di pertunjukan pentas mana-mana parti politik; gelombang 98-99 itu merupakan susulan dari beberapa siri demonstrasi sebelum itu dimana Anwar terlibat sebagai teraju utama diantaranya demontrasi Baling.

Sejak dari mula lagi insan yang bernama Anwar amat memahami bahawa kezaliman dan kebobrokan mana-mana regim diktator hanya akan dapat dihancurkan melalui kekuatan rakyat.

Ketidaksediaan regim bangsat Umno BN untuk direformasikan mengukuhkan lagi keyakinan Anwar bahawa tidak ada cara lain untuk menjatuhkan mereka melainkan dengan menghimpun segala keupayaan rakyat.

Apa pun keyakinan Anwar itu usah disalah tafsir; menghimpun kekuatan rakyat bukan bermaksud mengajak mereka merusuh dan mengganas sebaliknya hanya mendidik supaya berani bangkit mempertahankan hak asasi mereka .

Justeru itu mana-mana pembesar sama ada dari kalangan BN mau pun BA yang mentafsir bahawa setiap perhimpunan jalanan (road show) menjurus kearah keganasan dan rusuhan,tidaklah salah kalau mereka dikategorikan sebagai `pemimpin zaman lampau` yang sudah luput tarikh relevansinya.

Anwar pemimpin rakyat bukan pemimpin parti.

Jangan ada sesiapa pun cuba menafikan bahawa `kemenangan mendadak` BA pada PRU 1999 berfaktorkan Anwar sebagai isu utama. Namun setelah kemenangan itu dikecapi para pemenang tersebut seolah-olah melupai jasa Anwar.

Ada yang sibuk berebut-rebut jawatan didalam parti,ada yang bertindak keluar dari pakatan BA, malah ada yang terlalu berat mulut untuk melafazkan kejayaan yang mereka nikmati itu merupakan kejayaan BA.

Ego kepartian juga dapat dikesan disana sini sehingga kesatu tahap tercetusnya pandangan kalangan tertentu bahawa para pemuka BA bukanlah pemimpin rakyat sebaliknya pemimpin parti masing-masing.

Berani saya katakan selain Anwar dan seorang dua pemimpin didalam BA termasuk beberapa butir bintang yang kian menyerlah,semuanya adalah pemimpin parti bukan pemimpin rakyat.Walhal untuk memerintah Malaysia mereka mesti menjadi pemimpin rakyat.

Selama mana mereka ; baik golongan teknokrat,professional,cendiakawan,para ulama dan sebagainya masih bermentalitikan pemimpin parti selagi itulah BA akan kecundang dan ditipu hidup-hidup oleh Umno BN.

BBPPRU sekadar memujuk rakyat ?

Bila kisah si Zahid pondan tua Bangladesh membatalkan Perhimpunan Black 14 2003 penulis ketengahkan diawal penulisan bukan bererti tindakannya itu sahaja yang harus dikutuk oleh sejarah reformasi,bahkan kutukan yang serupa wajib dirakam untuk aksi dan gelagat yang menyamainya.

Dari sudut aksi apa bezanya Badan Bertindak Penyelewengan P/Raya (BBPPR) 2004 dengan Zahid ? Tidak ada bezanya,jika Zahid membatalkan perhimpunan Black 14 2003 yang dirancangnya sendiri ,BBPPR yang berdegar-degar diperingkat awal pelancarannya pun membatalkan perhimpunan kemuncak yang mereka rancang di Suhakam pada 17 April 2004.

Alasan bahawa BBPPR belum lagi mengemukakan petisyen penyelewengan p/raya menerusi saluran undang-undang ,tidak cukup kukuh untuk menegakkan benang basah mereka.

Jika itu alasannya mengapa tarikh 17 April ditetapkan sebagai perhimpunan kemuncak ? Apakah Urusetia BBPPR merancang program didalam suasana yang kelam kabut ? Dimana letaknya kredibiliti mereka jika sesuka hati merancang kemudian membatalkannya !

Stage show BBPPR keseluruh negara bermula seawal 4 April,banyak sudah dana dikumpul,beribu-ribu helai kemeja T- RM 10 sehelai sudah dijual dan pelbagai lencana RM 1 sekeping sudah diedarkan,semangat rakyat sudah membara untuk berhimpun di Kotaraya tiba-tiba pemimpin sendiri yang bertindak diluar dugaan; membatalkan perhimpuan ! kalau bukan pemusnah semangat rakyat apalagi gelaran yang wajar diberi kepada pemimpin pengecut begitu rupa !

Apakah dengan sekali `jerkahan beruk` Dato Noh Omar Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk memberkas para peserta `Perhimpunan 17 April BBPPRU` sudah melemahkan segala urat saraf dan tulang temulang para pengendali BBPPRU yang kelihatan cukup hebat dan digeruni apabila muncul diatas pentas !

Sesungguhnya para pengendali BBPPRU hanya berahikan laungan Takbir dan Reformasi dipersekitaran pentas sahaja,tetapi gementar untuk bertakbir dan bereformasi bersama rakyat dijalanan.

Hari ini para pengendali (pembesar-pembesar )itu berkata bahawa perhimpunan terpaksa dibatalkan kerana petisyen belum dihantar,esok setelah petisyen dihantar mereka akan berkata tunggu sehingga proses perbicaraan selesai baru boleh berhimpun dan lusa apabila keputusan perbicaraan tidak memihak kepada rakyat,maka para pengendali itu akan berkata : “ Bersabarlah sehingga 2009,kerana perjuangan itu menuntut pengorbanan,ketaatan kepada pemimpin,bla….bla…”

Usahlah mencari-cari alasan itu dan ini,jika minda masih lagi takut pada andai-andaian dan mitos silam lebih baik serahkan sahaja `urusan rakyat` itu kepada yang lebih layak.

Terlebih penting dari itu,jangan sesekali mengaku sebagai penerus perjuangan Anwar jika secebis pun tiada mewarisi keberanian,kesungguhan dan pengorbanan wira rakyat itu!

Telah saya katakan dipenulisan lalu,mungkin BBPPR itu diwujudkan untuk mencipta ruang waktu bagi membolihkan kemarahan rakyat terhadap SPR Umno BN reda.Nampaknya proses memujuk dan menyejukkan amarah rakyat itu hampir-hampir menjadi kenyataan. Bijak sungguh para pembesar BA mempolitikkan rakyat marhaen !

Mujur sahaja para reformis berjaya menggantikan program BBPPR itu dengan perhimpunan memperingati Black 14 ditempat dan pada tarikh yang sama ( Bangunan Suhakam- 17 April )- jika tidak Dolah Lembik Umno BN akan ketawa berdekah-dekah melihat kelayuan dan kelesuan para pembesar dan penyokong BA yang baru ditipunya hidup-hidup 21 Mac lalu.

Syabas para reformis lebih-lebih lagi kepada 14 orang yang diberkas oleh samseng berlesen (FRU) peliharaan Dolah-Ong-Sammy Umno BN,ketika sedang bereformasi.

Setidak-tidaknya maruah rakyat marhaen yang mahukan reformasi masih anda semua pertahankan !

Inderaloka.





___________________________
Terbitan : 19 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)