Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

PAS: Masih ada yang tidak terjawab - dari Malaysiakini

Oleh : kabusputih Alibaba
1:28pm Fri Apr 9th, 2004

Pilihanraya umum ke-11 telah berlalu dengan jutaan ‘teka-teki’ dan ‘silap mata.’ Teka-teki ketelusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengendali dan memberikan hak kepada warga memilih, boleh kita simpulkan sendiri, tanpa perlu membuka kembali buku asas Sains Politik, atau membelek kembali idea HD Laswell, "politik ini apa, siapa dan bagaimana?".

Teka-teki siapa yang kalah dan siapa yang menang dengan pengendalian pilihanraya menggunakan hukum Machievelli "Sang Putera Raja" juga sudah terjawab. Siapa yang akan menentukan perjalanan halatuju negara juga sudah kita ketahui, selepas selesainya perlantikan barisan menteri di peringkat pusat, dan exco di peringkat negeri.

Yang belum terjawab ialah ‘Kalaulah PAS menang dalam pilihanraya yang baru berlalu, atau yang bakal datang – mampukah parti itu mentadbir negara?’ Soalannya seperti seorang ahli politik Umno-BN bertanya orang kampung dalam pidato kempennya.

Sebenarnya tidak. Soalan ini ini bukan soalan dari insan bersalut baju Umno, tetapi dari seorang yang sudah sekian lama memangkah parti PAS – dan bagi setiap kali menunaikan hak mengundi itu juga, parti PAS tidak pernah menang. Soalan ini timbul apabila melihat dari pelbagai sudut.

Dari aspek kepimpinan, katakanlah dalam pilihanraya lalu PAS memenangi pilihanraya di semua tempat yang ditandinginya, dan di tempat-tempat yang tidak ditandinginya, dimenangi parti-parti lain yang bersetuju bergabung dengan PAS, siapakah yang layak menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri?

Menjadi Perdana Menteri atau timbalannya tidak sama dengan menjadi presiden atau timbalan presiden parti. Seorang perdana menteri perlu menguruskan negara yang terdiri daripada pelbagai jenis manusia, tidak hanya yang menyokong setiap kata-kata pemimpinnya, tetapi juga yang membangkang.

Seorang perdana menteri tidak hanya perlu berceramah dengan orang kampung di pedalaman Sabah atau Sarawak, tetapi juga mesti kerap bertemu dengan negarawan besar negara luar. Seorang perdana menteri tidak hanya semestinya bercakap soal ideologi parti, tetapi juga mesti peka persoalan keselamatan negara, ekonomi, pelaburan asing, kemajuan negara dan sebagainya.

Menjadi perdana menteri bukan bermakna hanya menjadi manusia yang dikenali oleh rakyat sesebuah negara, bahkan mesti dihormati dan dikagumi masyarakat antarabangsa lain. Di kalangan pimpinan PAS, siapakah yang layak memikul tanggungjawab ini?

Begitu jugalah dalam soal pengetahuan. Cukupkah dengan korpus pengetahuan yang ada, ditambah pula dengan sedikitnya pengalaman dalam pentadbiran negara, melayakkan pemimpin PAS sekarang mentadbir negara?

Cukupkah sekadar alim dengan kitab-kitab agama seperti Mun-yatul Mushalli, Faridatul-Faraid atau Hidayatus Salikin tanpa perlu membaca juga pengetahuan Machievelli, Plato, Carl Jung atau Kurt Lewin? Ini belum termasuk teori pentadbiran dan pengurusan kontemporari yang banyak dibincangkan oleh sarjana terkini. Jadi, bersandar kepada bentuk apakah, pemimpin PAS akan memimpin negara?

Memang benar, di kalangan gerakan PAS kini telah banyak didokong oleh pelapis muda yang mempunyai ketokohan yang sangat luar biasa seperti Datuk Hassan Ali, Datuk Kamaruddin Jaafar, Husam Musa, Nasharuddin Mat Isa dan sebagainya. Tetapi apakah mereka ini bersedia diterima oleh ahli PAS konservatif, kerana selain masih baru, mereka juga bukan dari kelompok agama?

Sejak kemenangan besar PAS di Kelantan dan Terengganu pada 1999 sampai kepada pilihanraya lalu, berapa kali tokoh-tokoh baru ini diberikan peluang dan ditonjolkan. Yang selalu ditonjolkan ialah muka lamanya juga – barisan kepimpinan ulama yang mungkin relevan untuk mendapat dokongan rakyat pada era kepimpinan Yusuf Rawa.

Tetapi sekarang ini, di alaf baru pasca 11 September 2001, dengan pelbagai isu kontemporari, baik dari segi cabaran untuk masyarakat Islam sejagat, atau isu politik lain, mampukah golongan ulama ini menjadi pemimpin negara?

Bukan niat kita mempertikaikan keupayaan ulama memerintah. Bahkan kita memerlukan ulama dalam pemerintahan agar kita tidak tersasar arah dan akidah. Tetapi, berdasarkan pengalaman PAS memerintah Terengganu dan Kelantan, cuba kita kaji semula imej yang dipertontonkan pemimpin PAS berkaitan.

Lebih banyak isu "menyerang peribadi" berbanding "menelurkan idea" bernas. Lebih banyak bercakap persoalan cabang daripada persoalan pokok. Maka timbullah isu kecil yang boleh juga disumbangkan oleh anak sekolah menengah seperti "Pak Lah tidak mengimamkan sembahyang jenazah ibunya", "mengundi PAS boleh masuk syurga" dan sebagainya.

Itu belum termasuk dengan cara berkempen yang sungguh memalukan apabila ada papan tanda mendoakan mengaburi mata pihak lawan agar hanya mengundi PAS. Siapakah yang memberikan cadangan agar berkempen cara ini, dan dari buku ilmu "pemujukan" manakah yang mereka baca!

Sampai sekarang, sekiranya PAS menang, kita belum nampak majoriti calon yang bertanding mampu untuk menjadi bayangan menteri. Kalau rakyat tidak nampak bayangan yang ada ketokohan menjadi menteri, sampai bila-bila pun mereka ragu-ragu memberikan kepercayaan kepada PAS.

Sewajarnya, bermula dari sekarang, PAS melakukan perubahan. Sekalipun tidak menang dalam pilihanraya, wujudkan bayangan menteri dalam "kabinet’ PAS. Misalnya, kalau isu agama, ada tokoh tertentu yang memberikan komen, dan jika isu ekonomi ada tokoh lain pula yang memberikan pendapat. Maka tidak , terkeluarlah komen-komen yang "pelik" dan "meloyakan" dalam semua hal dari lidah seorang tokoh sahaja.

Kalau saya seorang wartawan media arus perdana, sebenarnya sangat tidak sulit untuk saya mendapatkan berita buruk mengenai PAS. Cukup untuk saya berada di sebelah pemimpin PAS dan meminta mereka memberi komen, pasti saya akan mendapat berita yang sangat luar biasa –bahkan lebih baik dari berita "manusia menggigit anjing" dalam teori komunikasi.

Melihat kepada program-program yang telah dilaksanakan oleh PAS juga, saya agak ragu-ragu apakah mereka mampu memenuhi aspirasi golongan muda. Tidak seperti jentera penggerak Umno, PAS hampir tiada usaha untuk menarik sokongan golongan muda. Yang ada hanya ceramah, ceramah dan ceramah.

Tidak ada aktiviti seperti "Rakan Muda", "Kelab Pendidikan PAS", program kemasyarakatan, belia dan sebagainya. Sedangkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), ada bilik gerakan dan markas yang boleh dijadikan pusat aktiviti kemasyarakatan.

ekiranya dalam masa empat tahun semua pusat ini dijadikan pusat aktiviti menghimpunkan gerakan muda, tentulah tidak akan timbul isu markas PAS menjadi sarang tikus dan pusat pembiakan lalang. Untuk menang dalam pilihanraya akan datang, PAS mesti melakukan perubahan drastik.

Lupakan untuk terus menyalak SPR sebagai punca kekalahan. Kerana ia belum tentu akan mengubah apa-apa. Bahkan mereka akan dilihat sebagai manusia letih dan kecewa. Jika sekalipun kes kecurigaan terhadap SPR ini dibawa ke mahkamah, berapa peratuskah PAS mampu memenangi kes tersebut?

Jadi, sekarang PAS mesti mengatur langkah. Jika hendak menyalak, salaklah sebelum pilihanraya bermula. Paksalah SPR untuk mengemukakan senarai pengundi, dan minta mereka buktikan bahawa SPR adalah nuetral. Dan itu mesti dilakukan pada saat pilihanraya ke-12 lima tahun akan datang.

Yang menjadi masalah PAS sekarang ialah kerana telah terpesona dengan "group think" kelompok yang mengandaikan rakyat sudah membenci Barisan Nasional. Kerana itu, untuk pemimpin PAS, bacalah kajian ahli psikologi Irving Janis berkaitan soal "over confident" ini. Atau sekurang-kurangnya tontonlah filem "Titanic" untuk merubah cara kita berfikir betapa apa yang kita sangka belum tentunya betul.

Ubahlah juga imej, gaya dan reputasi. Kalau tidak, PAS akan terus dilihat lebih ‘otordok’ berbanding Umno sendiri. Masih banyak persoalan yang belum terjawab dalam PAS yang mesti diperbetulkan.

---------------------------------------------------------

SAMA-SAMALAH KITA BERFIKIR!

kp





___________________________
Terbitan : 12 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)