Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Saya tidak pun menitiskan air mata

Kekalahan Pas pada kali ini adalah kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Inilah rumusan yang dibuat oleh seorang sahabat saya ketika berbual di telefon. Kekalahan setelah Pas mempunyai banyak kemudahan, mempunyai ruang yang cukup dan sumber kewangan yang agak kukuh berbanding sebelum ini.

Memang kekalahan ini cukup menyayatkan hati. Semua jentera Pas sayut, senyap sepi. Memang ada yang tidak menahan sebak didada, menangisi akan kekalahan yang tak dapat diduga, terutama di Terengganu. Apa taknya sebuah negeri tumbang begitu sahaja, malah 'balik kot', hanya tinggal 4 kerusi.

Saya sendiri menghidu bau-bau kekalahan pada pukul 6 petang ketika makan di sebuah restoran untuk persiapan malam nanti menunggu keputusan yang akan diumumkan. Pengkhabaran daripada Kelantan daripada 'seorang pimpinan tinggi' cukup menikam, sehingga saya sendiri tidak dapat makan dengan selesa.

Semua orang tahu keputusan pilihan raya ke-11 ini. Keputusan ini cukup menyedihkan bagi individu-individu yang mengorbankan masa tenaga, wang ringgit dan keluarga demi untuk perjuangan. Walau begitu sedih, walau begitu perik saya sedikit pun tidak menitiskan air mata. Saya cukup bersetuju dengan pandangan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramahnya di Taman Melewar 12 April lalu yang mengatakan Rasulullah s.a.w. tidak pun menangis kesedihan kecuali apabila melihat belakang sahabat yang hangus dibakar akibat seksaan orang-orang kafir Quraisy.

Cukup berbeza dengan pilihan raya ke-10 tahun 1999. Saya bersama-sama dengan ribuan rakyat menunggu keputusan di hadapan bangunan Majlis Daerah Dungun. Apabila keputusan diketahui bahawa Pas menguasai Terengganu. Suasana pada masa itu hujan turun dengan lebat. Saya menangis kesedihan dalam titisan hujan. Kami menangis apabila berpeluk-pelukkan dengan rakan seperjuangan dan tangisan makin membasahi pipi bila saya perpelukkan dengan beberapa calon-calon Pas yang bakal menjadi YB. Saya masih ingat, saya sempat berpesan bahawa ini adalah amanah dan tanggungjawab yang besar kepada YB.

Pilihan raya 29 hari telah berlalu, saya memerhati dan meneliti berita-berita di internet daripada laman-laman pro pembangkang dan juga laman-laman pengampu parti kerajaan. Pelbagai isu diketengahkan. Analisis, pendapat, kritikan malah ada pelbagai cemohan dilontarkan. Semuanya memberikan gambaran bagaimana seseorang itu menerima keputusan yang telah ditakdirkan.

Yang menarik untuk saya mengulas di sini ialah pandangan dan pendapat daripada laman-laman web pengampu kerajaan seperti Laman KMU, Selangordaily, Puteri UMNO, Al Haq Daily dan beberapa laman-laman sampingan lain.

Saya nak perkatakan kepada rakan-rakan webmaster dan beberapa penulis di laman berkenaan. Keputusan pilihan raya, kalah dan menang, boleh menguasai negeri atau tidak sebenarnya tidak sedikitpun memberikan kesan kepada perjuangan kami. Kami dan kamu cukup berbeza, walaupun kerja-kerja kita dalam arena internet ini hampir sama.

Apakah kamu fikir kemenangan itulah akan membawa kejayaan di sisi Allah s.w.t. Apakah orang-orang yang gugur dalam perjuangan itu dianggap kalah dan tiada apa-apa balasan di sisi Allah s.w.t. Ternyata pandangan dan 'pelihatan' kamu cukup meleset. Cara gaya kamu berfikir terlalu lemah. Walaupun sesuatu perjuanngan itu memerlukan kemenangan, tetapi kemenangan semata-mata bukanlah suatu yang hakiki. Kerjayaan dan kemenangan yang sebenarnya adalah "Keredhaan Illahi". Benarlah kata Saidina Omar kepada orang-orang Quraisy dalam satu peperangan, bahawa kamu dan kami adalah berbeza.

Kamu kena faham, perjuangan memerlukan aqidah bukan semata berkorban untuk mencapai cita-cita yang dihasrat. Saya tahu ada juga dikalangan kamu yang berkorban untuk berjuangan demi cita-cita dan hasrat kamu menjadikan Melayu sebagai bangsa yang di hormati, tetapi perjuangan kamu tidak lebih kepada perjuangan-perjuangan seperti dalam legenda cerita. Bagaimana perjuangan pembaharuan di negeri China (Boleh diikuti dalam siri drama kartonis "For The Sake Of The Republic" di TV2), sebahagian daripada mengorbankan masa, wang dan harta benda untuk memodenkan bangsa China. Tetapi perjuangan mereka tidak sama dengan perjuanga kami, kerana sebagaimana yang saya sebut perjuangan kami disemai dengan aqidah yang murni.

Sebab itu apa pun yang kamu tulis, apa pun yang kamu katakan semuanya sia-sia belaka. Tak ada guna kamu berseronok dengan kemenangan yang kamu perolehi dan tak ada apapun yang kamu boleh berbangga dengan kerjayaan kerana bagi kami memang dan kalah soal yang kedua. Kami masih seperti dulu kerana Allah s.w.t. tidak sedikit mempersoalkan kami kenapa kami tidak berjaya? Yang akan dipersoalkan sejauh manakah perjuangan ini diusahakan dan sejauh mana kami memuhasabahkan diri dalam melaksanakan tanggungjawab perjuangan.

Kalau kamu rasa kerjayaan itu adalah satu yang hakiki, kekuasaan itu suatu kemenangan dan kebendaan yang kamu perolehi daripada perjuangan kamu adalah yang mutlak. Pergilah kamu bersama-sama dengan perjuangan kamu. Jawablah kamu di hadapan Allah s.w.t. dengan apa yang kamu usahakan. Apatah lagi jika usaha yang kamu buat dengan menipu, merasuah dan menyelewengan dalam mendapatkan apa yang dihajati. (Jangan nak berhujah kerana kamu tahu apa yang sebenarnya berlaku kalau kalau kamu duduk dalam jentera pilihan raya BN)

Memang kita boleh bercakap apa sahaja selagi mana kita diberikan mulut untuk bercakap, kita boleh mengulas apa sahaja selagi mana kita diberikan akal untuk menulis, tetapi semuanya akan mati dan membisu dihadapan Allah Azawajala.

Bagi saya kekalahan Pas dalam pilihan raya kali ini tidak sedikit pun mematahkan perjuangan. Untuk itu tidak ada alasan yang perlu saya menitis air mata. Saya memang sedih kerana wujud manusia manusia seperti kamu semua yang Allah s.w.t. berikan akal dan kekuasaan telah menggunakannya untuk merosakkan Islam agama anutan kamu sendiri. Sedar atau tak sedar kamu adalah antara anasir perosak Islam.

Memang kamu marah dengan tulisan saya ini, tetapi jika kamu manusia yang berakal, ada keimanan, ada usaha untuk berfikiran secara waras, renungilah apa yang saya tulis ini, buatlah muhasabah diri sejauhmana kebenaran apa yang saya sebut. Jangan sampai masa dan pergorbanan kamu sia-sia dan tiada apa yang mampu kamu jawab di hadapan Allah Azawajala.

Cucu Bavoo
mailto:[email protected]
Webmaster V4,
Tranung Kite





___________________________
Terbitan : 19 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)