Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Akhirnya detik itu tiba jua

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Saat pedih dan menakutkan itu datang juga. Biarpun sejak awal saya jangkakan PAS Kedah sudah ditewaskan SPR, sebelum berdepan BN, terutama di empat kerusi Parlimen, Baling, Pokok Sena, Kuala Kedah, Jerai (dulu Yan), namun keputusan di Terengganu cukup mengejutkan.

Melalui Harakah terakhir sebelum pilihanraya, saya cuba memberi isyarat malang yang akan kita tempuhi, terutama dalam konteks Kedah: "Jangan tanya pandangan peribadi saya (tentang ramalan keputusan pilihanraya), nanti ramai kecewa."

Beberapa minggu sebelum pilihan raya, saya sengaja menduga kekuatan PAS di Terengganu. "Cubalah letakkan diri kita pada situasi terburuk yang mungkin kita akan alami," usik saya. Tapi, rakan-rakan di sana melenting, "kita mungkin menang 32-0!"

Rakan saya, Dr Agus Yusof, pada hari penamaan calon mengingatkan: "Bagitau kawan-kawan, Umno Terengganu akan menang mudah lima kerusi Parlimen."

Seorang wartawan kanan akhbar harian menelefon saya, dua hari sebelum mengundi: "Umno rasa selamat di 12 DUN." Sempat pula berpesan, "jaga-jaga RM200 juta mungkin turun malam ini ke Terengganu."

KENAPA TIDAK PILIH STRATEGI ORANG KALAH?

Malang sekali, kita memilih pendekatan pihak yang menang dalam mengatur strategi di Terengganu dan Kelantan.

Jika kita anggap berada di pihak kalah, tentulah lain strategi yang dipilih. Kita akan "kutip satu-satu" dari rumah ke rumah pemilih yang belum mengundi bagi memastikan sekurang-kurangnya kita menang majoriti satu undi!

"Mungkin Umno Johor, yang cukup selesa itu, bekerja lebih kuat berbanding PAS Kelantan dan Terengganu, selepas seorang calon PAS menang percuma," kata seorang teman lama, sambil merungut dengan sikap "over confident" petugas PAS. "Kita dihukum kerana kealpaan dan kesalahan sendiri."

Selama ini kita tercari-cari gelombang besar untuk mengalahkan BN, tetapi suasana sejuk sekali. (Saya terpaksa akui, misi saya di Harakah untuk menghangatkan suasana gagal akhirnya).

Langsung tiada riak, hanya mengidamkan tempias amarah rakyat 1999 masih berbaki. Rupanya, gelombang itu berada di belakang mengejar kita, patutlah tak terjangkau penglihatan.

Benar, komplot rapi SPR-BN menyebabkan kita tertiarap tapi pengundi hantu hanya bermaharajalela dalam keadaan kita alpa di zon selesa.

Lupakah kita, sejak menerima malu besar Nov 1999 Umno-BN membedah segala kelemahannya dan bingkas bangun memperbaiki diri?

Ramai teman pensyarah diundang ke program dalaman untuk "berkata apa saja mengenai kesilapan Umno".

Masa sama, ceramah diharamkan, Harakah dikurangkan, mimbar masjid dipasong, minat rakyat terhadap politik dipancung, kakitangan awam dan warga kampus diugut, disusuli persempadan semula kawasan pilihan raya, selain penubuhan Puteri, pimpinan Umno turun ke desa dengan kereta lama.

MENGAPA TUNGGU DISEMBELIH

Pelik, kita hanya bersabar dan menyerah leher untuk disembelih.

Di Kedah, meskipun sesekali balik kampung, saya langsung tidak terasa Syed Razak akan ditumbangkan. Saya tidak percaya perubahan kepimpinan negeri akan berlangsung dalam iklim politik sejuk. Ia pasti didahului dengan "kacau-bilau", sepertimana ditunjukkan di Kelantan 1990 dan Terengganu 1999.

Berbicara hati ke hati dengan Cikgu Wahab Rahman di Megat Dewa dan Amirudin di Anak Bukit, 10 hari sebelum mengundi, membuatkan saya yakin Kedah perlu menunggu masa lebih lama untuk berubah.

Jangan dibangga poster dan bendera parti yang kita sendiri pasang. Yang penting, "gelombang itu" belum melanda.

Namun, penguasaan 5 DUN dan satu Parlimen, dalam saat begini, sudah melegakan, apatah lagi hanya Kedah menyaksikan undi pembangkang meningkat, yakni dari 252,487 undi (1999) kepada 263,143.

Di semua negeri lain, undi pembangkang merosot!

II. Banteras rasuah - punah segala harapan

Benar, dari segi melafazkan tekadnya untuk membanteras dan memerangi rasuah, Abdullah Ahmad Badawi terus mengungkapkannya, walaupun pilihan raya (paling kotor dalam sejarah) telah berakhir.

Semasa berucap di depan pimpinan baru kerajaan BN Terengganu, 28 Mac lalu, beliau menekankan: "Saya mahu wakil rakyat kita menjadi wakil rakyat berwibawa. Jauhkan diri dari rasuah, jangan terlibat dengan memberi atau menerima rasuah."

Walhal semua maklum, kerajaan PAS ditumbangkan melalui sogokan politik wang terbesar melalui salahguna wang ehsan.

Melalui kempen pilihan raya lalu, tema sama turut diulang, termasuk iklan TV yang memuatkan warkah seorang tua, Mohd Lajim Karim, yang dipakej dalam persembahan yang disifatkan akhbar tempatan sebagai menyentuh perasaan.

Antara rayuan Pak Lajim dalam iklan BN itu ialah: “Masanya sudah tiba untuk kita bekerjasama demi masa depan bumi bertuah ini supaya ia bersih daripada rasuah di mana anak-anak kita boleh hidup sejahtera dan suara kita semua didengari.”

Ramai penganalisis merumuskan pendekatan "tegas" Abdullah terhadap korupsi menyebabkan BN menang besar. Biarpun belum ada sebarang usaha berkesan untuk mengasaskan satu pemerintahan bersih rasuah namun penangkapan Eric Chia dan Kasitan Gaddam atas dakwaan rasuah dikira sudah memadai untuk memukau rakyat.

PELUANG KEDUA

Saya sendiri terpaksa berlapang dada memberi peluang PM membuktikan apa yang dijanjikannya.

Selepas menyedari tiada lagi tokoh kerajaan atau kroni yang dihadapkan ke mahkamah, meskipun kertas siasatan SPR sudah siap (malah ada antaranya yang sudah disemak PM), saya memberi peluang kedua buat Abdullah untuk menggugurkan mereka dari menjadi calon BN.

Apabila beberapa nama kontroversi dari kalangan menteri dan menteri besar yang dikaitkan rasuah disebut-sebut akan digugurkan, ramai juga menarik nafas lega.

Mereka akur, masakan Abdullah sanggup membawa teman-temannya dalam kabinet ke mahkamah; cukup saja dengan mengenakan "hukuman politik", iaitu tidak mencalonkan mereka semula.

Harapan itu punah bila nama-nama berkenaan tiba-tiba saja muncul semula, terutama dalam senarai calon BN di peringkat negeri, mungkin selepas "berguling merayu".

Beberapa menteri yang dikaitkan dengan amalan salahguna kuasa terus kekal, tetapi secara peribadi saya masih mengharapkan mereka tidak terpilih sebagai anggota Kabinet.

Namun, peluang ketiga, yakni membersihkan Kabinet dari menteri rasuah, juga disesiakan Abdullah. Jelas beliau tidak menghiraukan aspirasi sebenar rakyat melalui mandat besar yang diterimanya semasa membentuk Kabinet.

Kalau di waktu awal menerajui kerajaan, mungkin beliau boleh memberi daleh, Kabinetnya diwarisi dari Dr Mahathir Mohamad, yang terkenal dengan amalan nepotisme, kronisme, rasuah dan pelbagai tabiat buruk.

Kini, segala-galanya terletak di tangan beliau sendiri. PM boleh melantik sesiapa saja yang dikehendakinya pada posisi yang disukainya.

Analisis wartawan BBC menarik untuk diperhatikan: "However, Abdullah has not made the sweeping changes widely expected. Abdullah promised Malaysians change and a clean government. Opposition leaders have described the appointments as flawed. It was expected that the new prime minister would remove ministers close to his predecessor Dr Mahathir. Mahathir is blamed by many for the rise of cronyism and sleaze. But many of the old faces remain."

RAIS YATIM TERSUNGKUR

Dalam keadaan beliau mengekalkan, antaranya, Rafidah Aziz, Nazri Aziz, Ong Ka Ting, Samy Vellu, dan beberapa menteri besar yang dikaitkan rasuah, tokoh yang dilihat lantang menentang korupsi (pernah mendedahkan ada 18 kes rasuah berprofil tinggi, menegur Abdullah sendiri dalam hal kesalahan trafik, selain bertegas dalam beberapa kes rogol dan bunuh membabitkan polis), Dr Rais Yatim tiba-tiba ditempatkan ke posisi lebih rendah, dan langsung tiada kaitan dengan usaha kerajaan membentuk integriti, ketelusan dan good governance.

Sebelum ini, bekas ADUN Beserah, Pahang, Fauzi Abd Rahman - yang pernah menggemparkan negara apabila membuat laporan polis mengenai amalan rasuah Khalil Yaakob - tidak dicalonkan semula.

Rais dipindahkan ke kementerian yang dikecilkan dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dulu, menjadi Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Dan antara jabatan di bawahnya adalah muzium.

Teringat saya SMS yang dikirim seorang teman, Bakarhaq: "Rais Yatim yang vokal terhadap rasuah dimuziumkan oleh Pak Lah dalam Kabinet anti-rasuahnya. Jadi menteri jaga muzium. Kah! kah! kah! Dasar Scomi!"

Sudahlah keanggotaan Kabinetnya kini terlalu ramai, 34 orang, sedangkan umum berpendapat bilangan lebih munasabah hanya sekitar 20 orang saja, terutama dikaitkan dengan langkah belanja berhemah negara.

Bagi saya, ia hanyalah untuk memberi tempat selesa kepada lebih ramai "budak-budaknya" selaras dengan persiapan awalnya menghadapi pemilihan Umno tidak lama lagi.

Benarlah kata Prof Jomo KS, kalau sebelum pilihan raya hanya tokoh A diambil tindakan, sedangkan senarai panjang B-Z dibiarkan, apalah mahu diharapkan lagi selepas jumlah pembangkang di Parlimen dikecilkan, manakala Abdullah dikeliling para menteri (pak angguk dan mak turut) yang diragui kewibawaan mereka.

Dan ada yang bertanya, jika Rafidah boleh dikekalkan, apakah yang digugurkan seperti Chua Jui Ming, Zaharah, Hamid Zainal Abidin, sudah hilang integriti sehingga tidak tersenarai dalam "Kabinet bersih rasuah Abdullah".

III. Tanpa pilihan raya bersih dan adil, tidak wujud kerajaan berwibawa

Perdana Menteri cuba memesongkan pandangan rakyat terhadap asas pembentukan sebuah kerajaan yang bersih-rasuah. Beliau hanya bermain-main dengan janji dan retorika, sekali gus menunjukkan keangkuhannya dengan penguasaan lebih 90% kerusi di Parlimen, apabila disuakan kritikan atau pandangan kedua kepadanya.

Ironi sekali memikirkan bagaimana Abdullah yang beria-ia mahu membanteras rasuah tetapi tidak memulakannya dengan mengendalikan proses pilihan raya yang paling adil, bersih dan jujur dalam sejarah demokrasi negara ini.

IBU RASUAH

Sesungguhnya ibu segala rasuah ialah membiarkan proses pilihan raya dijalankan secara menekan pembangkang dan memperalatkan segala kemudahan serta jentera kerajaan, manakala institusi terpenting, SPR, diperkudakan semahunya.

Sebaliknya pilihan raya pertama kali di bawah pentadbiran Abdullah penuh kacau-bilau dan dipertikai majoriti rakyat. Ramai yang sudah beberapa kali mengundi, hilang nama dalam daftar pemilih. Ada yang berang apabila pihak lain terlebih dulu mengundi bagi pihaknya.

Tanpa daftar pemilih yang bersih, Abdullah tidak perlu lagi bercakap soal-soal lain mengenai pembentukan kerajaan bersih-rasuah; segalanya bohong dan palsu belaka.

Tanpa keyakinan rakyat, terutama parti-parti yang bertanding, SPR hilang fungsi. Perkara 114(2) memperuntukkan: "Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan AGong hendaklah memandang kepada mustahaknyta diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan umum."

Namun, kerjasama BN-SPR cukup intim sekali, mengingatkan kita bagaimana persempadanan semula dilakar khusus untuk mengalahkan PAS.

Beberapa bekas pegawai SPR, melalui emel memberitahu Harakahdaily agar berhati-hati dengan sentuhan ajaib SPR bagi memenangkan BN.

"Kita tersilap sasaran, sepatutnya senjata patut dihalakan kepada SPR lebih dulu," kata seorang pemerhati pilihan raya.

Melalui siaran TV3, 21 Mac lalu, seorang wanita Cina di Selangor mengeluh apabila namanya turut hilang: "Kalau macam ini, lebih baik balik tidur saja." Seorang pemuda dari Gombak nampak meradang: "Tutup sajalah pusat mengundi!"

Kita juga menyaksikan kempen terpendek hanya 7 1/2 hari, manakala papan iklan besar dipenuhi lambang-lambang pemujaan terhadap Abdullah. "Inilah kali pertama, secara besar-besaran iklan BN memperalatkan kanak-kanak dan sentimen keagamaan," kata seorang pensyarah sains politik.

DOLLAH MULA EGO?

Berdepan dengan kemarahan rakyat terhadap proses pengundian yang kacau-bilau itu, termasuk bantahan dari oposisi, terserlah keegoan PM. Baginya, pilihan raya sudah selesai, dan "saya mendapat mandat besar", maka beliau tidak perlu melayan rungutan itu.

Segalanya diserahkan kepada SPR, walhal badan itulah yang menjadi sasaran rasa tidak puas hati pengundi yang dinafikan hak. (Agak kerap juga Abdullah membesarkan dirinya, sejak mula menjadi PM sehinggalah selepas pilihan raya, dengan menyebut "saya", bukannya "kami" atau "BN" apabila merujuk kepada sokongan rakyat atau pujian dari negara jiran).

SPR dan Abdullah cuba bersandiwara apabila pengerusi SPR mencadangkan satu badan bebas menyiasat kekecohan yang timbul pada hari mengundi.

Abd Rashid kemudiannya memutuskan penubuhan jawatankuasa siasatan dalaman apabila PM menolak mentah-mentah cadangan awal.

Jelas Rashid cuba memperolok dan memperbodohkan kita!

Hal yang sama juga berlaku bila pemimpin BA dan DAP memberi komentar kepada barisan kabinet barunya. Ramai tidak puas hati apabila Abdullah mengekalkan tokoh yang dikaitkan rasuah.

Respons Abdullah senang saja: "Sejak bilakah pembangkang kata kita telah lakukan perkara yang baik selama ini? Tak apalah, mereka akan sentiasa bercakap. Saya yang ketua kerajaan, dan saya akan tadbirnya menurut cara saya."

Justeru, penemuan badan pemantau pilihan raya, Mafrel, mungkin tidak mengejutkan lagi. Bayangkan, ada beberapa rumah di kawasan P121 Lembah Pantai menemukan, di alamat no. 1, Kg Pasir Dalam, Petaling, terdapat 156 nama pengundi; di no. 4742, Bukit B, Kg Kerinchi ada 142 pengundi; di no 254, Kg Pasir Dalam, ada 120 pengundi! Manakala di no. 760, Jln Hj Mokhtar, Ulu Kelang, yang dicatatkan mempunyai 71 pemilih tetapi didapati alamat itu sebenarnya tidak wujud.

Apa pun, saya tetap yakin rakyat dapat mengesan kepincangan menjolok mata ini.

Tiba-tiba saja, dalam riuh-rendah ramai tidak dapat mengundi ekoran kecelaruan daftar pemilih, beberapa negeri yang dikuasai PAS dan menjadi targetnya menyaksikan peningkatan peratusan keluar mengundi. Logik apa ini?

Walaupun semua pihak mengakui suasana sejuk tanpa sebarang isu besar, di sesetengah kawasan, ia mencatatkan hingga 90%.

Statistik awal menunjukkan peratusan meningkat dengan ketara di Terengganu (5.97%), Kelantan (3.85%), Kedah (3.72%) dan Perlis (3.28%).

Manakala di negeri kubu Umno, menunjukkan kemerosotan keluar mengundi, misalnya Melaka (-1.85%), Negeri Sembilan (-0.84%).

Johor yang menerima kejutan apabila seorang calon PAS menang percuma mencatatkan kenaikan kecil, iaitu 0.07%.

Akhirnya, saya mohon semua kita agar berjaga-jaga. Walaupun menang besar, jangan diharap pentadbiran Abdullah memberi ruang lebih luas buat pembangkang.

Mereka berkira-kira untuk menjayakan impian sifar pembangkang pada pilihan raya ke-12 nanti.

Terengganu kini lumat dengan upacara balas dendam. Islam Hadhari hanya paparan imej baru untuk menolak perjuangan Islam PAS.

Saya cuba menjenguk suasana ceramah BA di Taman Melewar, beberapa hari lalu. Semput saya dibuatnya hingga terpaksa dipimpin keluar akibat kesesakan luar biasa di situ.

Jelas, amarah rakyat ketara sekali dan Abdullah hanya mengundang padah jika beliau tutup telinga dari mendengar kebenaran ini!





___________________________
Terbitan : 2 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)