Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Bukan ucapan selamat tinggal

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sepatutnya hari terakhir saya di Harakah, semalam, Rabu, 31 Mac. Tetapi disebabkan badan lenguh-lenguh dan rasa malas menjalar bersama kepedihan pada kaki kanan, saya terperuk saja di rumah, tidak sempat ke pejabat.

Justeru, kontrak saya yang sepatutnya berakhir bersama tamatnya pilihanraya umum 2004, teranjak lagi sehari. Memang tak banyak barang-barang yang perlu dikemaskan, selain guntingan akhbar lama dan timbunan buku-buku politik.

Namun pengalaman bersama Harakah kali ini cukup memberi makna, walaupun saya sudah "keluar-masuk" Harakah lebih lima kali, sejak akhbar ini mula diterbitkan 16 tahun lalu.

Sejak lima bulan lalu, yakni dua bulan sebelum kontrak saya dengan Harakah bermula pada 1 Januari 2004, saya antara lain diamanahkan untuk mengendalikan ruangan suratanda ini.

Gambaran mood akar umbi

Sengaja saya pilih kolum pandangan pembaca - selain rencana - kerana ia sedikit sebanyak dapat menggambarkan mood akar umbi melalui surat-surat yang saya terima.

Dalam suasana iklim politik yang sejuk itu, saya kira antara yang perlu dihangatkan segera ialah gelanggang perbincangan mengenai apa saja isu masyarakat, yang diutarakan rakyat biasa.

Pegangan saya sejak dulu ialah, jika lingkungan lembab dan pasif berlarutan, terutama selepas segala kekangan ke atas pembangkang ditingkatkan, ia hanya menguntungkan pemerintah.

Masa sama, pandangan arus perdana mesti dicabar dan digugat, barulah rakyat memikirkan soal kerajaan alternatif. Jika tidak, maka akan kekallah status-quo.

Soalnya, melalui saluran mana rakyat dapat maklumat dan perkembangan terbaru, jika Harakah dikurangkan, ceramah disekat, mimbar masjid dikongkong, akhbar altarnatif dirampas, pengedar VCD/ kaset ditangkap?

Dari sudut lain, selama ini kita sering saja dilambakkan dengan pelbagai pandangan dan pendapat pemimpin, sama ada pemerintah mahupun pembangkang, biar kali ini rakyat biasa pula yang berhujah.

Pedulikan soal kesalahan tatabahasa, ataupun susunan-ejaan tunggang-langgang, yang penting suara dan gema hati rakyat didengari. Ruang diskusi dan perdebatan mesti dibuka seluasnya, hapuskan segala disiplin yang mengongkong itu.

Ada kalanya, mereka yang jarang menulis dan mencatat, bila sesekali mencoret idea, kita dapati pandangan yang diluahkan itu cukup bernas dan mungkin mengejutkan, yakni lari dari kelaziman.

Saya cuba menekuni setiap surat yang dihantar meskipun banyak juga yang "terlepas pandang. Saya akur usaha meneliti pendapat pembaca itu memerlukan komitmen tinggi.

Selaku insan yang baru saja sembuh dari pembaringan selama lebih 15 bulan, saya terpaksa mengaku kalah.

Khususnya sebaik saja pilihan raya berakhir, peti emel terpaksa "dibersihkan" sehingga tiga kali sehari.

Idea mantap

Secara peribadi, saya agak terkejut dengan respons pembaca. Meskipun ramai yang marah-marah sambil melepaskan geram, tidak sedikit yang mencurahkan idea mantap, seolah-olah ia dihadam sekian lama sebelum dilontar.

Ia kontras sekali dengan suasana awal dulu, dimana saya sendiri terpaksa menyamar bagi merancakkan perbahasan. Benar, saya tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan perbahasan alam siber tambah meriah dan ceria oleh aktor original!

Tentulah pilu melepaskan ruangan ini ketika ia bercambah dengan galak sekali. Namun, ia adalah ketentuan. Mungkin kita dapat kembali berpencak silat di alam maya, empat tahun lagi, menjelang pilihan raya ke-12 nanti, dalam medan pertempuran yang lebih sengit.

Umum menjangkakan, perang siber menjelang pilihan raya itu lebih rancak lagi. Namun, dari segi lain, apakah tugas kita hanya untuk merancakkan atau mensahihkan "pentas demokrasi" yang penuh kepalsuan ini, sementara keputusan "kalah-menang" sudahpun ditentukan SPR-BN?

Saya amat harapkan pimpinan BA dan pembangkang lainnya, perlu berfikiran lebih kritis menanggapi problem ketelusan, keadilan dan kebersihan perjalanan pilihan raya negara ini.

Maaf ... jangan merelakan diri untuk diperbudakkan SPR-BN untuk kesekian kalinya. Manfaatkan gelodak kemarahan rakyat bagi mencapai objektif, sekurang-kurangnya, Pengerusi SPR, Rashid dan setiausahanya Wan Omar meletakkan jawatan, sebelum satu suruhanjaya diraja dibentuk bagi mengkaji kecelaruan proses demokrasi di negara ini, secara menyeluruh.

Akhirnya, jutaan terimakasih atas surat-surat yang dihantar, juga buat semua teman-teman di Harakah yang banyak membantu. Cuma yang dikesalkan, niat di hati untuk turut menyemarakkan suasana kempen kali ini ternyata gagal.

Ya, bukan mudah untuk mencari riak dan gelombang, selepas empat tahun minat rakyat untuk berpolitik disekat dan dihalang.

Bayangkan saja, apalah yang boleh diharapkan dari sistem ini jika selepas Parlimen dibubarkan pun polis terus menyekat dan memberhentikan majlis ceramah PAS walaupun diadakan di premis parti.

Sedangkan Umno-BN terus angkuh melancarkan program secara besar-besaran di stadium, bangunan kerajaan, dan kawasan lapang, manakala studio tv bertukar menjadi bilik gerakan kempen mereka.

Salahguna kuasa mempermainkan demokrasi bukan tertumpu selama 7 1/2 hari berkempen, tetapi bermula sejak awal pagi 30 November 1999, hari pertama selepas pilihanraya ke-10 yang cukup memalukan Umno itu.

Ibarat pertarungan Anwar-Mahathir, dimana Anwar boleh mencari seribu peguam terbaik untuk membelanya, tetapi cukup bagi Mahathir dengan seorang hakim yang dipercayainya!

Begitulah dengan pilihanraya ini bagi Abdullah Badawi, segala usaha "gigih dan kreatif" SPR-Jabatan Pendaftaran Negara selama lebih empat tahun sudah cukup untuk menjahanamkan pembangkang.





___________________________
Terbitan : 3 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)