Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Tuntut pilihan raya adil: Jangan hangat-hangat tahi ayam

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Sebulan sudah berlalu, namun itulah juga yang dibincangkan – keputusan pilihan raya 2004 yang memeranjatkan.

Pelbagai perspektif disorot, dalaman dan luaran; semuanya atas semangat mahu membedah segala kelemahan dan kealpaan, di samping mendedahkan siri penipuan yang, malangnya, tidak terhidu selama ini.

Berjumpa saja dengan teman-teman dan kenalan, tiada topik lain yang menarik minat (meskipun konflik di Iraq dan Palestin cukup meruntun jiwa, manakala tragedi Sheikh Ahmad Yassin dan Dr Aziz Rantisi seakan terpinggir) kecuali cuba menghuraikan fenomena 21 Mac lalu dari sudut pandangan yang berbeza-beza, sambil mengumpul maklumat penyelewengan dan taktik jahat BN-SPR, walaupun hati kecil terpaksa mengakui hanya yang naif dapat ditipu berulang kali.

Siri ceramah jelajah seluruh negara membantah penipuan pilihan raya 2004 dikatakan mendapat sambutan hangat. Apa pun secara peribadi, saya cukup bimbang jika amarah rakyat itu mudah pudar dan perlahan-lahan hilang ditelan masa.

Apatah lagi bila dimaklumkan kita masih gagal mengesan secara terperinci bagaimana komplot jahat yang terancang itu beroperasi, terutama apa yang disebut “konspirasi bersama” BN-SPR-Jabatan Pendaftaran Negara.

MENYELURUH

Bagi saya, apabila kita membincangkan soal kepincangan atau pencabulan terhadap pengurusan pilihan raya yang bersih dan adil, ia tidak seharusnya terbatas hanya selepas Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubar.

Perbahasan itu harus dibuat dalam ruang lingkup menyeluruh, misalnya merongkai segala sekatan ke atas kebebasan bersuara, bertanding di atas padang yang sama rata, jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kerajaan sementara, memastikan tiada manipulasi pemerintah terhadap daftar pemilih dan perjalanan kempen yang tidak memihak kepada mana-mana parti yang bertanding.

Pembangkang tidak dikalahkan hanya dengan kempen jahat dan tidak beretika BN selama seminggu itu.

Proses mengalahkan pembangkang yang mencatat prestasi membanggakan pada pilihan raya ke-11 sudah bermula pada awal Disember 1999 lagi.

Sebenarnya kita tidak perlu menunggu pendedahan eksklusif bagaimana mekanisme BA dikalahkan apabila sisa-sisa demokrasi terus terhakis secara terbuka.

Ia berjalan bagai api dalam sekam, dan peliknya tidak lagi dianggap satu kesalahan dalam demokrasi ala-Malaysia.

Ingat bagaimana majalah Detik “diharamkan” pada akhir November 1999, beberapa hari selepas pilihan raya, dan Harakah yang pernah dicetak hampir 400,000 naskhah dimansuhkan fungsinya sebagai “akhbar alternatif” tiga bulan selepas itu.

Mingguan Eksklusif yang tidak sepanas mana itu pun dicabut permitnya, manakala majalah Wasilah turut terkorban dan semuanya ini menjadi saksi Umno-BN sama sekali tidak akan mengizinkan sebarang sumber maklumat buat pengundi Melayu, selain tindakan tegas penguatkuasa KDN menyekat pengedaran kaset dan VCD pembangkang.

Kemuncaknya ialah pengharaman ceramah umum, tangkapan ISA, mimbar masjid dipasong, kakitangan kerajaan diugut, pensyarah dan mahasiswa ditekan, siaran tv (khususnya berita perdana) diguna secara optimum untuk memburukkan oposisi, kontraktor pembangkang disenarai-hitamkan, royalti Petronas kepada Terengganu ditarik balik, di samping usaha pemulihan imej Umno yang intensif, dan pemupukan budaya hiburan murahan untuk menarik orang muda.

Seharusnya barisan pembangkang mempunyai sikap yang konsisten terhadap kempen berpanjangan menuntut proses demokrasi yang telus, bersih dan dapat dipertanggungjawab, tidak kira sama ada kita mendapat kemenangan ataupun ditimpa kekalahan.

Lobi ini sepatutnya digembleng secara sistematik dan digerakkan sehingga mencapai objektifnya, serta turut bergema di forum antarabangsa.

Malangnya, mungkin disebabkan kejutan gelombang 1999, kita mudah alpa dan tersilau.

Bukankah kita sendiri, melalui Harakah menyiarkan pelbagai taktik dan tipudaya musuh, khususnya melalui daftar pemilih, namun tiada langkah cukup berkesan untuk mematahkannya?

KOS BESAR

Ada pihak memberi alasan bahawa proses bantahan semasa semakan itu memerlukan kos yang besar.

Tetapi kita sebenarnya telah menghanguskan lebih banyak ongkos, keringat dan tenaga dengan menyertai dan memeriahkan proses pilihan raya yang jelas tidak adil dan tidak bersih itu.

Dan tidak pula dianjurkan kempen seluruh negara bagi memastikan daftar pemilih yang bersih tersedia.

Sebenarnya saya tidak berhasrat berkempen untuk memboikot pilihan raya (walaupun tidak menghalang pihak yang berminat bagi memulaukannya) tetapi hanya ingin merenung kembali sejauh mana seriusnya bantahan dan tentangan kita terhadap proses demokrasi yang jelas cacat ini.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan kita seperti “main-main” menangani masalah yang cukup mendesak.

Jangan diejek nanti, “anggur itu manis, tetapi kerana kita tidak memperolehinya maka dikatakan anggur itu masam pula”.

Lebih tragis lagi bila memikirkan, walaupun sedari awal kita menyedari proses ini penuh muslihat dan helah yang berlapis-lapis, namun sebaik saja gendang pilihan raya dipalu kita turut menari dengan asyik dan ghairah sekali.

Syok sendiri, kata orang. Isu asas bahawa kita tidak bertanding di atas padang sama rata seolah-olah tidak timbul lagi.

Tiba-tiba saja ramai aktivis kita turut menaruh keyakinan dengan pertandingan itu.

Riuh-rendah kita turut berpesta, sesetengahnya sibuk dengan mengipas ikan bakar sambil menyediakan asam atau sambal pencicah, sedangkan di hujung sana leher kita akan disembelih dan tubuh kita akan dipanggang hidup-hidup!

(Justeru, saya pernah menulis dalam ruangan ini bahawa saya cukup kagum dengan “kesabaran” pimpinan PAS menempuh satu demi satu konspirasi - yang bukan lagi sulit - antara SPR-BN dalam penentuan kawasan pilihan raya, terutama dalam konteks Kedah, walaupun menyedari Baling, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Jerai sudah kalah awal-awal lagi, sebelum pertandingan sebenar dimulakan. Buat Ustaz Azizan Abd Razak, sesekali, rasanya, kita patut melampiaskan rasa berang itu).

Mungkin sudah terlupa faktor tradisi 3M (media, jentera kerajaan dan politik wang) walaupun mata disumbat dengan iklan BN dan rayuan Abdullah Ahmad Badawi melalui akhbar, risalah (juga surat), TV dan kali ini, jenuh dengan papan tanda besar di setiap selekoh jalan dan flying over lebuh raya.

Seolah-olah dalam diam hati kecil kita akur, “inilah kelebihan menjadi pemerintah, boleh melakukan kempen apa saja, tanpa terikat dengan sebarang kod etika!”

Masih ingatkah anda jika kita bertanyakan teman-teman yang berkempen ketika itu, termasuk di kawasan yang tidak terjangkau imiginasi kita untuk menang: “Ada harapan menang?” Selalunya peluang untuk mengalahkan BN semakin meningkat dari hari ke hari, khususnya menjelang hari pengundian terutama apabila dimaklumkan calon Umno mungkin disabotaj oleh jentera BN sendiri. Apabila keputusan diumumkan, undi kita tidak pun sampai 30 peratus!

MARAH BILA KALAH?

Ada rakan-rakan yang mengusik, apakah, misalnya, ketika kita kalah dalam pilihan raya kecil Sanggang, maka kita merungut dan meraung mendakwa proses pilihan raya berat sebelah, tetapi apabila kita menang mengejut di Lunas, kita seakan-akan mengakui proses yang tempang itu tiba-tiba bertukar menjadi bersih dan adil?

Ataupun, apabila menyedari majoriti anggota tentera dalam pilihan raya kecil di Teluk Kemang menyokong Keadilan maka sungutan kita terhadap penyeliaan proses undi pos terbantut dan protes itu timbul semula selepas begitu ramai pimpinan Umno di kawasan kritikal berlindung di sebalik kem tentera dalam pilihan raya lalu?

Ramai yang membangkitkan rasa tidak senang hati berikutan kenyataan beberapa pimpinan tertinggi PAS yang dikatakan “menikam diri sendiri” sepanjang kempen.

Saya kira luahan hati itu ada asasnya dan akan mendapat perhatian sewajarnya bagi menilai dan mengkoreksi diri.

Namun, tentulah tidak masuk akal jika kemerosotan undi PAS terutama di Terengganu dan Kelantan hanya difaktorkan oleh hal tersebut.

Apakah selama ini “imej baik” PAS cukup rapuh hingga dapat digugat dengan mudah oleh satu dua kenyataan berkenaan? Malah, jika tanggapan itu benar, ia sewajarnya mendorong satu kajian mendalam, mengapa imej PAS begitu mudah dicatur dan dipermainkan oleh pihak lain, khususnya media?

Ini mengambarkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dalam persepsi masyarakat umum terhadap PAS sehingga dengan begitu mudah ia dicalarkan dengan teruk sekali.

Saya yakin kepimpinan parti mempunyai formula tersendiri menangani cabaran ini. Apa yang lebih merisaukan saya ialah perancangan pembangkang untuk menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil.

Apakah ia benar-benar bersifat “hangat-hangat tahi ayam” ataupun kita memang mengatur satu kempen menyeluruh yang akan menyentak keselesaan Abdullah Badawi menikmati zaman bulan madunya ini?

Benar, negeri-negeri jiran, seperti Indonesia, Filipina dan Thailand semakin jauh meninggalkan kita dari aspek ketelusan pilihan raya.

Namun, kita tidak hanya boleh mengharap atau mengimpikannya saja. Menuntut proses pilihan raya yang adil dan bersih, seperti juga usaha memperjuangkan kebebasan media dan kebebasan kehakiman, ia pasti tidak datang dengan sendirinya. Ia menagih korban!

Tidak terbayang wajah hitam demokrasi era Suharto akan berubah jika tidak didahului oleh kematian beberapa orang pelajar elit Universiti Trisakti semasa tuntutan reformasi bergemuruh di Jakarta.

Kini ramai pihak yang cukup cemburu dengan suasana demokrasi di Indonesia walaupun mereka tidak menyedari ia lahir di atas titisan darah idealisme anak-anak muda di sana.

TUNTUTAN SISTEMATIK

Saya mencadangkan agar tempoh dua tahun pertama ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua parti-parti pembangkang untuk menyusun usaha lebih terancang dan terfokus bagi menuntut dan memperjuangkan iklim politik yang lebih demokratik, dengan butiran perincian yang meyakinkan.

Jika tidak, bagaimana caranya untuk kita membersihkan daftar pemilih yang begitu berserabut dan mengelirukan itu? Kita mengandaikan seorang pemilih boleh mengundi berkali-kali apabila namanya tersenarai di tempat mengundi yang berbeza.

Lebih menggerunkan, kita mendengar cerita Jabatan Pendaftaran boleh mengeluarkan kad pengenalan secara sewenang-wenang tanpa pemilih yang sah kepada pengundi hantu.

Maknanya, seseorang itu boleh dibekalkan dengan 10 kad pengenalan berbeza dan beliau dengan bebas mengundi di sepuluh tempat berbeza.

Dengan kaedah apa, daftar pemilih yang penuh tipu muslihat ini dapat dibersihkan?

Sedangkan ramai mengandaikan, dalam tempoh empat lima tahun ini, pelbagai strategi kotor diatur BN untuk sekali lagi menewaskan pembangkang, dengan kaedah yang tidak terhidu oleh kita!

Teringat rungutan seorang teman: “Cukuplah! Sebelum pilihan raya penat kita bergelut dengan polis, masa pilihan raya dengan SPR pula. Sedangkan Umno-BN senang-lenang mengutip hasil kemenangan!” -mr





___________________________
Terbitan : 23 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)